Sabtu, Mac 23, 2013

Kita terus dihina, tetapi apa tindakannya?



ALLAH dihina, Nabi Muhammad SAW dihina, Islam dihina, Al-Quran dihina, Raja dihina, Melayu dihina, Negara dihina, Perlembagaan dihina, Undang-Undang dihina, Lagu Negaraku dihina, Bendera Jalur, Gemilang dihina, PDRM dihina, ATM dihina, Masjid dihina, Batik dihina.

Apa lagi yang dihina? Percayalah akan ada lagi yang dihina. Kenapa mereka begitu berani menghina? Jawapannya ialah kerana tiada tindakan dan hukuman serius pernah dikenakan.

Setiap kali berlaku penghinaan berbagai-bagai bantahan dibuat. Pelbagai amaran diberi. Bermacam-macam bentuk kemarahan ditunjukkan.



Beratus-ratus laporan polis dibuat di seluruh negara. Tetapi apa kesudahannya? Pernahkah kita dengar hukuman berat dijatuhkan kepada penghina? Yang selalu kita dengar hanya amaran demi amaran sahaja diberi. Bantahan menuntut penghina menarik balik kata-kata dan memohon maaf sahaja. Apakah cukup dengan amaran dan bantahan begitu akan membuat penghina merasa bersalah dan insaf?

Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) telah dihapuskan. Apakah akta baharu yang menggantikan ISA dapat membendung perlakuan ini? Hakikatnya sehingga kini pelbagai penghinaan masih lagi berlaku. Apakah saman malu atau hasutan boleh dikenakan kepada penghina?

Apakah Akta Hasutan yang ada dilihat gagal untuk mengenakan tindakan dan hukuman yang berkesan kepada pesalah?



Mungkin bentuk penghinaan yang dibuat tidak ada atau bertepatan dalam Akta Hasutan untuk diambil tindakan. Jika benar begitu maka satu undang-undang atau akta baru perlu digubal. Oleh itu kerajaan perlu menggubal satu akta yang boleh dinamakan Akta Hinaan yang khusus untuk pelbagai bentuk hinaan yang dibuat. Di bawah akta ini tiada lagi halangan untuk diambil tindakan dan dijatuhkan hukuman.

Akta ini perlu mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah penghina supaya menjadi pengajaran kepada semua orang agar tidak sesuka hati menghina sesiapa atau apa sahaja yang boleh menyentuh sensitiviti rakyat. Jika terbukti kesalahan telah dilakukan tindakan dan hukuman perlu dilaksanakan segera.

Jangan tangguh sehingga bertahun-tahun menyebabkan masyarakat tidak takut dan tidak menghormati undang-undang dan memandang rendah kepada penguatkuasa undang-undang.



Penghinaan yang dibuat jika tidak dibendung boleh menyemarakkan kemarahan yang tidak dapat dikawal. Jangan terkejut jika rusuhan juga boleh berlaku. Sampai bila orang dapat bersabar. Kata orang kesabaran ada hadnya. Sampai bila kesabaran ini dapat bertahan? Apakah setelah rusuhan dan kemusnahan berlaku baru tindakan akan diambil? Kepada siapa tindakan akan diambil? Kepada perusuh atau kepada penghina yang menyebabkan rusuhan berlaku.

Oleh itu sebelum api kemarahan membara dan membakar maka punca api itu hendaklah dipadam semasa ia masih lagi kecil.

Percayalah selagi tidak ada satu undang-undang dan hukuman dikenakan kepada penghina yang hina, percayalah segala bentuk penghinaan akan berulang lagi di masa depan. Malah penghinaan yang lebih dahsyat lagi akan dibuat.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: