Ahad, Mei 29, 2016

PKR: Didakwa cipta isu untuk alih perhatian?


Perbalahan kepemimpinan PKR mengenai dakwaan wujud habuan wang dan perempuan jika mahu berurusan dengan kerajaan Selangor semakin hangat apabila timbul tuduhan ia sengaja dicetuskan oleh seorang pemimpin kanan parti itu sendiri.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, dakwaan sedemikian sengaja disebarkan untuk mengalih perhatian ahli parti itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan seorang pemimpinnya yang dikatakan telah membocorkan surat dalaman di antara Anwar Ibrahim dengan kepimpinan PKR.

"Majoriti ahli parti (PKR) percaya surat dalaman parti itu disyaki dibocorkan sendiri oleh 'orang yang menguruskan pentadbiran parti' kepada media. Bagi mengalihkan (isu) kebocoran surat itu, maka tuduhan rasuah wang dan perem­puan ini sengaja disebar.

"Saya berpandangan jika benar wujudnya dakwaan sogokan se­perti itu, sepatutnya individu terlibat menyiasat sepenuhnya dahulu dan tidak perlu 'melambung ke seluruh dunia' dakwaan itu sedemikian rupa. Sebaiknya ia perlu dibawa ke pengetahuan majlis pimpinan pusat dan dibincangkan di sana sebelum sesuatu keputusan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp kepada wartawan akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, Shuhaimi tidak mendedahkan identiti pemimpin kanan PKR terbabit yang dikatakan mencetuskan dakwaan tersebut termasuk membocorkan surat Anwar sebelum ini yang difahamkan mengenai kebimbangan Penasihat PKR itu mengenai penglibatan PKR dalam gerakan menjatuhkan Perdana Menteri bersama-sama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menerusi laporan akhbar semalam mengakui menulis mesej dalam aplikasi WhatsApp mengenai habuan wanita dan wang jika mahu berurusan dengan kerajaan negeri Selangor yang menjadi viral.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengakui ‘Kak Zu’ yang disebut dalam perbualan kumpulan WhatsApp Solidarity For Anwar adalah merujuk kepada Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Bagaimanapun selepas dakwaan tersebut menjadi viral, Rafizi menafikan tuduhan itu ditujukan kepada mana-mana wakil rakyat pakatan di Selangor, sebaliknya mendakwa perbualannya itu merujuk kepada individu tertentu yang tidak dinamakan.

Dalam pada itu, Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mempersoalkan motif dan tujuan sebenar pemimpin kanan PKR yang terlibat membangkitkan dakwaan habuan tersebut dalam kumpulan WhatsApp ber­kenaan.

"Pastinya ada maksud (niat) yang tertentu. Salah satunya ialah supaya kesilapan yang disyaki dilakukan oleh beliau dengan membocorkan surat Ketua Umum (Anwar) itu dapat dialihkan.

"Saya fikir apa jua alasannya sangat tidak sesuai pemimpin parti bertaraf pimpinan kanan melakukan tuduhan sebegini. Ia sangat merosakkan selain mencalar sedikit imej kerajaan negeri dan kakitangan awam di Selangor.

"Bahkan, ia juga merobek imej pimpinan terlibat. Reputasinya dan niatnya mula dipersoalkan," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: