Khamis, Oktober 22, 2015

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina..!!! Bantah kenaikan Tol?

KERATAN akhbar China Press bertarikh 16 Oktober 2015

AKHBAR China Press bertarikh 16 Oktober 2015 menyiarkan artikel mengulas kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya baru-baru ini setelah Kerajaan Pusat memutuskan untuk menghentikan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi.

Artikel bertajuk ‘Si pencekik darah bantah pencekik darah’ yang ditulis oleh Lai Shao Kwang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C9.

Ada pihak mendakwa kenaikan kadar tol itu dilakukan secara mengejut, tiada sebarang perbincangan dan dilaksanakan pada waktu tidak sesuai ketika berlaku peningkatan kos sara hidup.

Benarkah langkah ini dibuat secara mengejut? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana semua pihak mengetahui bahawa kadar tol rendah yang dinikmati rakyat sekarang kerana kerajaan telah membayar pampasan kepada syarikat konsesi. Kadar tol akan naik pada bila-bila masa sahaja jika bayaran ganti rugi berkenaan dihentikan.

Misalnya, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP). Kenaikan kadar tol sepatutnya dibuat pada 2007, tetapi kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) ingin meraih undi pada pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada waktu terdekat maka peningkatan itu ditangguhkan.

Dalam tempoh tujuh tahun penangguhan itu, Kerajaan Pusat telah membayar ganti rugi sebanyak RM89 juta kepada syarikat pengendali LDP.

Lebuh raya lain juga beroperasi menurut model yang sama, jadi tidak benar dakwaan kenaikan kadar tol baru-baru ini berlaku secara mendadak.


Cuma yang ingin penulis bangkitkan ialah sikap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang seolah-olah bersetuju kenaikan kadar tol LDP dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) sedangkan kerajaan negeri memiliki 20 peratus saham dalam LDP dan Lebuh Raya Sprint melalui Kumpulan Perangsang dan 30 peratus dalam Kesas melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Dua tahun lepas, diberitakan PKNS mahu menjual saham dalam Kesas dengan nilai jualan RM375 juta tetapi wakil rakyat daripada DAP membantah kerana berpendapat pemilikan saham berkenaan akan membolehkan kerajaan PKR Selangor bersuara dan menolak sebarang cadangan menaikkan kadar tol pada masa depan.

Bagaimanapun, setelah tol dinaikkan, barulah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mahu bertanyakan kepada syarikat konsesi berkenaan rasional peningkatan kadar tol. Langkah itu ibarat air banjir sudah masuk ke dalam rumah baru nak berbincang. Adakah ini sikap sebuah kerajaan negeri yang dikatakan sayangkan rakyat seperti anak sendiri.

Kerajaan Pusat yang diterajui BN pula mempunyai alasan tersendiri kenapa kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan kerana syarikat konsesi boleh menyaman kerajaan jika langkah itu dihalang dan jika ganti rugi terus dibayar kerajaan akan muflis.

Dalam pada itu, kita tidak dapat menerima alasan Menteri Kerja Raya, yang seolah-oleh mahu melepas diri daripada bertanggungjawab apabila menyatakan persetujuan kenaikan kadar tol itu telah dibuat oleh pemimpin kerajaan yang lepas.

Adakah bertukar Perdana Menteri itu bermakna telah tukar kerajaan sedangkan pemerintah sekarang juga daripada BN?

Apapun alasan yang diberikan Kerajaan Pusat dan kerajaan PKR Selangor, satu hakikat yang harus difahami ialah rakyat perlu memastikan kenaikan kadar tol tidak menguntungkan pemegang saham syarikat konsesi dan ‘kroni’ pihak tertentu semata-mata sehingga mereka menjadi gemuk.

Perjanjian dengan syarikat konsesi yang ibarat ‘perjanjian dengan lanun’ yang dibuat oleh kerajaan terdahulu juga perlu disemak semula. Pastikan juga sebahagian besar tol yang dikutip dapat diagihkan kembali kepada rakyat.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: