Sabtu, Mei 21, 2016

Adenan umum 
18 menteri muda.

Sebelas daripada 18 menteri muda Kabinet negeri Sarawak bergambar selepas istiadat mengangkat sumpah menerima pelantikan masing-masing di hadapan Abdul Taib Mahmud di Dewan Lapau, Bangunan DUN, Kuching, semalam.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem melengkapkan senarai penuh Kabinet negeri yang diterajuinya bagi penggal ke­dua dengan mengumumkan nama 18 menteri muda hari ini.

Barisan menteri muda yang dipilih kali ini menyaksikan enam muka baharu manakala dua anggota Kabinet lama iaitu Datuk Abdul Wahad Aziz dan Datuk Mong Dadang digugurkan.

Muka baharu yang dilantik ialah Dr. Abdul Rahman Junaidi, Dr. Abdul Rahman Ismail, Dr. Annuar Rapaee, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Malcom Mussem Lamoh dan Datuk Dr. Penguang Manggil.

Sementara itu, 12 muka lama yang dikekalkan ialah Datuk Mohd. Naroden Majais, Datuk John Sikie Tayai, Datuk Francis Harden, Datuk Talip Zulpilip, Datuk Lee Kim Shin, Liwan Lagang, Datuk Len Talif Salleh, Datuk Dr. Jerip Susil, Datuk Julaihi Narawi, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Rosey Yunos dan Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Daripada jumlah itu, dua adalah calon langsung Barisan Nasional (BN) yang menang di kawasan masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei lalu iaitu Rosey dan Jerip.

Jawatan Timbalan Speaker De­­wan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang kosong berikutan pelantikan Roland Sagah sebagai menteri muda pula diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.

Bagi memantapkan lagi urusan pentadbiran, Adenan turut memperkenalkan portfolio tambahan baharu di bawah beberapa kementerian, menjadikan jumlah portfolio bagi menteri muda kini bertambah kepada 21 berbanding 19 sebelum ini.

Portfolio baharu diperkenalkan ialah Menteri Muda Undang-undang Adat Pribumi dan Adat, Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi, Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Pedalaman) dan Perladangan, Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pantai) dan Perikanan; Menteri Muda Tanah, Pengangkutan Udara dan Keselamatan, Menteri Muda Pengangkutan Sungai dan Kese­lamatan serta Menteri Muda Kese­nian dan Kebudayaan.

Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan, Menteri Muda Perpaduan, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) serta Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi).

Dalam pada itu, portfolio Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) yang dipegang oleh Datuk Ir. Daud Abdul Rahman sebelum ini, tidak disenaraikan dalam portfolio Kabinet baharu berkenaan.

Menurut Adenan, kesemua 12 menteri muda yang dipilih meng­anggotai Kabinet negeri yang baharu ini mempunyai kekuatan tersendiri dan berpengalaman untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

“Walaupun terdapat pertambahan kerusi dimenangi oleh BN pada PRN-11 iaitu 71 berbanding 52 kerusi sebelum ini, namun kita tidak bercadang untuk mewujudkan kementerian baharu negeri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini hari ini.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: