Sabtu, Februari 09, 2013

Hujah Nasharudin, realiti politik Pas?


Sebahagian ahli PAS membuat demonstrasi secara aman terhadap kenyataan Karpal berhubung isu Kalimah Allah di Kota Bharu, baru-baru ini.

Pada Sabtu lalu, dalam satu sidang akhbar, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meluahkan rasa hatinya bukan sahaja berhubung soal pemecatan daripada Majlis Syura Ulama tetapi juga perjalanan politik Pas sejak menjalin kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Penulis percaya biar pun apa yang dikatakan oleh Nasharudin, ia tidak akan diterima oleh sesetengah golongan dalam parti itu sebagai satu kebenaran sebaliknya akan dijadikan 'peluru' untuk mencapai matlamat terakhir mereka menyingkirkan Nasharudin daripada Pas.

Berikut sedutan kenyataan Nasharudin dan ulasan penulis tentang kebenaran di sebalik apa yang beliau perkatakan berdasarkan kepada perkembangan terkini dalam pendekatan politik Pas.

* Menuntut keadilan, minta tindakan yang sama kepada siapa sahaja yang menyanggah ketetapan Majlis Syura Ulama.

- Ketika tercetusnya isu pelaksanaan hukum hudud yang ditentang keras oleh DAP, terdapat beberapa pemimpin Pas termasuk bertaraf Ahli Parlimen yang seolah-olah bersetuju dengan pandangan DAP.

Mereka berpendapat, hukum hudud masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini, bagaimanapun tiada tindakan diambil ke atas pemimpin-pemimpin berkenaan biar pun kenyataan mereka dilihat bertentangan dengan Majlis Syura Ulama yang menegaskan Pas tetap memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud.

Tetapi apabila Nasharudin mempertahankan pendirian Pas dan sanggup berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah, ada desakan di dalam Pas agar Nasharudin dipecat kerana dilihat menjejaskan hubungan Pas dengan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang.

* Menggesa tarik balik keputusan yang dibuat bersama pakatan pembangkang dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

- Pas harus menerima gesaan Nasharudin ini memandangkan ketika ini parti itu dilihat mempunyai dua pendirian berbeza.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin PKR dan DAP bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam tetapi Majlis Syura Ulama membuat keputusan sebaliknya.

Oleh itu gesaan Nasharudin supaya keputusan bersama pakatan pembangkang dalam isu tersebut ditarik balik adalah betul.

Langkah itu bagi menggelakkan, Pas dilihat tidak ikhlas dalam isu kalimah Allah apabila mempunyai dua keputusan berbeza dan paling buruk kedua-duanya ditafsirkan demi menjaga kepentingan politik bersama pakatan dan menjaga hati penyokong Pas.

* Melihat mutakhir ini banyak percaturan Pas mengambil kira keuntungan politik terlebih dahulu daripada dasar dan asas perjuangan parti itu.

- Sebenarnya, ini bukan pandangan Nasharudin seorang, malahan sebahagian besar orang Melayu dan umat Islam melihat begitulah sikap Pas sejak berkawan dengan PKR dan DAP.

Keterujaan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dibuai mimpi menjadi kerajaan bersama-sama kedua-dua parti itu telah memungkinkan Pas bersedia berkompromi sehingga Pas dilihat tidak lebih hanya sekadar 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Paling trajis apabila Pas mengubah hala tuju perjuangannya daripada negara Islam kepada negara berkebajikan selepas perjuangan negara Islam ditentang habis-habisan oleh DAP dan disokong oleh PKR.

* Kewujudan golongan parasit dalam Pas

- Apa yang diperkatakan oleh Nasharudin bukanlah perkara baru tetapi sudah didedahkan oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali pada tahun lalu. Hasan pernah mengingatkan kepimpinan Pas bagaimana di dalam parti itu wujudnya golongan parasit yang bersedia mengorbankan apa sahaja demi memenuhi tuntutan politik dengan PKR dan DAP.

Golongan inilah yang telah memungkinkan imej Pas sebagai parti Islam semakin tercalar. Golongan parasit ini lebih mempercayai kekuatan yang ada kepada pemimpin-pemimpin PKR dan DAP, sebab itulah mereka sentiasa memainkan peranan agar Pas dalam apa juga keadaan perlu selari dengan kedua-dua parti tersebut.

Mereka juga didakwa menjadi 'penghasut' untuk memastikan mana-mana pemimpin yang dilihat cuba bertegas dan memperjuangkan dasar perjuangan asal Pas disingkirkan dan itulah yang dialami oleh Hasan dan mungkin akan disusuli oleh Nasharudin.

* Untuk membawa agenda Islam serta membawa Islam ke tempat yang sepatutnya, membela rakyat dan menghidupkan semangat negara Islam dan negara berkebajikan yang diperjuangkan Pas.

- Sebenarnya Nasharudin ingin memperingatkan Pas bahawa itulah sebenarnya asas penubuhan parti itu yang dilahirkan oleh sekumpulan ulama pada tahun 1951. Kehadiran Pas di persada politik tanah air bukan semata-mata untuk memburu kuasa politik dan bermusuhan dengan mana-mana parti apatah lagi yang dianggotai oleh insan yang sebangsa dan seagama.

Tetapi malangnya, semangat negara Islam itu sudah luntur kerana Pas tidak mahu ia menjadi halangan kepada hubungan politik dengan PKR dan DAP. Sebab itulah Pas melunakkan istilah negara Islam kepada negara kebajikan.

Bagaimanapun perjuangan negara berkebajikan yang dibawa oleh Pas pula mengelirukan kerana dasar-dasar yang diamalkan oleh UMNO dan BN sejak merdeka sudah memenuhi konsep tersebut.

* Kekuatan Pas yang sudah sedikit tercair dan tahaluf siyasi.

- Tidak dinafikan Pas mempunyai kekuatan tersendiri sebab itulah parti itu berupaya menjadi salah satu pemain utama dalam persada politik tanah air. Malangnya, apabila berkawan dengan PKR dan DAP, Pas seolah- olah merelakan mereka dilayan bagaikan melukut di tepi gantang, sedangkan sepatutnya berdasarkan rentetan sejarah serta kekuatan Pas, parti itu seharusnya menjadi parti dominan manakala pemimpin mereka menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

Namun semua itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya tanpa menghormati kekuatan Pas yang dianggap mempunyai kredibiliti tersendiri dan sejarah perjalanan politik yang lebih cemerlang berbanding PKR dan DAP, apa yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu seolah-olah mengerahkan Pas sebagai 'khadam' untuk memastikan kemenangan pakatan pembangkang dalam pilihan raya.

* Dituduh menjadi alat atau dibeli oleh UMNO.

- Sebenarnya inilah strategi yang digunakan oleh Pas bagi memburuk-burukkan mana-mana juga pemimpin mereka yang dilihat bercakap atas dasar kebenaran. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk menanam dalam fikiran penyokong-penyokong Pas kononnya, pemimpin yang berbuat demikian biar pun bertegas mengenai perjuangan asal Pas sudah dipengaruhi oleh UMNO.

Ini adalah sindrom politik kebencian yang meresapi Pas melalui 'tarbiah' yang diperolehi daripada PKR. Justeru tidak hairanlah apabila Nasharudin mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ia tidak akan dilihat dari sudut kepentingan umat dan agama Islam tetapi dari pandangan politik sempit.

Demikian sebahagian pandangan Nasharudin dan ulasan penulis berhubung kenyataan beliau. Terserahlah kepada pemimpin dan penyokong Pas untuk memikirkan kebenaran di sebalik semua hujah ini.

Apa yang pasti, PKR dan DAP telah berjaya mencairkan kekuatan Pas sebagai sebuah parti pembangkang yang dikagumi, segala-galanya bak kata Nasharudin, ''…kerana terlampau ingin meraih dan memenuhi kehendak rakan-rakan dalam pakatan pembangkang."

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Pas gagal berlapang dada?


Nasharuddin Mat Isa dan Dr. Hasan Ali yang dihukum oleh Pas.

Rentetan pemecatan tanpa bicara oleh Pas terhadap beberapa tokoh yang pernah menjadi ayam tambatan mereka, benar-benar menimbulkan pertanyaan kepada banyak ahli parti itu terutama di peringkat akar umbi yang telah menyokong Pas sejak sebelum zaman reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi.

Umum mengetahui bahawa Pas, seperti juga PKR adalah parti oportunis yang menimba keuntungan politik besar hasil daripada penyingkiran Anwar daripada UMNO dan Kabinet menteri.

Rakyat dimomokkan dengan kata-kata seorang yang begitu berkuasa seperti Anwar boleh dipecat oleh Perdana Menteri sebegitu sahaja; bayangkan rakyat marhaen pula! Apa saja kerajaan 'zalim' BN boleh lakukan terhadap mereka. Ceramah politik besar-besaran berlaku di sana-sini pada ketika itu dengan pengumuman penyertaan tokoh-tokoh UMNO yang pro-Anwar ke dalam parti pembangkang.

Penulis masih ingat menghadiri ceramah bagi meraikan penyertaan Datuk Dr. Hasan Ali yang merupakan seorang motivator popular di televisyen pada ketika itu ke dalam Pas di Kelana Jaya. Hasan diangkat sebagai wira ulung Pas! Malah beliau dinaikkan ke jawatan Naib Presiden Pas dalam sekelip mata, menyingkirkan Naib Presiden lain yang lebih senior seperti Almarhum Ustaz Hassan Syukri.

Hal ini dilakukan bagi memberi wajah profesional baru terhadap Pas yang ketika itu hanyalah berimej lebai kampung. Setiap kali nama Hassan diungkapkan, akan disambut dengan laungan Allahu Akbar daripada pengikut yang taksub. Ustaz Nasharudin Mat Isa juga begitu dijulang hingga dikatakan beliau adalah bayangan kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Habis madu sepah dibuang. Hasan dan Nasharudin bukan siapa-siapa lagi bagi Pas. Mereka dianggap liabiliti terhadap parti kerana mementingkan perpaduan ummah melebihi daripada assobiyah politik yang melampau.

Mereka melihat UMNO sebagai saudara se-Islam dan ini adalah dosa besar bagi pengikut fahaman Pas masa kini. Lalu mereka ditendang keluar daripada parti ibarat anjing kurap yang tidak ada sedikit jasa pun kepada parti malahan pembawa masalah bagi Pas dalam bersekedudukan dengan PKR dan DAP.

Mereka langsung tidak dipanggil untuk memberi tunjuk sebab atau diberikan perbicaraan yang adil. Bayangkan, bekas orang nombor 2 Pas yang dikatakan bayangan Ustaz Fadzil Noor dibuang begitu saja!

Apa yang menarik adalah sungguhpun mereka berdua 'dibuang' daripada parti dengan cara yang begitu tidak terhormat, mereka berdua kekal tidak mengkritik pemimpin utama mereka seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mereka kekal menghormati kedua-dua tokoh tersebut malah Hasan secara terbuka menyatakan dia masih sayang pada Pas dan mahu Hadi Awang memimpin negara, bukan Anwar Ibrahim seperti persetujuan pakatan pembangkang.

Inilah saki baki 'ajaran songsang' Pas yang telah indoktrinasi kepada ahli mereka. Pas mengamalkan sistem pentarbiyahan yang memerlukan ahlinya terutama di peringkat pimpinan mengungkapkan bai'ah kepada pemimpin mereka.

Seperti yang didedahkan oleh pemimpin Pas sendiri, bai'ah talak tiga juga adalah antara cara Pas mengikat ahli-ahli dan pimpinan-pimpinan mereka daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan kepentingan parti. Silap langkah, isteri mereka boleh tertalak secara automatik. Begitulah Pas mengikat kesetiaan ataupun wala' terhadap pemimpin parti mereka.

Tafsir Surah Al Hujurat karangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadikan silibus untuk usrah-usrah mereka dalam mengkader ahli. Kesetiaan kepada pemimpin adalah tiada tolok bandingannya seperti kesetiaan terhadap Rasulullah.

Kisah-kisah seperti pemecatan Khalid Al Walid RA sebagai panglima tertinggi tentera Islam oleh Khalifah Umar Al Khattab RA didendangkan kepada ahli-ahli Pas agar mereka mencontohi sifat Khalid apabila disingkirkan dan diganti dengan Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah RA.

Khalid Al Walid tidak menentang atau mempertikaikan keputusan Saidina Umar malah turut berjuang di medan perang walaupun hanya sebagai tentera biasa. Malah dinukilkan juga di dalam kitab karangan Presiden Pas tersebut, sekalipun pemimpin negara adalah seorang yang fasiq, arahan-arahannya yang tidak bertentangan dengan syariat hendaklah dipatuhi!

Inilah sifat yang sewajarnya ada pada seorang Muslim apabila berhadapan dengan keputusan pemimpin negara. Maka tidak hairanlah, Nasharudin dan Hasan Ali berdiam diri dan menerima pemecatan mereka dengan hati terbuka walaupun disingkirkan dengan cara yang tidak bermaruah.

Ironinya, apabila Sultan Perak yang merupakan pemimpin tertinggi negeri menyingkirkan Menteri Besar Pas, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, Pas tidak boleh berlapang dada seperti Khalid al Walid, sebaliknya memilih untuk sembah derhaka, berguling di jalan raya, menyekat kereta Raja dan bersidang di bawah pokok.

Nik Aziz juga tidak boleh berlapang dada apabila Sultan Selangor selaku Ketua Agama Negeri melarang penggunaan masjid-masjid di negeri baginda sebagai medan berkempen oleh semua parti politik. Titah baginda ini bersempena dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang bertujuan untuk mengelakkan perpecahan umat Islam. Nik Aziz malah menempelak secara terbuka arahan baginda dengan mengatakannya karut dan saki baki ajaran penjajah.

Terbaharu dalam isu kalimah Allah, selang hanya 1 jam selepas pengumuman titah Baginda Sultan Selangor tentang larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, pakatan pembangkang muncul membuat sidang akhbar menyatakan kesatuan mereka membenarkan penggunaan kalimah tersebut. Mereka tidak redha dan akur dengan keputusan pemimpin tertinggi yang mempunyai autoriti dalam urusan agama negara kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mereka tidak boleh bersikap seperti Khalid apabila tindakan yang tidak menyebelahi nafsu politik mereka diambil oleh pemerintah tertinggi negeri atau negara. Mengapakah Pas gagal berlapang dada kepada arahan pemimpin tertinggi ini? Seolah-olah ketaatan atau wala' kepada pemimpin yang mereka pelajari hanya terpakai untuk pimpinan Pas tetapi tidak bagi Raja dan Sultan yang memerintah negeri?

Dalam pada mereka menyuruh Ustaz Nasharuddin dan Dr. Hasan berdiam diri dan akur menerima pemecatan mereka dengan berlapang dada seperti Khalid Al Walid RA dan tidak mempertikaikan keputusan pimpinan, Pas sendiri gagal mengaplikasikan sikap mulia tersebut untuk diri mereka sendiri justeru menggunakan taktik matlamat menghalalkan cara sebagai gaya mereka untuk berpolitik dan beragama.

Oleh itu, Pas harus bermuhasabah dengan ancaman Allah SWT tentang golongan yang bercakap tak serupa bikin.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."- Surah As Saff (2-3). (UMO)

Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Februari 08, 2013

Zainon buat laporan polis?



Penulis buku Kafirkah Aku? dan Air Mata Di Bumi Memali, Zainon Ismail atau CN Al-Afghani hari ini menyahut cabaran Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar dengan membuat laporan polis berhubung dakwaan penyelewengan Tabung Memali.

Zainon yang juga bekas aktivis tegar dan ahli seumur hidup Pas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 10 pagi semalam. Beliau berjaya mengelak daripada ditemui pemberita dan dikatakan keluar dari IPD setengah jam kemudian namun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.

Bagaimanapun Zainon memberitahu, satu sidang akhbar khas akan diadakan malam esok berhubung perkara itu.

"Isi kandungan dan apa perkara yang dilaporkan hari ini akan saya beritahu malam esok," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, antara penyelewengan yang dinyatakan dalam laporan tersebut adalah mengenai penganiayaan terhadap balu Memali yang diarahkan membayar sejumlah RM3,000 bagi membiayai kos guaman pada tahun 2007. Selain itu, laporan itu juga mempersoalkan 'kehilangan' wang berjumlah RM30,000 hasil jualan mesin jahit kepunyaan bengkel jahit Memali.

Sebelum ini, Salahuddin dan Mahfuz mahu Zainon membuat laporan polis jika benar berlaku penyelewengan terhadap Tabung Memali selepas beliau mendesak pucuk pimpinan Pas menyiasat perkara itu.

Zainon yang merupakan salah seorang daripada tiga individu yang bertanggungjawab mengurus Tabung Memali membuat desakan tersebut selepas tidak sanggup lagi melihat hak serta harta anak yatim, balu dan mangsa Memali 'diratah' pihak lain.

Suara Politik
Belantan

'Pas cukup sayang DAP'?



Pas tidak mempunyai keberanian untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana parti itu terlalu bergantung kepada DAP.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis berkata, Pas cukup sayang kepada DAP sehingga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup meraikan sambutan hari lahirnya bersama Pengerusi DAP, Karpal Singh.

"Pas takut kalah kalau keluar daripada pakatan pembangkang, jadi takkan hendak 'bercerai' dengan DAP.

"Bercerai dengan Nasharudin (bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa) tidak apa tetapi bukan dengan Karpal," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Terdahulu, Dr. Mahathir melancarkan buku bergambar bertajuk Antarctica: Malaysia's Journey To The Ice oleh Pusat Penyelidikan Nasional Antartika di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan Nasharudin supaya Pas meninggalkan pakatan pembangkang dan bergerak bersendirian bersandarkan kekuatannya jika mahu kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Tegas Nasharudin, kerjasama dengan PKR yang membabitkan pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal ehwal dalaman telah melunturkan kekuatan Pas.

Suara Politik
Belantan

Nik Aziz @ Pok Nik terima 'hadiah istimewa'?


Zawawi Mohamed (kanan) menerima anak benih pokok getah daripada Kamarudin Kassim sambil diperhatikan ahli Gerakan Tukar di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat@ Pok Nik hari ini menerima 'hadiah istimewa' daripada Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Gerakan Tukar) iaitu 23 anak pokok getah dan sawit di pejabatnya di sini.

Pemberian itu sebagai simbolik terhadap tindakan Kerajaan Pas Kelantan menjual lebih 4,000 hektar tanah di Gua Musang kepada pemimpin DAP Perak.

Anak pokok itu yang dibawa kira-kira 50 ahli Gerakan Tukar juga bertujuan memberi peringatan kepada Nik Aziz mengenai penderitaan peneroka asal tanah tersebut yang menanam sawit dan getah sejak lebih 20 tahun tetapi akhirnya disodok oleh pemaju untuk mengaut hasil balak.

Pengerusi Gerakan Tukar, Kamarudin Kassim yang mengetuai kumpulan tersebut turut menyerahkan satu memorandum tujuh perkara bertajuk Tanah Rakyat Adalah Maruah Rakyat kepada Nik Aziz bagi membantah penjualan tanah itu.

"Tanah itu adalah maruah rakyat yang diusahakan sejak lebih 20 tahun tetapi akhirnya dijual kepada pemimpin DAP dan kami yakin masih banyak lagi tanah yang dijual tetapi kita tidak tahu," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum itu kira-kira pukul 11 pagi di sini.

Kumpulan tersebut bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan untuk berjumpa Nik Aziz dan memorandum itu hanya diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Besar, Zawawi Mohamed.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan pengakuan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa beliau dan Nga Kor Ming yang juga Setiausaha DAP negeri melabur dalam syarikat Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang mendapat projek pembalakan di Kelantan itu.

Sebelum itu, blog pisau.net mendedahkan dakwaan kedua-dua pemimpin tersebut ditawarkan tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang oleh Nik Aziz sebagai balasan membenarkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Sementara itu, dalam memorandum tersebut, kerajaan negeri diminta menjawab beberapa persoalan berhubung penjualan tanah tersebut yang jelas hanya merugikan dan menindas rakyat.

"Sudah tiadakah syarikat milik bumiputera atau syarikat milik bukan bumiputera tetapi orang Kelantan yang mampu menjayakan satu projek usahasama seperti ini sehingga terpaksa dipajakkan kepada syarikat yang baharu berusia setahun?.

"Rakyat Kelantan juga menuntut kerajaan negeri mendedahkan senarai nama semua syarikat dan keluasan tanah yang dipajakkan atas nama pembangunan," jelas memorandum itu.

Suara Politik
Belantan

PAS akan SAMAN Polis yang tak jaga ceramah..?



PAS bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kepada polis jika terus membiarkan kegiatan menyekat aktiviti PAS oleh pihak lain. Ketua Lajnah Undang-undang PAS, Haji Asmuni Awi berkata, memang menjadi 'statutory duty' kepada pasukan polis untuk mencegah pergaduhan, jenayah dan sebagainya.

"Tetapi jika polis berada di tempat kejadian tetapi tidak mencegah pihak yang membuat pergaduhan misalnya, hanya menjaga lalu lintas sahaja, itu sudah salah.

"Oleh itu kita sedang mengkaji tindakan undang-undang terhadap pihak polis," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas beberapa kejadian yang melibatkan program PAS disekat dan diganggu oleh pihak tertentu tetapi polis yang ada dalam kejadian itu tidak bertindak menghalangnya. Polis hanya memastikan lalu lintas tidak terganggu sahaja. Di pintu masuk Felda Teloi Timur, samseng jalanan menyekat pemimpin dan aktivis PAS dari mengadakan ceramah di sana.

OCPD Sik, DSP Ismail Ibrahim dan lebih 30 orang anggota polis gagal menyuraikan samseng jalanan yang membuat benteng menghalang saya dan hampir 500 orang dari kawasan berhampiran untuk masuk ke tapak ceramah.

Adalah sangat memalukan, samseng ini bermaharajalela dan hanya diperhatikan pihak polis. Sedihnya, OCPD dan anggotanya hanya bertindak mengawal lalu lintas bukan menghalau samseng jalanan!

Mungkin Haji Asmuni Awi sudah lupa atau buat-buat tak ingat apa yang berlaku ketika perhimpunan BERSIH 3.0 pada tahun lalu! Bagaimana dengan para anggota polis yang ditugaskan mengawal ketika itu? Gambar diatas dapat menceritakan segalanya! Masih lagi mahu menyalahkan pihak Polis?

Suara Politik
Belantan

Khamis, Februari 07, 2013

Hadi belakangi Majlis Syura?



Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Negeri, Wan Ismail Wan Ahmad menegaskan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang harus dipersalahkan kerana membuat persetujuan yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Majlis Syura Ulama parti itu.

Katanya, akibat daripada tindakan Presiden Pas itu, ia menyebabkan DAP terus bertindak biadab dengan menggesa kalimah suci tersebut boleh digunakan oleh bukan Islam.

Beliau berkata, sepatutnya, sebelum membuat sebarang keputusan bersama anggota pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Abdul Hadi perlu terlebih dahulu merujuk kepada majlis syura.



"Memang Abdul Hadi yang salah dalam hal ini. Beliau terus masuk ke pakatan pembangkang, membelakangi Majlis Syura dalam isu ini.

"Ibarat ayam, tak perlu tanya sembelih tak sembelih sebab Abdul Hadi bawa masuk (ke pakatan pembangkang untuk setuju penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam) tu yang sudah sembelih dah.

"Lepas kecoh baru nak mesyuarat, ini tak ada guna. Ini orang panggil kerja bodoh," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa bekas tokoh Pas yang menyifatkan kelantangan Karpal secara berterusan mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama Pas dalam isu kalimah Allah adalah disebabkan kelemahan Abdul Hadi selaku presiden parti itu.

Mengulas lanjut, Wan Ismail berkata, berikutan kelemahan itu Pas akan menerima kesan buruk terutama dari aspek kepercayaan orang ramai khususnya umat Islam terhadap parti itu.


Katanya, kredibiliti Pas semakin lenyap semenjak bersekutu dengan DAP dan PKR sehingga mencetuskan banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, menjawab kedegilan Pas untuk kekal bersama pakatan pembangkang meskipun wujud perbezaan ideologi termasuk dalam soal menyentuh akidah umat Islam, beliau berkata, ia hanya disebabkan keghairahan parti itu untuk ke Putrajaya.

"Tak ada benda lain, kerana hendak kejar Putrajaya. Gilakan Putrajaya itu sahaja. Kalau betul-betul Pas memperjuangan agama, memperjuangkan akidah umat Islam sudah lama Pas keluar daripada pakatan itu," katanya.

Suara Politik
Belantan

Isu Selangor : Lokasi baharu tidak strategik?


Sekumpulan peniaga gerai Unit Perancang Ekonomi (Upen) Batu 11, Jalan Sungai Serai mengadakan bantahan berhubung tindakan MPKj memindahkan mereka ke lokasi baharu di Hulu Langat, Selangor, semalam.

Sekumpulan peniaga gerai Unit Perancang Ekonomi (Upen) Hulu Langat di Batu 11, Jalan Sungai Serai di sini mengadakan bantahan secara aman apabila tapak perniagaan yang diusahakan sejak empat tahun lalu bakal ditutup dan dipindahkan ke lokasi yang didakwa tidak strategik.

Mereka mendakwa arahan tersebut mungkin berpunca daripada pembinaan beberapa lot kedai yang bakal dibangunkan di bahagian belakang gerai mereka.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini status mengenainya tidak diketahui berikutan tidak ada sebarang perbincangan lanjut mengenainya diadakan pihak bertanggungjawab termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Rata-rata peniaga yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan berharap agar arahan berpindah itu dapat ditangguhkan sehingga pihak bertanggungjawab menemui lokasi sesuai.

Sofiah Kassim, 43, berkata, mereka tiada masalah untuk mengosongkan premis sedia ada tetapi bukannya ke lokasi baharu di Taman Perkasa yang terletak jauh daripada jalan utama.

"Kita bermula daripada kosong sehingga memiliki pelanggan tetap, sekiranya terpaksa berpindah juga perniagaan kami sudah tentu terjejas ," katanya ketika ditemui dalam bantahan aman di sini hari ini.

Yang turut hadir memberi sokongan kepada peniaga terlibat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani.

Gerai yang dibina oleh Upen Selangor ketika diperintah oleh Barisan Nasional pada penggal lalu itu mempunyai kira-kira 16 unit.Setiap gerai dikenakan sewa sebanyak RM50 oleh MPKj.

Seorang lagi peniaga, Lee Kim Ling, 51, berkata, sudah ramai peniaga lain di sekitar Taman Perkasa itu menutup perniagaan masing-masing selepas ketiadaan pelanggan ekoran lokasinya yang tidak strategik.

"Orang lain pun tidak boleh berniaga di situ, bagaimana kami pula mahu ke sana, sepatutnya MPKj dan pemaju serta Upen sendiri perlu mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.

Bagi Anuar Talib, 53, peniaga berharap arahan tersebut dapat ditangguhkan terlebih dahulu bagi mencari tapak baharu yang lebih sesuai kepada mereka.

"Mata pencarian saya hanyalah dengan berniaga bagi menyara anak-anak yang masih bersekolah, kami berharap sangat perkara ini dapat dikaji semula oleh MPKj," katanya.

Sementara itu, Ismail berharap masalah tersebut dapat diselesaikan segera oleh MPKj memandangkan pihaknya telah menghantar surat sejak tiga bulan lalu.

"Kita difahamkan gerai ini mahu dirobohkan bagi memberi laluan kepada akses ke bangunan kedai yang sedang dibina dan peniaga amat marah apabila MPKj seolah-olah terlepas pandang kepada mereka," katanya yang akan membuat tindakan susulan kepada MPKj.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Februari 06, 2013

Isu Selangor : 8,000 penduduk Pandamaran tuntut janji?



MCA Bahagian Klang akan meneruskan hasrat lebih 8,000 rakyat di kawasan Pandamaran, Klang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bagi menuntut hak kebajikan yang dijanjikan dalam manifesto mereka pada 2008.

Ketua Pemudanya, Dr. Ching Eu Boon berkata, tindakan itu akan dilakukan selepas pihaknya bersama-sama peguam selesai membuat penelitian terperinci terhadap tuntutan tersebut diperoleh menerusi borang yang diedarkan kepada rakyat di kawasan berkenaan pada bulan lalu.

Katanya, setakat ini pihaknya telah menerima lebih 5,000 borang daripada penduduk kawasan tersebut melibatkan tuntutan penurunan 20 peratus cukai pintu bagi kediaman dan 10 peratus bagi premis komersial yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.

"Selain itu, kita juga menerima lebih 3,000 borang tuntutan daripada golongan ibu tunggal di Pandamaran yang mahu kerajaan negeri melunaskan janji pemberian elaun sebanyak RM100 sebulan kepada mereka.

"Bagi penduduk di kawasan ini, mereka melihat janji manifesto itu tetap janji dan harus ditunaikan walau dengan apa cara sekalipun sebagai satu tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh kerajaan negeri.


"Sehubungan itu kita akan membawa tuntutan-tuntutan rakyat kawasan ini ke mahkamah dalam tempoh seberapa segera," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 27 Januari lalu, lebih 1,000 penduduk Pandamaran mengadakan perhimpunan secara aman setelah tidak berpuas hati terhadap Kerajaan PKR Selangor yang sehingga kini enggan melunaskan janji dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Menurut mereka, keengganan kerajaan negeri itu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan kerana hanya tahu menabur janji namun tidak dilaksanakan.

Dalam pada itu, Eu Boon yang juga Penyelaras DUN Pandamaran memberitahu, selain tuntutan penurunan cukai pintu dan elaun ibu tunggal, pihaknya selepas ini akan turut mengedarkan borang tuntutan kepada penduduk kawasan itu bagi meminta kerajaan negeri memberikan caruman takaful sebanyak RM2,500 untuk golongan warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim di negeri ini.

"Janji caruman takaful ini juga dilaporkan gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri sejak 2008 sehinggalah ke hari ini," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Khalid angin satu badan tak dapat 'kebas' duit peruntukan RM120 juta untuk SYABAS?



Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) perlu merujuk Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terlebih dahulu sebelum menggunakan peruntukan RM120 juta yang diberikan oleh Kerajaan Pusat bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Syabas tidak mempunyai sebarang kebebasan untuk menggunakan peruntukan tambahan tersebut kerana syarikat itu tertakluk di bawah perjanjian konsesi yang telah dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata, berdasarkan perjanjian konsesi, sebarang usaha melibatkan perkhidmatan bekalan air di Selangor oleh Syabas harus dirujuk dan mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Pengawal Selia Air Negeri.

‘‘Kerajaan negeri mempunyai kuasa dari segi kelulusan untuk projek-projek bekalan air. Semua pentadbiran perkhidmatan bekalan air di negeri adalah di bawah Pengawal Selia air Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).


‘‘Jika Syabas merasakan mereka bebas menggunakan peruntukan tambahan tersebut, sebenarnya syarikat itu tidak bebas. Kerana dalam perjanjian, syarikat itu perlu mengemukakan perbelanjaan dan mendapatkan persetujuan kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan di Universiti Selangor (Unisel), di sini hari ini.

Pada 2 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta kepada Syabas bagi membantu mengatasi masalah bekalan air yang melanda rakyat di negeri itu.

Menurut Najib, peruntukan tersebut merupakan tambahan dana RM606 juta kepada Syabas sebelum ini selain menunjukkan keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap permasalahan rakyat Selangor yang berhadapan krisis berkenaan.

Krisis tersebut tegas Najib, telah menyebabkan 430 projek pembangunan yang membawa pelaburan bernilai berbilion ringgit di negeri itu terpaksa ditangguhkan.


Adakah Khalid mahu menggunakan peruntukan tersebut untuk mengisi kantung dana PRU-13 Pakatan Rakyat! Rakyat tidak akan lupa bagaimana Khalid menyalahgunakan sebahagian daripada peruntukan kepada JKR bagi kerja-kerja selengaraan jalanraya untuk menutup kerugian yang dialami oleh UNISEL dan bukannya digunakan untuk menutup jalanraya yang berlubang-lubang di sekitar Selangor?
Fikir-fikirkanlah...!!!

Suara Politik
Belantan

Selasa, Februari 05, 2013

Antara desakan Karpal, kesilapan Hadi dan maruah Majlis Syura Ulama?



Pengerusi DAP, Karpal Singh sekali lagi menyanggah kepimpinan Pas dan kali ini Pas yang kononnya mahu menjadi tulang belakang dalam pakatan pembangkang disanggah dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Ini bukanlah kali pertama, Karpal berbuat demikian, malahan sebelum ini Pengerusi DAP itu secara tegas dan konsisten menolak perjuangan menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud yang selama ini menjadi modal politik Pas.

Dalam menangani kenyataan terbaru Karpal itu, pemimpin dan ahli-ahli Pas tidak perlulah emosional atau hendak tunjuk berani kerana Karpal menyatakan kebenaran. Apa yang dipersoalkan oleh Karpal adalah betul kerana ramai yang keliru apa sebenarnya pendirian Pas dalam isu kalimah Allah ini.

Sama ada kita sedar atau tidak dalam isu kalimah Allah, Pas mempunyai dua pendirian iaitu pendirian pertama dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencapai kesepakatan dengan kepemimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam manakala pendirian kedua pula dibuat oleh Majlis Syura Ulama yang menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Dan kita harus ingat sehingga ke hari ini, kepemimpinan tertinggi Pas atau Pas Pusat tidak pernah membuat sebarang kenyataan rasmi atau menghantar surat kepada PKR dan DAP bahawa mereka membatalkan persetujuan yang dibuat oleh Abdul Hadi. Oleh itu, apa yang disanggahkan oleh Karpal adalah betul kerana Majlis Syura Ulama hanyalah komponen dalam Pas sedangkan keputusan yang dibuat sebelum ini melibatkan pakatan pembangkang dengan persetujuan kepemimpinan tertinggi ketiga-tiga parti.


Penulis bukanlah hendak menyokong Karpal tetapi dalam soal ini, Abdul Hadi perlu bertanggungjawab kerana beliau yang memandai-mandai menyatakan persetujuan bersama-sama PKR dan DAP dalam isu kalimah Allah tanpa merujuk terlebih dahulu kepada majlis syura.

Sekarang apabila Majlis Syura Pas membuat keputusan sebaliknya, ia mengakibatkan Pas dilihat bercelaru dalam menyatakan pendirian dalam isu tersebut. Jelas sekali, Abdul Hadi telah memungkinkan Pas dilihat hanya 'pak turut' apabila bersama PKR dan DAP.

Apa sahaja yang dipersetujui oleh kedua- dua parti itu akan dituruti oleh Pas dan itulah yang berlaku dalam isu kalimah Allah ini, oleh kerana Abdul Hadi hendak menunjukkan kononnya mereka dalam pakatan pembangkang sepakat maka persetujuan diberikan secara melulu.

Tetapi apabila kajian menunjukkan 95 peratus ahli Pas menentang persetujuan berkenaan, Majlis Syura Ulama terpaksa memainkan peranan meredakan keadaan dengan menolak sebarang keputusan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Abdul Hadi yang mula merasai bahang kesilapannya cuba memperbetulkan keadaan kononnya isu berkenaan sudah selesai dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas diterima oleh bukan Islam termasuk pemimpin DAP. Malang sekali kenyataan Abdul Hadi itu disanggah oleh Karpal yang menegaskan kenyataan itu tidak benar kerana DAP berpegang teguh dengan pendirian yang telah diambil oleh pakatan pembangkang pada awal bulan lalu.

Melalui kenyataan itu, ia menimbulkan persoalan apakah pemimpin-pemimpin Pas sekali lagi berbohong dalam meredakan kemarahan penyokong mereka yang selama ini melihat parti itu terlalu tunduk kepada PKR dan DAP.


Perlu diingat, suatu ketika dulu ketika pemimpin-pemimpin Pas termasuk Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan DAP memahami perjuangan Islam Pas termasuk dalam soal hukum hudud, Karpal juga menyanggah kembali dengan menegaskan DAP sentiasa konsisten menolak pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Justeru di mana maruah Pas? Mereka dilihat seolah-olah bersedia membuat kenyataan mengelirukan bagi mengaburi penyokong-penyokong mereka kononnya Pas masih memperjuangkan Islam tetapi hakikatnya semua itu sudah lama ditinggalkan.

Apa pun kenyataan terbaru oleh Karpal ini akan menguji kewibawaan dan martabat Majlis Syura Ulama. Majlis itu berhadapan dengan situasi sama ada hendak terus mempertahankan apa yang diputuskan atau terpaksa mengikut rentak politik Abdul Hadi. Majlis Syura Ulama yang dianggap benteng terakhir maruah Pas yang semakin diperkotak-katikkan akibat bergelumang dengan mainan politik PKR dan DAP perlu membuat pendirian yang tegas dalam soal ini.

Biarlah puak-puak tertentu dalam Pas tunduk kepada kehendak kedua-dua parti berkenaan, janganlah pula majlis syura juga mahu berbuat demikian kerana keputusan yang dibuat oleh majlis itu dalam isu kalimah Allah adalah demi menjaga kesucian Islam dan bukan berasaskan kepada pertimbangan politik.

Cukuplah sekali apabila maruah Majlis Syura Ulama seolah-olah diperlekehkan apabila tindakan memberikan kata dua kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu kenyataan menyokong keselamatan negara Israel langsung tidak dipedulikan oleh Penasihat PKR tersebut. Isu itu dilihat selesai, apabila Anwar bertemu dengan Nik Abdul Aziz untuk membuat penjelasan.


Oleh itu tak kanlah dalam berhadapan dengan desakan Karpal, Majlis Syura Ulama mahu membuat 'pusingan U' seperti mana tindakan sesetengah pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini. Majlis Syura Ulama perlu menunjukkan ketegasan bagi memastikan maruah dan martabat Pas tidak terus dilihat boleh diperkotak-katikkan oleh sesiapa. Ulama-ulama Pas perlu mempertahankan keputusan yang dibuat.

Dalam soal desakan Karpal yang harus bertanggungjawab membuat pembetulan ialah Abdul Hadi kerana beliau yang memandai- mandai menyatakan persetujuan tanpa merujuk kepada majlis syura terlebih dahulu, tetapi bagi majlis syura mereka tidak ada pilihan kerana perlu membuat keputusan berdasarkan kepada matlamat mempertahankan kesucian Islam.

Kalaulah Majlis Syura Pas hendak tunduk juga dalam isu kalimah Allah ini, maka adalah lebih baik selepas ini jemput pemimpin PKR dan DAP ke dalam mesyuarat majlis tersebut untuk bertindak sebagai penasihat. Ia bagi memastikan apa juga keputusan dan pendirian hendak dibuat ia dilihat satu kesepakatan dalam apa yang dipanggil 'tahaluf siyasi.

Kalau Majlis Syura Pas tidak mahu dilayan sedemikian maka bertegaslah dalam soal berkaitan Islam, janganlah mempertaruhkannya semata-mata kerana kemaruk kuasa seperti mana sikap sebahagian pemimpin Pas sekarang.

Oleh: Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Jangan terpengaruh 'fatwa' Nik Abdul Aziz?



Rakyat diminta tidak terpengaruh dengan 'fatwa' yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang jelas mengelirukan dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad berkata, Menteri Besar Kelantan itu juga tidak pernah konsisten dengan kenyataan yang dibuatnya sejak dahulu sehingga sekarang.

''Ketika menang bertanding dalam pilihan raya dulu, beliau mengharamkan wanita menyertai tilawah al-Quran sebab suara adalah aurat, hukum itu katanya dibuat berlandaskan al-Quran tetapi sekarang dia pakai hadis mana pula wanita boleh sertai tilawah al-Quran,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah 2.0 Premier BN, Siapa Pelopor Fatwa 'Kluk-Klek' di Kampung Padang Selising, di sini malam tadi.

Menurutnya, ketika mula-mula memerintah, Nik Abdul Aziz tidak membenarkan orang memakai seluar pendek untuk bermain bola sepak tetapi sekarang beliau beri penjaga gol yang memakai seluar pendek sebuah banglo berharga RM200,000.

''Apabila membenarkan perkara ini berlaku bermakna beliau menghalalkan benda yang haram.

''Dua tiga hari lepas, beliau kata menteri yang tidak memberi royalti kepada Kelantan akan masuk neraka. Syurga neraka, kerja tuhan, bukan kerja Nik Aziz. Berhentilah buat fatwa 'kluk-klek' (sekejap boleh, sekejap tidak boleh)," katanya.

Wan Ismail berkata, sudah sampai masanya rakyat di negeri itu menolak Pas kerana parti itu sudah terlajak jauh daripada dasar perjuangannya.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Februari 04, 2013

"Itu dia (Karpal) punya pasal" - Nik Abdul Aziz?



Kerapuhan pendirian bersama pakatan pembangkang berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam semakin ketara terutama apabila berlakunya "pertelingkahan terbuka" antara Pas dan DAP.

Terbaru, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menjawab "itu dia punya pasal" apabila diminta reaksinya berhubung kenyataan Karpal Singh, Pengerusi DAP yang mengenai isu kalimah Allah.

Katanya, Karpal (yang masih mempertahankan keputusan awal pakatan pembangkang supaya bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah) tidak tahu apa berlaku dalam Pas dan terpulang kepada pemimpin DAP itu bercakap.


"Yang buat keputusan ialah Majlis Syura Ulama. Itu dia (Karpal) punya pasal. Dia tidak tahu mengenai Pas kecuali orang Pas, begitu juga DAP, tidak ada orang Pas tahu pasal DAP kecuali DAP," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Karpal menyanggah kenyataan Abdul Hadi yang menyifatkan isu kalimah Allah telah selesai dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas diterima baik oleh orang bukan Islam termasuk pemimpin DAP.

Karpal menegaskan, kenyataan itu jelas tidak benar kerana DAP tetap berpegang teguh dengan pendirian yang telah diambil pakatan pembangkang pada awal bulan lalu yang mahu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dibenarkan.

Suara Politik
Belantan

Isu kalimah belum selesai - Karpal?



Pengerusi DAP, Karpal Singh menyanggah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan isu kalimah Allah telah selesai dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas diterima baik oleh orang bukan Islam termasuk pemimpin DAP. Karpal menegaskan, kenyataan itu jelas tidak benar kerana DAP tetap berpegang teguh dengan pendirian yang telah diambil pakatan pembangkang pada awal bulan lalu yang mahu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dibenarkan.

Malah beliau juga mengulangi desakan yang dibuat sebelum ini iaitu mahu Majlis Syura Ulama Pas mengkaji semula pendirian mereka terhadap isu kalimah Allah. Majlis Syura Ulama Pas hanya satu komponen dalam Pas sedangkan keputusan yang dibuat sebelum itu melibatkan pakatan pembangkang dengan persetujuan kepemimpinan tertinggi ketiga-tiga parti iaitu DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jadi, Majlis Syura Ulama Pas harus menghormati keputusan yang telah dicapai pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai pendirian Abdul Hadi untuk tidak menarik balik keputusan Majlis Syura Ulama terhadap penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam. Abdul Hadi menjelaskan, isu berkenaan telah diselesaikan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerangkan perkara tersebut dan keputusan Majlis Syura Ulama Pas diterima baik oleh bukan Islam termasuk pemimpin DAP.


Karpal menegaskan, tiada sebarang perbincangan berhubung isu berkenaan berlaku di antara pemimpin DAP dan Nik Abdul Aziz.

"Nik Abdul Aziz hanya bertandang ke rumah saya dalam lawatannya ke Pulau Pinang minggu lalu dan kami tidak mengadakan sebarang perbincangan yang menyentuh isu kalimah Allah. DAP kecewa dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang jelas bercanggah dengan keputusan diambil pakatan pembangkang," jelasnya.

Menyentuh tindakan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook menawarkan kerusi Parlimen kepada anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin Tunku Muhriz, Karpal menjelaskan, sepatutnya perkara itu tidak menimbulkan sebarang isu.

Adalah perkara biasa sekiranya golongan diraja terlibat dalam arena politik. Perkara ini tidak menjadi kesalahan memandangkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman juga daripada golongan kerabat diraja," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Februari 03, 2013

Gejolak dalam akar umbi Pas sudah semakin ketara?



Mungkin pemimpin-pemimpin tertentu di dalam Pas boleh mendabik dada mengatakan apa yang berlaku ke atas Nasharudin Mat Isa tidak akan menjejaskan parti tersebut. Malahan bagi sesetengah daripada mereka, penyingkiran atau lebih tepat lagi pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas itu dari kerusi Majlis Syura Ulama Pas adalah 'satu rahmat'.

Ini memandangkan bagi mereka seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, satu lagi halangan besar semakin hampir untuk dilepasi. Sememangnya selama ini, mereka melihat Nasharudin adalah halangan dalam usaha mereka memperkukuhkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Segala-galanya bukan kerana Nasharudin menuntut apa-apa kedudukan atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan imej Pas tetapi disebabkan Nasharudin mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas, tegas dalam soal mempertahankan kesucian Islam dan tidak bersedia berkompromi dengan mana-mana juga pihak yang boleh menjejaskan kepentingan Islam.

Namun malangnya, di dalam Pas sekarang seolah-olah tidak boleh ada pemimpin yang bersikap demikian. Justeru tidak hairanlah penulis menerima pelbagai maklum balas daripada penyokong-penyokong tegar Pas berikutan apa yang berlaku.

''Pemecatan Ustaz Nasharudin dari Majlis Syura bukti Pas tunduk kepada desakan DAP. Apa dosa beliau? Bagaimana Pas ingin memperjuangkan Islam jika pemimpin tiada pendirian? Berdosakah mengiringi Perdana Menteri ke Gaza demi Islam."

Itu antara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh penulis daripada penyokong Pas yang melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap apa yang berlaku ke atas Nasharudin. Selain itu, satu sumber dalaman Pas memberitahu penulis, ketika ini pemimpin-pemimpin Pas semakin tertekan kerana isu Nasharudin dikatakan menambahkan lagi beban parti itu selepas mereka dilihat tidak berupaya menangani isu kalimah Allah.

Pas bernasib baik kerana ada orang seperti Datuk Harun Taib dan Datuk Dr. Haron Din yang terus konsisten mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Tetapi saya tidak fikir mereka berada dalam keadaan selesa kerana kedua-dua mereka dikatakan sering sehaluan dengan Nasharudin dalam mempertahankan prinsip perjuangan Pas," kata sumber tersebut ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Penulis difahamkan apa yang meresahkan pemimpin-pemimpin Pas kini ialah gejolak di peringkat akar umbi semakin ketara apabila ada penyokong menganggap masanya sudah tiba untuk mereka memberikan mesej yang jelas kepada kepimpinan parti itu.


Selama ini, ahli-ahli Pas bersabar apabila kepimpinan parti tetap mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP biar pun mereka lihat ia lebih banyak rugi daripada untung.

"Tetapi kali ini mereka tidak boleh bertahan lagi kerana Pas sudah semakin ketara menggadaikan segala-galanya demi mencapai cita-cita politik dengan kedua-dua parti itu," kata seorang pemimpin muda Pas ketika menghubungi penulis.

Menurut pemimpin muda itu, kepimpinan Pas juga gagal memberikan alasan yang kukuh kenapa Nasharudin digugurkan daripada Majlis Syura, bagi ahli-ahli parti itu alasan kononnya Nasharudin tidak menghadiri mesyuarat hanyalah alasan semata-mata. Sejak awal lagi, apabila Nasharudin sanggup berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah, penyokong-penyokong Pas sudah melihat ada sesuatu yang tidak kena.

Ini memandangkan tidak ada seorang pun pemimpin Pas daripada golongan bukan ulama mempertahankan Nasharudin sebaliknya mereka menganggap itu perbalahan peribadi antara Nasharudin dan Karpal.

''Hujah ini cukup aneh kerana Nasharudin mempertahankan prinsip dan matlamat perjuangan Pas, bukannya soal peribadi. Sejak itu, penyokong-penyokong Pas melihat bahawa ada agenda untuk melihat Nasharudin disingkirkan daripada parti itu," kata pemimpin muda tersebut.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin Pas di peringkat kawasan yang dihubungi penulis mempersoalkan apakah tindakan Nasharudin mengikut Perdana Menteri ke Gaza adalah satu dosa. Sepatutnya Pas berbangga biar pun Nasharudin pergi atas nama Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia tetapi semua orang tahu beliau adalah pemimpin Pas, jadi kenapa perlu melihat tindakan beliau satu kesalahan.

''Kalau ada dalam kalangan pemimpin Pas mengatakan lawatan Perdana Menteri itu hipokrit, saya berpendapat Pas lebih hipokrit kerana sanggup mengambil tindakan ke atas mana-mana juga pemimpin mereka yang dilihat berjuang mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas," kata pemimpin Pas itu.


Mungkin Pas akan menganggap bahawa bantahan terhadap pemecatan Nasharudin hanyalah perkara kecil dan dengan angkuh berkata, tidak peduli bekas Timbalan Presiden Pas itu hendak menyertai parti mana sekali pun. Namun percayalah sentimen ini tidak dikongsi oleh sebahagian ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi yang semakin keliru, celaru dan tertanya-tanya apa sudah jadi dengan parti tersebut.

Sebab itulah, satu kajian menunjukkan 95 peratus ahli dan penyokong Pas tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti tersebut khususnya dalam menangani isu kalimah Allah dan dalam soal hubungan dengan PKR dan DAP.

Tidak apalah, jika kepimpinan Pas terus mahu berasa angkuh, sombong dan mendabik dada kononnya penyokong-penyokong tegar mereka tidak akan lari dan akan tetap mengundi mereka, namun penentu kemenangan sesebuah parti bukan bergantung kepada penyokong tegar sahaja tetapi juga kelompok lain.

Dan dalam isu melibatkan Pas khususnya tindak tanduk mereka sejak berkawan dengan PKR dan DAP serta nasib yang menimpa Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharudin, ternyata Pas tidak layak untuk diberikan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kerana apabila Pas menang, sudah pasti PKR dan DAP yang senang.

Keadaan itu berlaku kerana semua orang tahu sejauh mana keupayaan kepimpinan Pas yang ada sekarang melawan kudrat dan kehendak kedua-dua parti yang cukup kemaruk kuasa tersebut, kesudahannya Pas yang berhasrat menjadi tulang belakang pakatan pembangkang, hanyalah menggigit tulang kerana segala isi pasti akan dimamah oleh PKR dan DAP.

Mungkin penyokong-penyokong Pas akan menganggap apa yang diperkatakan oleh penulis adalah satu lagi usaha memecah belahkan pakatan pembangkang, kalau begitu desaklah supaya Pas dominan dalam pakatan berkenaan, jika itu gagal dicapai maka usahlah bermimpi di siang hari untuk menggantikan UMNO kerana Pas hanyalah pak turut sebab itulah Dr. Hasan dipecat dan Nasharudin 'dibuang' dari Majlis Syura, apa maksud penulis? Fikirlah sendiri!

Suara Politik
Belantan

Kalau janji bukan satu manifesto, apa lagi selepas ini?


Lebih 100 orang ibu tunggal mengadakan bantahan menuntut elaun gaji yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Kenanga, tahun lalu.

Kalau janji bukan manifesto dan ia tidak wajib dipenuhi maka apakah ertinya berkempen di pentas politik dan menampilkan buku berwarna jingga sebagai satu modal untuk menarik sokongan rakyat.

Kerajaan negeri Selangor difahamkan mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sambutan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Mei. Langkah ini walaupun tidak menghairankan rakyatnya sekurang-kurangnya membuatkan mereka tidak sabar untuk mendengar manifesto terbaru Pakatan Rakyat sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan selewatnya hujung Mac atau awal April tahun ini.

Kata pujangga, jangan suka mengungkit nanti ada hati yang sakit. Namun jika ditelusuri pentadbiran kerajaan negeri Selangor selama lima tahun kebelakangan ini, tidak banyak yang boleh dibanggakan dengan manifesto berwarna-warni yang diedarkan sempena PRU ke-12 lepas.

Satu demi satu butiran manifesto dipersoal dan diungkit oleh rakyat, yang menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan dokumen tersebut.

Bukan setakat mempersoalkan kandungan manifesto pakatan rakyat yang dianggotai parti DAP, PKR dan Pas malahan tindakan undang-undang turut diambil oleh rakyat Selangor bagi menuntut janji-janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

Rakyat Selangor seramai hampir 6,000 orang menuntut rebat air percuma dari kerajaan negeri Selangor sebagaimana yang diberikan kepada jutaan rakyat negeri tersebut. Alasan rebat air percuma hanya diberikan kepada meter individu dan bukan pengguna meter pukal amat menghiris hati rakyat yang terlibat. Tindakan belah buluh atau berbahagi kasih sayang menunjukkan di mana adilnya parti yang menggelarkan diri mereka PKR.

Selain kes tersebut, kes tuntutan elaun yang dijanjikan di dalam manifesto oleh ibu tunggal menunjukkan rakyat telah muak dengan janji-janji yang tidak ditepati oleh kerajaan PKR. Selama lima tahun ibu tunggal menanti elaun yang dijanjikan, namun sehingga artikel ini ditulis kes tuntutan tersebut masih belum dibicarakan secara penuh di mahkamah.

Namun kemenangan awal terserlah apabila kerajaan negeri Selangor gagal mengetepikan saman yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal baru-baru ini. Kegagalan membatalkan saman tersebut menunjukkan bahawa manifesto adalah satu harapan yang diberikan oleh pihak parti yang bertanding dalam pilihan raya kepada rakyat.

Bagi rakyat Selangor mereka telah membaca, meneliti, membincangkan, mengulas malah menyimpan manifesto tersebut dan menganggap ia sebagai janji yang perlu dipenuhi apabila pihak yang membuat janji mendapat mandat mentadbir Selangor.


Sokongan telah diberi dan mandat telah diterima, namun apa yang mereka dapat hanyalah alasan demi alasan oleh pihak terbabit hingga mereka menjadi bosan. Ibu-ibu tunggal yang menyaman turut kecewa apabila Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Abdul Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta bukti kukuh bahawa kesemua ibu tunggal tersebut memberi bukti mereka memangkah Pakatan Rakyat semasa Pilihan Raya Umum 2008.

Soalnya, di manakah kewajaran dan keadilan permintaan itu, bukankah undi itu rahsia dan atas sebab kerahsiaan itu juga maka ada pihak yang sanggup menyarung baju kuning menuntut pilihan raya lebih telus dan adil. Seorang pemimpin pembangkang mahu undi didedahkan kemudian hari manakala satu pihak lagi mahu jari pengundi dicelup dakwat hitam supaya tiada penipuan berlaku.

Inikah dinamakan perjuangan demi menegakkan keadilan? Rakyat dijadikan sepak raga disepak ke sana sini dengan isu dan helah politik atas nama kebebasan bersuara.

Justeru, kepada pemimpin pembangkang yang mengatakan janji manifesto bukan satu kemestian untuk dipenuhi, perlulah menarik kembali kenyataan tersebut. Rakyat Selangor sudah bijak menilai dan mampu menghakimi setiap dokumen yang disajikan kepada mereka setiap kali pilihan raya yang sudah masuk edisi ke 13 pada tahun 2013 ini.

Sekilas ikan di air di Langat 2 yang semakin kering, sudah tahu sama ada ia jantan mahupun betina. Begitu juga dengan manifesto pilihan raya, buku jingga mahupun dasar Kerajaan Pusat kesemuanya adalah menjurus kepada janji.

Ibarat seorang pengantin dan tok kadi. Apabila tok kadi menjalankan upacara akad nikah akan ada ijab dan kabul. Sebelum dinikahkan pengantin lelaki akan bertaklik. Iaitu janji untuk melayani isteri dengan penuh kasih sayang dan tidak akan mencederakannya.

Dalam soal pilihan raya, manifesto adalah taklik dari parti yang bertanding dan ijab dan kabul adalah proses menyetujui kandungan manifesto yang mana pengundi seumpama pengantin perempuan setuju dengan taklik tersebut. Namun hari ini pengundi di Selangor membantah taklik yang dibuat maka jatuhlah talak ke atas kerajaan negeri.

Jika sudah jatuh talak atau taklik di bawa ke mahkamah maka layakkah lagi kerajaan negeri hendak bertaklik sekali lagi sedang pengantin perempuan sudah merajuk?

Jadi begitu keadaannya apakah patut kerajaan yang sama mengeluarkan manifesto sekali lagi?

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Februari 02, 2013

Anwar dan pakatan pembangkang lawan autoriti agama?



Sebahagian besar jabatan agama negeri sudah mempunyai enakmen atau peraturan mengenai salah guna kalimah Allah dan kalimah-kalimah yang lain. Hampir semua mufti juga mempunyai pandangan yang sama mengenai perkara ini. Sudah sampai masanya tindakan diambil kepada yang ingkar.

Raja-raja dan Sultan sebagai Ketua Agama Negeri masing-masing banyak yang sudah menyatakan sikap bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan sesuka hati. Majlis Fatwa negeri dan negara telah membuat keputusan yang sama. Majlis Agama negeri pun mesti tegas.

Autoriti atau bidang kuasa mengenai hal-hal agama bukan milik Anwar Ibrahim dan DAP malah bukan juga milik Pas. Majlis Syura Pas sepatutnya seiring dengan keputusan pihak lain yang berautoriti secara syarak dan perundangan.

Siapa Lim Guan Eng mempersoalkan penggunaan kalimah Allah bagi versi Melayu Bible sedangkan pihak yang berautoriti bukan dirinya. Siapa Anwar yang membuat keputusan bahawa penggunaan kalimah Allah itu boleh, sedangkan itu bukan bidang kuasanya juga.

Terang-terangan mereka menolak pihak yang berautoriti, Majlis Agama Islam Negeri, Tuanku Raja-Raja dan Sultan, majlis fatwa, alim ulama dan lain-lain. Sikap tidak menghormati autoriti agama ini adalah kecenderungan biasa Anwar yang mencabar siapa saja yang tidak bersetuju dengannya.

Hatta Majlis Syura Pas pun dipersoalkan autoritinya. Anwar bukan ulama yang mempunyai autoriti ilmu dan mengeluarkan fatwa terhadap isu-isu keagamaan. Beliau hanya 'bekas tokoh' gerakan Islam dan tidak juga mujaddid yang tersohor untuk berbeza pendapat dengan ulama-ulama seperti Dr. Haron Din umpamanya.


Hairannya pendirian Anwar diterima oleh sebilangan orang dan Guan Eng amat gembira dengan pendirian Anwar ini kerana terperangkap dengan strateginya.

Penulis percaya ulama Pas yang mula mengambil sikap dan pendirian tegas menyebabkan Anwar cemas kerana isu ini terkait dengan persoalan akidah.

Memahami Anwar dengan perangainya 'lawan tetap lawan' menyebabkan Abdul Hadi Awang tersepit. Abdul Hadi belum lagi membuat kenyataan yang tegas dan jelas. Kenyataannya sedang ditunggu oleh banyak pihak. Persetujuan Abdul Hadi mengenai penggunaan kalimah Allah pada 8 Januari lalu belum terungkai lagi.

Katakanlah Abdul Hadi tampil menyatakan secara terbuka bahawa dia berdiri teguh dengan keputusan Majlis Syura dan Anwar menyatakan sebaliknya, dengan sendirinya kenyataan Abdul Hadi pada 8 Januari itu terbatal.

Anwar tidak boleh memaksa Abdul Hadi mempertahankan kenyataan 8 Januari itu kerana ia bercanggah dengan proses syura dan juga syarak. Apa hujah syarak Anwar mengenai keputusan Majlis Syura Pas itu sedangkan asas keputusan Majlis Syura Pas itu didukung oleh nas yang sahih dan boleh dipertahankan.

Anwar hanya menggunakan logik akalnya saja dan pertimbangan politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Anwar tidak mahu kerana isu kalimah Allah, pakatan pecah. Anwar tidak sanggup menghadapi pilihan raya ini tanpa Pas. Dilema Pas ialah bersetuju dengan pendirian Anwar bermakna menggadaikan prinsip syarak yang menyentuh akidah.

Pas dijangkakan memilih prinsip syarak. Prinsip syarak adalah segala-gala. Tidak bersetuju dengan kalimah Allah digunakan sesuka hati oleh Anwar dan pakatan, dan pada masa yang sama masih boleh bekerjasama dalam politik tentunya satu hal yang 'ajaib'.



Lebih bermaruah kalau Pas bertanding sendiri-sendiri tanpa PKR dan DAP. Cara begini akan dihormati banyak pihak. Tapi bolehkah pakatan berkuasa tanpa Pas. Dan bolehkah Pas memenangi banyak kerusi tanpa sokongan pengundi DAP.

Pilihan raya semakin dekat, Pas tidak banyak masa untuk berfikir strategi lain. Majlis Syura harus bersidang sekali lagi untuk mengambil pendirian apakah syarie namanya berjuang dengan parti lain yang meremehkan isu penggunaan kalimah Allah.

Atau Pas mengambil 'taqiyyah' atau maslahah supaya lelap mata dengan isu kalimah Allah kerana yang penting ialah masih bersama pakatan pembangkang kerana hajat hendak ke Putrajaya semakin tidak tertahan lagi.

Kalau itulah sikap yang diambil, keputusan Majlis Syura 13 Januari tidak memberi makna apa-apa bagi Pas dan tidak menggentarkan Anwar atau menjadikan Guan Eng di pihak yang bersalah.

Lalu pilihan raya yang dilalui oleh Pas bersama pakatan ibarat lupakan dulu perkara pokok mengenai kalimah Allah atas nama syarak dan terus berjuang atas nama politik dan kuasa. Apakah itu akhirnya jalan yang dipilih oleh Pas?

Suara Politik
Belantan

Anwar Kata : TIDAK SALAH GUNA ‘ALLAH’ DALAM BIBLE?

"Anwar berkata sejak generasi rakyat Malaysia membesar menggunakan Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi, beliau melihat tiada sebab mengapa penganut Kristian Malaysia tidak boleh menggunakan istilah Bahasa Arab untuk Tuhan- ‘Allah’ dalam ritual mereka."

Satu kenyataan paling berani Anwar, bukan berkaitan isu ekonomi, isu sosial, tetapi isu agama yakni berkenaan kalimah Allah.

Kenapa tiba-tiba penganut Kristian di Malaysia begitu terdesak memohon menggunakan istilah Arab "Allah" menggantikan "Tuhan"? Kenapa minta di depan Anwar ? Kenapa baru sekarang dan tidak dari dahulu lagi ?Kenapa Christian Federation of Malaysia (CFM) tidak memohon kalimah Arab "Rab" yang bermaksud "Tuhan" dan kenapa hanya pohon kalimah "Allah" ?

Saya melihat semua ini mempunyai agenda tersirat yang berniat jahat. Apakah ini bermaksud untuk mengelirukan orang-orang Melayu supaya tidak dapat membezakan kalimah "Allah" dalam Bible dengan kalimah "Allah" dalam Al Quran ? Motifnya seperti mahu merencanakan projek mengkristiankan Melayu secara besar-besaran.

Ya benar seperti didakwa Irene Fernandez, tidak dinafikan bahawa Allah digunakan di dalam Bible Bahasa Arab. Sebenarnya penggunaan Allah telah wujud sejak zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi. Kebanyakan Nasrani (Kristian) pada masa itu berpegang kepada syariat nabi Isa - bukan seperti Kristian zaman sekarang.


Rata-rata orang Arab Kristian memegang kepada kepercayaan Christian Orthodox , seperti di Palestine, Lebanon , Syria , Jordan dan sebagainya.Namun begitu, majoriti Kristian menafikan kewujudan ‘Allah ‘ terutamanya Bible dalam bahasa Hebrew atau pun Greek.Maka jelaslah penafian ini menidakkan hujah Sheikh Ahmed Deedat bahwa kewujudan perkataan Allah di dalam Bible sejak dari dahulu lagi. Buktinya baca disini... .
Persoalannya;

1) Mengapa Irene Fernandez dan sekutunya beria-ria mahu menggunakan perkataan ‘Allah’ walhal di dalam masyarakat Kristian sendiri, menolak kalimah "Allah" di dalam Bible asal?

2) Adakah Kristian Malaysia dari negara Arab atau Barat ? Kalau dari negara Barat, kenapa tidak menggunakan kalimah Tuhan yang biasa digunakan oleh majoriti penganut Kristian di sana, kenapa perlu ditukar kepada Allah ?

3) Adakah dengan menggantikan kalimah "Allah", Irene menerima hujah bahawa Allah memang wujud di dalam Bible asal dan menerima kewujudan ‘prophecy of Nabi Muhammad’ di dalam Bible ?. baca disini...

Maka jelaslah, pada saya, usaha penukaran istilah Tuhan di dalam Bible di Malaysia iaitu Tuhan kepada Allah sememangnya mempunyai agenda tersirat yang berniat jahat Mereka mahu orang Melayu Islam di Malaysia jadi keliru, melihat tiada perbezaan antara Bible dan Quran. Jadi dengan itu, orang-orang Melayu Islam yang akan mudah terpengaruh dan tertipu dengan kalimah Allah di dalam kitab Bible.

Selain itu, hakikat yang perlu kita lihat dari sudut pandangan lain juga iaitu penggunaan dan penukaran istilah di dalam Bible secara sewenang-wenang itu membuktikan bahawa “Bible is Corrupted”.Bolehkah kitab yang kononnya dipercayai sebagai ‘words of God’ sewenang-wenangnya ditukar mengikut citarasa manusia ?

Bolehkah kitab sebegini dianggap suci dan ‘holy’?Berlainan dengan AlQuran sebagai Kitab Suci Umat Islam di mana seluruh umat Islam di dunia ini menggunakan hanya satu Al Quran tetapi diterjemahkan ke dalam bahasa asing tanpa menggangu atau mengubah konteks dan susunan serta makna ayat-ayat Al-Quran itu.

Sesungguhnya Bible yang wujud sekarang ini adalah bible yang telah di’edit’ dan dikotori oleh tangan manusia. Malangnya manusia yang dulunya berjuang Islam, bernama Anwar Ibrahim sendiri, menyokong tindak-tanduk musuh Islam kononnya atas dasar “FREEDOM OF EXPRESSION”Apakah niat sebenar Anwar, untuk kebenaran atau untuk mendapat saham politik ? Wajarkah semata-mata mahu meraih sokongan dan populariti, agama dan kalimah "Allah" diperjudikan ?

Oleh itu, tindakan kerajaan Malaysia menolak penukaran istilah Tuhan di dalam Bible kepada Allah memang tepat dan merupakan tindakan yang bijak. Semoga ketulenan dan kesucian agama Islam serta kesejahteraan umat Islam di Malaysia akan sentiasa dilindungi Allah , Ameen ya rab Al’Alameen.

Suara Politik
Belantan

Apa Sumbangan PAS Terhadap Negara?



Kalau PAS bertanya apakah yang dilakukan oleh UMNO untuk membangunkan Islam di Malaysia, jawapannya adalah perjuangan UMNO ke arah itu bermula sejak tuntutan kemerdekaan 1957 lagi.

Perkara penting yang ditekankan oleh UMNO semasa membentuk pakatan murni dengan kaum-kaum lain bagi kemerdekaan adalah Islam dijadikan agama rasmi negara. Perkara ini tidak ada kompromi, walaupun pihak penjajah tidak begitu berkenan dengan syarat ini.

Perjuangan untuk membangunkan Islam oleh UMNO bermula lebih awal daripada perjuangan Islam ala-PAS oleh PAS. Kalau UMNO menjadikan Islam sebagai pra-syarat untuk berunding dengan kaum-kaum lain bagi kemerdekaan, tetapi PAS menjadikan Islam sebagai alat memuaskan nafsu kecewa Haji Ahmad Fuad yang tewas kepada Tunku Abdul Rahman dalam pemilihan Yang Dipertua UMNO.

Kalau UMNO memperjuangkan Islam sebagai agama rasmi negara, tetapi PAS memperjuangkan Islam untuk meruntuhkan teraju kepimpinan negara yang didominasikan oleh Melayu yang sudah tentunya Islam. PAS lebih rela menggilirkan jawatan Perdana Menteri dengan bukan-Islam asalkan cita-cita politik berlandaskan nafsu serakah mereka tercapai.


Janganlah PAS bertanya apakah yang telah dilakukan oleh UMNO untuk membangunkan Islam, sebaliknya bertanyalah apakah yang dilakukan oleh PAS sendiri ke arah itu di Kelantan. Kalau nak disebutkan rentetan usaha UMNO sejak 1957 bagi pembangunan Islam, jumlahnya terlalu banyak berbanding sekelumit usaha PAS.

Sebelum Dasar Ekonomi Baru (DEB), UMNO menubuhkan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH), Perkim dan Felda, antara badan yang menekankan kepentingan umat Islam di negara ini. Semasa DEB, UMNO menubuhkan universiti-universiti – UKM – untuk memberi ruang lebih luas kepada generasi Melayu melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Bank Islam, UIA, ASN. ASB, IKIM, Pusat Islam – semuanya lahir dari idea kepimpinan UMNO. Mampukah pemimpin PAS merangka program-program sebesar ini?

Apakah dengan menyerahkan tanah Negeri Kelantan seluas 2,000 ekar kepada syarikat bukan-Melayu dari Singapura untuk ditanam kelapa sawit perlu terlalu dibanggakan oleh Nik Aziz dengan liputan akhbar yang meluas?.


Kalau nak dibandingkan dengan usaha Kerajaan Negeri lain yang membuka tanah berpuluh-puluh ribu ekar di Indonesia untuk tanaman kelapa sawit dengan pegangan 70 peratus kepentingan, Nik Aziz berbangga dengan kepentingan 30 peratus sedangkan syarikat asing memegang 70 peratus.

Tidak adakah syarikat-syarikat Melayu di Kelantan yang mampu membangunkan tanah kelapa sawit yang luasnya sekangkang kera itu?

Ketika UMNO memberikan bantuan kemanusiaan kepada sahabat-sahabat Islam yang menderita seperti di Bosnia, Kosovo dan Mindanau. PAS lebih banyak mempolitikkan isu ini. PAS buat ceramah semata-mata untuk mengutip wang bagi membiayai agenda politik sempit, dan tidak langsung prihatin untuk memberikan bantuan kepada rakyat menderita, khususnya di Kosovo.

PAS, lupakanlah cita-cita untuk menghancurkan politik orang Melayu, kerana cita-cita itu samalah dengan meletakkan Islam di paras yang hina suatu masa nanti. Jangan racuni fikiran generasi muda dengan idea-idea politik yang terpesong jauh daripada asas kekuatan sebenar politik orang Melayu yang berteraskan UMNO di negara ini.

Janganlah bermain api, kerana akhirnya orang Melayu akan sedar sejauh mana kejujuran politik tidak matang PAS.

Suara Politik
Belantan

Akhirnya Anwar bersuara, ambil pendirian?



Seperti dijangka Anwar Ibrahim mengambil pendirian bersama dengan DAP dan Lim Guan Eng dalam isu penggunaan kalimah Allah. Pertama, Anwar tidak menghormati proses syura yang merupakan asas penting dalam sesebuah jemaah Islam. Isu yang berbangkit bukan isu biasa. Ia menyentuh mengenai perkara pokok dalam Islam iaitu akidah tauhid.

Kedua, sekian lama Anwar memimpin ABIM dulu, penulis percaya proses syura sifatnya binding atau terikat sebagai suatu keputusan yang sah dan perlu dipatuhi.

Sebagai 'tokoh' perjuangan Islam suatu ketika dulu, apakah Anwar tidak memahami proses ini sehingga berkeras mahukan Haji Hadi Awang menerima keputusan mesyuarat pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu supaya kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Anwar tentu tahu bahawa penggunaan kalimah Allah berhubung dengan Bible dan agama Kristian mempunyai implikasi akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Kalimah Allah tidak sekadar suatu istilah yang boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak kerana ia membawa makna Allah Yang Satu, sedangkan God atau My Lord dalam Bible membawa konsep Trinity iaitu Satu Dalam Tiga dan Tiga Dalam Satu.

Apakah bila Allah dalam Bible versi Melayu membawa maksud Allah Yang Satu dan membawa makna penyembahan Allah Yang Satu terhubung dengan patung dan salib yang diamalkan oleh orang Kristian.

Bukan maksud penulis menghina agama Kristian kerana perbezaan adalah sesuatu yang wujud dalam anutan agama. Al-Quran memberi pedoman, "kamu agama kamu dan kami agama kami." Rasulullah SAW menasihatkan supaya jangan menghina agama lain nescaya penghinaan juga boleh berlaku terhadap agama kamu.

Isu yang berbangkit ialah mengapa pihak Kristian dan Anwar berkeras mahu menggunakan kalimah Allah dalam versi Bible bahasa Melayu sedangkan mereka tahu bahawa ia adalah isu sensitif dan boleh membawa kepada kufur dan syirik, kata Dr. Haron Din.

Datuk Harun Taib, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasrudin Tantawi berkeras supaya kalimah Allah tidak digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu. Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Karpal Singh berkeras supaya persetujuan 8 Januari dalam kalangan pimpinan utama pakatan termasuk Haji Hadi binding dan perlu dipatuhi.



Persetujuan 8 Januari itu bukan keputusan Syura. Haji Hadi khilaf membuat pendirian sebegitu sebelum merujuk kepada Majlis Syura. Lazimnya amalan sebuah jemaah politik Islam akan berpegang kepada keputusan syura sebagai sesuatu yang binding atau terikat dan perlu dipatuhi.

Khalayak menunggu kenyataan tegas Haji Hadi mengenai perkara ini setelah Anwar menyatakan pendiriannya. Kalau Haji Hadi seperti pemimpin Pas yang lain bertegas dengan keputusan Majlis Syura, Haji Hadi tidak ada pilihan lain melainkan kena terima keputusan Majlis Syura.

Kalau Haji Hadi tidak menyatakan dengan tegas dan jelas mengenai pendiriannya sebaliknya masih bertahan dengan kenyataan 8 Januari bersama dengan Anwar dan DAP - bermakna kedudukan Haji Hadi sebagai Presiden Pas tidak lagi relevan. Ia menjadi tidak relevan kerana sebagai Presiden, keputusan Majlis Syura adalah binding. Mahu tidak mahu Haji Hadi kena patuh dan taat dengan keputusan itu.

Anwar masih bertegas dengan pendiriannya tentang penggunaan kalimah Allah atas pertimbangan politik pilihan raya. Anwar ingin segera menjadi Perdana Menteri Malaysia. Pas mengambil pertimbangan syarak kerana isu kalimah Allah adalah perkara pokok dalam akidah Islamiah. Apakah Pas sanggup menggadaikan prinsip syarak dan mengutamakan matlamat politik Anwar?

Kalaulah isu pokok ini Pas tidak mampu bertegas dan masih cair dengan strategi Anwar, apa makna perjuangan Islam yang sekian lama didukung oleh Pas. Takdirnya pakatan pembangkang menang kali ini (minta dijauhkan Allah) apakah agenda pokok Negara Islam dan syariah Islamiah boleh berjalan di Malaysia?

Atau Anwar ingin menggunakan Pas sebagai batu loncatan untuk menjadi Perdana Menteri dan DAP bersama dengan Pas untuk mendapat kerusi lebih supaya dominasi politik terjadi. Akhirnya Pas dapat apa? Fikir-fikirkan lah!

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Februari 01, 2013

Haron Din pula tunggu giliran dipecat?



Selepas bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dipecat daripada Majlis Syura Ulama Pas beberapa lagi pemimpin tertinggi parti itu diyakini bakal menerima nasib serupa kerana sering mempertikaikan keputusan parti. Bekas aktivis Pas, Zainon Ismail berkata, beliau percaya tindakan serupa juga akan dikenakan terhadap Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din.

Beliau yang turut dikenali dengan nama C.N. Al-Afghani berkata, Haron sebelum ini merupakan antara pemimpin Pas yang lantang mengkritik kesediaan parti itu membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada agama-agama lain di negara ini.

“Saya yakin ada lagi. Selepas Ustaz Nasha, saya yakin sesiapa sahaja dalam kalangan pemimpin Pas akan dipecat jika mempertikaikan kerjasama dengan DAP dan isu kalimah Allah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Diskusi Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia di Stadium Negeri, di sini hari ini. Menurut Zainon, beliau tidak menolak kemungkinan Haron berada dalam senarai dipecat kerana dianggap mempunyai pendirian selari dengan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang boleh merugikan pakatan pembangkang.


Beliau berkata, tindakan terbaharu terhadap Nasharudin itu memberi gambaran sesiapa sahaja dalam Pas sama ada pemimpin atau ahli parti tersebut tidak berhak mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan parti. “Apabila keputusan dibuat, bagi mereka (pemimpin parti) keputusan itu betul, tepat dan tidak boleh dipertikaikan.

“Kalau sesiapa pertikai, mereka juga berada dalam kedudukan tidak selamat," jelasnya.

Sementara itu : 'Saya lega digugurkan calon Pas'

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berasa lega dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau akan digugurkan sebagai calon Pas bagi mempertahankan kawasan Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.


Beliau berkata, sekurang-kurangnya satu daripada tanggungjawabnya selama ini tidak lagi perlu dipikul selepas pilihan raya umum akan datang. Menjadi calon bukan agenda besar bagi saya dan bagi saya juga sama ada kita dicalonkan atau tidak, segala tugas yang diamanahkan hendaklah ditunaikan dengan baik.

''Mudah-mudahan sesiapa sahaja yang diangkat menjadi calon selepas ini dan di mana sahaja mereka dicalonkan, mereka akan dapat meneruskan agenda parti,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir dalam sesi taklimat dan pembentukan Sekretariat Mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan di Masjid Negara di sini hari ini.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz mengesahkan Nasharudin tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bachok pada PRU-13 nanti. Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Nasharudin tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi itu selepas namanya tidak dicalonkan oleh Pas kawasannya sendiri.

Menjawab satu soalan, Nasharudin berkata, setakat ini berdasarkan laporan media beliau hanya dipecat sebagai ahli majlis syura dan bukannya ahli parti.

Ditanya desas-desus yang beliau akan dipecat sebagai ahli parti, beliau berkata;

''Saya tidak pasti. Semacam petunjuk saya dipecat itu ada tetapi saya tidak pasti.''

Beliau berkata, setakat hari ini surat pemecatannya secara rasmi sebagai Ahli Majlis Syura Ulama Pas masih belum diterima.

''Saya tidak berbohong jika saya telah terima surat tersebut,'' katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan tindakan merugikan parti itu ada kaitan dengan tindakannya mengiringi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini.

''Ada kemungkinan, sebab kenyataan terbuka ini (pemecatan sebagai ahli majlis syura ulama) dibuat selepas saya pulang dari Gaza,'' katanya.

Suara Politik
Belantan

"Menteri itu akan masuk neraka" - Nik Abdul Aziz?



"Menteri itu akan masuk neraka, tidak ada kuasa yang boleh menyekat dia masuk neraka kecuali syafaat Nabi Muhammad SAW."

Seolah-olah mempunyai kuasa menentukan balasan seseorang, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 'memutuskan' bahawa menteri yang bertanggungjawab dalam agihan royalti minyak kepada negeri akan masuk neraka kerana dakwanya telah menafikan hak kerajaan Pas Kelantan.

Biarpun tidak menyebut dengan khusus nama menteri yang dimaksudkan, dapat difahami bahawa beliau merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan.

Nik Abdul Aziz mempertikai kenapa royalti minyak tidak diserahkan kepada kerajaan Pas Kelantan sedangkan mereka dengan mudah telah mendapat habuan daripada perlombongan emas yang diusahakan sebuah syarikat dari negara Cina.


"Sepatutnya emas dan petrol sama sahaja, sama-sama milik kerajaan negeri, kenapa emas diberi kepada kita tetapi petrol tidak diberi?

"Orang ini bertanggungjawab dunia akhirat, dan dia kena sumpah, rakyat sumpah kepada menteri-menteri yang tidak bertanggungjawab jaga royalti, akhirat kelak dia akan masuk neraka, tidak ada kuasa boleh sekat menteri ini masuk neraka kecuali syafaat Nabi Muhammad SAW.

"Royalti baik, balak baik, ia sama ada boleh bawa kita ke syurga atau ke neraka, ini masalah besar, golongan sekular tidak fikir masalah syurga neraka, sedangkan benda itu benda ada, kerana syurga neraka ini bukan projek kerajaan, bukan projek parti, tapi daripada Allah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan baki royalti emas dan sumbangan daripada syarikat CMNM Mining Group Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat CNMC Goldmine Holdings Ltd. kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sebanyak RM386,926 dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebanyak RM347,115.

Suara Politik
Belantan