Sabtu, Julai 20, 2013

Bertoleransi perlu ada hadnya...!!! Jangan ingat kita senyap, mereka nak pijak kepala kita?


Bulan Ramadhan kembali lagi. Selain berusaha menambah amal ibadat di bulan mulia ini, ramai juga yang menjadi usahawan segera mengambil peluang berniaga sempena Ramadan ini dan Syawal yang bakal menjelang.

Adalah amat menyedihkan apabila pembukaan bazar-bazar Ramadan yang hanya berlangsung hampir sebulan dalam masa setahun juga telah mula dipertikaikan oleh ahli-ahli Parlimen bukan Melayu.

Tidak terhenti di situ, kian banyak isu-isu yang menyentuh hak agama Islam dan orang Melayu yang selama ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu satu persatu. Mutakhir ini, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 Julai 2013 melaporkan pula kenyataan ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan status Tanah Rezab Melayu.

Tiba-tiba sahaja peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang lainnya yang selama ini berkuat kuasa hingga menjadikan negara kita ini aman harmoni dianggap draconian, tidak demokratik dan tidak adil kerana bercanggah dengan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Tidak pula dinyatakan bahawa piagam-piagam PBB yang bersifat universal mungkin sesuai di negara tertentu tetapi boleh sahaja menjadi tidak sesuai di negara lain bergantung kepada latar sejarah penubuhan sesebuah negara bangsa.

Ahli-ahli politik Melayu kelihatannya lebih selesa mengambil jalan selamat untuk tidak menjawab isu-isu yang dibangkitkan dengan hujah-hujah yang meyakinkan.

Walaupun ramai dari kita juga mempunyai pegangan politik kepartian tersendiri, tidaklah sedikit sebenarnya orang-orang Melayu yang mengharapkan ahli-ahli Parlimen yang beragama Islam meletakkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu di depan berbanding kepentingan parti politik yang diwakilinya.

Terkadang isu yang dibangkitkan memerlukan pilihan dibuat sama ada ia adalah untuk survival parti atau pun survival umat Islam dan orang Melayu. Isu pertama yang menguji sikap ahli-ahli Parlimen Melayu adalah berkaitan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang dibaca buat kali pertama beberapa minggu lalu di mana Kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan Rang Undang-Undang tersebut.


Sudah tentulah Kabinet mempunyai pertimbangan tertentu yang menyebabkan usaha tersebut terpaksa ditawaqufkan. Walaupun ia sekadar perundangan yang dilaksanakan di dalam Wilayah Persekutuan, sudah tentulah nasib peruntukan ini memberi petunjuk kepada enakmen negeri-negeri lain yang masih belum melaksanakannya kerana kebanyakan peruntukan-peruntukan di dalam enakmen berkaitan agama Islam negeri-negeri adalah diadaptasi daripada amalan yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.

Isu tersebut tidaklah begitu sulit untuk diraikan oleh orang awam.

Seksyen 107 (b) yang mengandungi dua ayat sepanjang dua baris dalam Rang Undang-Undang tersebut membawa maksud antaranya apabila ada anak-anak yang di bawah umur lapan belas tahun berhasrat untuk memeluk agama Islam maka persetujuan hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaganya adalah mencukupi tanpa memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Persoalan undang-undang ini telah disahkan malahan diselesaikan oleh mahkamah tertinggi negara dalam beberapa kes undang-undang yang seterusnya diperkukuhkan dengan tafsiran mahkamah sendiri terhadap Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan maksud terma ibu bapa.

Terdapat banyak peruntukan undang-undang yang ada hari ini yang seakan-akan membuka ruang untuk pihak-pihak membuat tafsiran yang merugikan agama Islam dan orang Melayu.


Malahan sehingga hari ini pun belum ada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seorang Perdana Menteri hendaklah menepati syarat-syarat beliau mesti beragama Islam dan berbangsa Melayu. Pelbagai teori dihuraikan yang membawa pandangan mana mungkin Malaysia akan memiliki seorang Perdana Menteri yang bukan beragama Islam, tetapi dengan perubahan landskap politik negara hari ini jangan terkejut jika ia berlaku akibat kealpaan kita.

Tidak pernah terlintas di fikiran kita dahulu bahawa tuntutan penggunaan kalimah Allah boleh berakhir dengan tuntutan itu dibicarakan di dalam mahkamah negara kita.

Dahulu kita berpandangan tidak mungkin kalimah Allah boleh dituntut penggunaannya dalam negara kerana Islam adalah menjadi agama Persekutuan tetapi kini hakikatnya ia telah dituntut dalam mahkamah kita.

Dahulu kita tidak pernah terfikir bahawa tindakan Majlis Agama Islam di negeri-negeri yang punca kuasanya daripada Raja-Raja Melayu menghalang penerbitan yang boleh mengganggu gugat kesucian agama Islam boleh dicabar dan dipertikaikan di mahkamah kita.

Tetapi hari ini terbukti bahawa terdapat penulis yang bukunya disekat dari diedarkan di negara kita kerana mencemarkan imej agama Islam menghujahkan bahawa kuasa Majlis Agama Islam itu adalah tidak sah dan batal. Semakin lama kita membiarkan peruntukan perundangan kita diselaputi jerebu dan kesamaran, semakin banyaklah pihak-pihak yang membuat tafsiran sendiri akan maksud sebenar peruntukan tersebut mengikut selera dan kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu.

Akhirnya, Islam sungguhpun diiktiraf sebagai agama Persekutuan, tiada lagi bezanya dengan agama-agama lain dalam negara kita.


Bekas Hakim, Datuk Mohd. Noor Abdullah di dalam penghakiman kes Meor Atiqurrahman pernah membuat rumusan berkaitan letak duduk agama Islam.

Beliau menyatakan, Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak.

Ia (Islam) duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh dan terang. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama Persekutuan.

Tidak perlulah merasa malu-malu alah untuk mempertahankan saki baki hak-hak bangsa Melayu.

Bukankah kita berbelanja di bazar Ramadan yang sama, bertadarus dengan ayat-ayat suci al-Quran yang tidak ada bezanya, kita berbuka dalam naungan doa yang serupa lalu kita bersujud dalam tarawih kepada Tuhan yang sama.

Jadi, mengapa susah sangat untuk kita bersatu dalam simpulan hati yang bertaut satu walau dalam wadah politik yang berbeza.

Ahli-ahli Parlimen beragama Islam dan berbangsa Melayu perlu mengambil semangat Ramadan ini untuk menyokong usaha-usaha menyimpul mati perundangan yang berkaitan agama Islam dan bangsa Melayu. Ianya adalah atas justifikasi berikut:

(i) Oleh kerana Islam adalah agama Persekutuan, maka adalah penting bagi peruntukan berkaitan agama Islam memayungi peruntukan yang lain;

(ii) Oleh kerana Melayu adalah majoriti rakyat Malaysia, maka amat bertepatan bagi kaum majoriti diberikan hak bagi mengetuai cabang eksekutif negara kita;

(iii) Ia adalah selari dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh negeri-negeri dalam negara kita yang memberikan keistimewaan kepada agama Islam;

(iv) Perlu bagi ahli-ahli Parlimen Melayu menutup semua ruang yang ada, selagi masih berkesempatan untuk mengelakkan adanya tuntutan-tuntutan di Mahkamah Undang-Undang pada masa hadapan dengan memastikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dikunci mati dengan peruntukan yang jelas.

(v) Pindaan peruntukan Rang Undang-Undang tersebut bagi memasukkan elemen ibu atau bapa tidaklah mengubah landskap perundangan yang ada. Ia hanyalah sekadar pengesahan undang-undang akan apa yang telah diamalkan selama ini.

Justeru, sementara kita sentiasa bertoleransi antara agama, menjaga keharmonian antara kaum dengan memberikan pelbagai kemudahan dan penghormatan kepada agama-agama lain dalam negara kita untuk mengamalkan ajaran agama mereka, ahli-ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira pegangan politiknya perlu menghantar isyarat yang jelas kepada warga Malaysia. Tidak perlulah berasa terhutang budi atau malu-malu alah untuk mempertahan dan mengangkat martabat agama Islam dan bangsa Melayu dalam negara kita ini.

Suara Politik
Belantan

2 ulasan:

ayam den berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
ayam den berkata...

Biarkan lah si Luncai dengan Labu-labu nya..mungkin ada hikmah Ramadhan disebalik tindakan begitu...memperlihatkan kepada penyokong-penyokong mereka yang beragama Islam.
Mereka lupa bangsa-bangsa ini lah yang mengajar anak-anak cucu mereka bahawa KITA adalah HANTU... (Malay KUAI!) mengherdik kita bila kita berkunjung kekedai mereka..(LU mau APA?...apa HAT lu mari..dsb)menganggap mereka seperti adik beradik bila mereka yang telah meminjam lesen kita untuk mereka berniaga yang cuma membalas dengan cara menukarkan keempat tayar kereta kita yang botak dan menghantar ke carwash sebelum dipulangkan kepada kita.

Saya juga mungkin akan dituduh racist sekiranya saya bertanya kepada mereka kenapa "Satu" Malaysia tidak sama seperti "Bangsa Indonesia" tak kira lah keturunan mereka dari bangsa India, Cina, Jawa, Batak dsb,...jiwa mereka tetap Indonesia. ATau harus kah kerajaan kita berkeras seperti pemerintah Indonesia yang terdahulu Seperti Bung Karno? Sanggup kah mereka menggunakan nama seperti Atan Lim atau Manja Lee dan bukan Alvin dan Vivian...