Sabtu, Mei 21, 2016

Skandal habuan wanita dan wang - Rafizi mengaku?


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, mengaku me­nulis mesej dalam aplikasi WhatsApp mengenai habuan wanita dan wang jika mahu berurusan dengan kerajaan negeri Se­langor yang menjadi viral.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengakui ‘Kak Zu’ yang di­sebut dalam perbualan kumpulan WhatsApp Solidarity For Anwar adalah merujuk kepada Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Bagaimanapun selepas dakwaan tersebut menjadi viral, Rafizi menafikan tuduhan itu ditujukan kepada mana-mana wakil rakyat pakatan di Selangor, sebaliknya mendakwa, perbualannya merujuk kepada individu tertentu yang tidak dinamakan.

“Saya boleh mengesahkan bahawa tuduhan itu adalah khusus kepada individu tertentu dan bukan tuduhan umum. Tuduhan iaitu bukan terhadap individu yang menjawat kerusi wakil rakyat atau kakitangan jabatan di bawah kerajaan Selangor.

“Walaupun tidak enak membicarakan tuduhan salah laku terhadap anggota atau pimpinan PKR sebegini, saya selalu me­negaskan bahawa penyakit tamak dan korupsi ini tidak mengenal sempadan atau parti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Transkrip perbualan Rafizi dalam kumpulan WhatsApp tersebut mula didedahkan portal The Malaysian Miror semalam dan kandungan mesej sebahagiannya adalah seperti berikut:

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan daripada orang bona fide (berniat baik) bahawa selain dari wang, sekarang ini ada juga permintaan ‘perempuan’ bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/saudari tahu apa yang saya maksudkan). Mereka datang mengadu kepada saya dan saya sedang kumpul maklumat.

“Cakap-cakap mengenai wang dan kini perempuan dll (dan lain-lain), yang menyebabkan orang dalam dan luar bercakap mengenai ‘dedak’. Kalau saya dah mula lantang ke depan dan di luar, maksudnya saya ada bukti dan saya bagi nasihat kepada Kak Zu supaya berhati-hati dan sampaikan nasihat saya.

“Kerana saya ada had sebelum saya expose (dedah) mengenai parti sendiri. Saya tidak takut mengenai kata-kata saudara/saudari di sini, saya takut dosa. Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik dan lain-lain.

“Selama ini tidak pernah sekali pun saya pergi ke SUK (Setia­usaha Kerajaan Negeri), sejak saudara Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) jadi MB (Menteri Besar) untuk minta atau bincang sesuatu.”
-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: