Sabtu, Mei 21, 2016

Exco Pas diminta berundur?


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar mula mencetuskan konflik dalam pentadbiran Kerajaan PKR Selangor apabila tiga Exco Kerajaan Negeri daripada Pas dikatakan menerima tekanan meletakkan jawatan jika parti me­reka membuat keputusan untuk bertanding di kawasan tersebut.

Tiga Exco berkenaan ialah Pe­ngerusi Jawatankuasa Tetap Infra­struktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Walaupun Menteri Besar Sela­ngor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan desas-desus tersebut, namun kenyataan beberapa pemimpin kanan Pas seolah-olah mengesahkan tekanan tersebut berlaku.

Biarpun tidak merujuk secara langsung apa yang sedang berlaku di Selangor, mereka menyifatkan politik ugutan yang diamalkan oleh pakatan pembangkang sebagai perilaku samseng.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, politik ugutan sangat tidak harmoni untuk di­amalkan dalam orientasi politik negara apatah lagi yang dipraktikkan terhadap pihak rakan.

“Justeru politik ugut ini sebahagian daripada perilaku samseng politik dan juga adalah peribadi pembuli politik. Andai amalan sebegini dijadikan budaya dalam politik maka pincanglah peradaban kita,” katanya dalam catatan di laman Facebook miliknya, di sini hari ini.

Difahamkan tekanan ke atas tiga Exco Pas yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor itu mula tercetus apabila parti tersebut mela­lui kepemimpinan kanan termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan beliau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertegas bahawa Parlimen Sungai Besar adalah kerusi tradisi parti itu.

Oleh itu mereka menolak sebarang rundingan sama ada de­ngan PKR, DAP mahupun PAN berhu­bung perkara tersebut.

Mohamed Azmin sebelum ini mencadangkan supaya Pas berun­ding dengan pakatan pembangkang berikutan kekalahan teruk pakatan itu dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN) Sarawak baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Penera­ngan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali turut mengingatkan semua pihak supaya tidak perlu menjadi samseng politik dengan mengambil tindakan ugut-mengugut.

“Insya-Allah, Pas tetap bertan­ding di kawasan Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Itu keputusan mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat minggu lepas.

“Bertawakallah kepada Allah. Pas membawa mesej dakwah dan politik Islam. Tidak ada orang yang rugi jika membawa mesej ini,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula meminta pakatan pembangkang menghormati parti itu.
‘‘Hormati kami jika kami menola rundingan ‘mi segera’ yang sekadar memaksa kami melepaskan hak berasaskan kerusi pilihan raya umum 2013.

“Kalau masing-masing mahu tunjuk belang, biarlah kami kekal bulan. Bulan adalah rawatan alam daripada sekelian kejadian di bumi tuhan,’’ katanya.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Mohamed Azmin yang diminta mengulas desas-desus berhubung perkara tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Ex­co kerajaan negeri menegaskan, dakwaan beliau mengugut tiga exco Pas itu adalah tidak benar.

“Tidak benar. Perkara itu tidak berlaku (ugut singkir Exco Pas). Sekarang ini fokus kita bincang kerusi dulu. Perbincangan juga masih berjalan dan saya ada jumpa PAN hari ini,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: