Sabtu, Oktober 03, 2015

Pakatan harapan 
tidak laku di Selangor?


AGAK bernada ‘tinggi’ sedikit Lim Guan Eng apabila menyediakan ‘permaidani merah’ kepada Parti Amanah sebagai rakan sekutu yang baru disertai DAP-PKR, iaitu ‘pakatan harapan’ yang membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang.

Seolah-olah Pas tidak ada jasa langsung dalam memenangkan pakatan pembangkang dua tahun lalu. Setelah Pulau Pinang, mata kini bertumpu di Selangor pula.

Apa agaknya pendirian Menteri Besarnya dari PKR, Mohamed Azmin Ali? Mahukah PKR menuruti jejak Pulau Pinang dengan menyingkirkan Pas di Selangor daripada pakatannya?

Setakat ini selepas lima hari Guan Eng mengumumkan pakatan harapan menggantikan `pakatan rakyat’ di negeri itu, Mohamed Azmin terus membatu.

Bolehkah pakatan harapan direalisasikan di negeri terkaya di Malaysia ini?

Sebelum penubuhan pakatan harapan, komposisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ialah PKR 13 (sepatutnya 14 kerusi tetapi bekas Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi calon bebas), DAP 15 dan Pas 15.


Selepas penubuhan Amanah, berapa ADUN Pas menyertai Amanah? Adakah dua orang yang digantung keahlian Pas itu telah menyertai Amanah? Berapa orang lagi yang telah disahkan menyertai Amanah?

Jika dikirakan angka, pada masa ini kerusi DUN kerajaan Selangor dibentuk oleh PKR sebanyak 13, DAP 15, Amanah 2, Pas 13.

Jika ditolak Pas, kerusi DUN kerajaan Selangor menjadi 30. Bakinya Pas 13, UMNO 12 dan bebas 1.

Sekiranya angka ini betul untuk setakat ini, bermakna pakatan harapan boleh diisytihar di Selangor dengan kedudukan kerusi kerajaan negeri 30 dan pembangkang dari Barisan Nasional, 26. Ada kelebihan 3 suara + 1 Yang Dipertua atau Speaker DUN.

Adakah Mohamed Azmin tidak berani buat keputusan sekali gus menampakkan dirinya amat lemah dan takut?

Dengan beberapa isu yang terpaksa didepaninya termasuklah kewujudan entiti baharu, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang dipertikaikan ketelusannya, Mohamed Azmin seakan tertekan.

Ini sehinggakan beliau terpaksa pandang remeh soal pembentukan pakatan pembangkang yang efisien di negerinya.

Di sebalik isu DAP Pulau Pinang memandang enteng kewibawaan Pas, Pas perlu mengambil hal ini sebagai iktibar untuk menempuh cabaran lebih getir jika masih mahu bernaung dalam pakatan di Selangor.

Pas kena ingat satu perkara, iaitu ramai menganggap daripada 15 kerusi DUN yang dimenanginya di Selangor, hanya satu kerusi iaitu DUN Bangi memiliki solid pengundi Melayu.

Sejumlah 14 lagi hanyalah kerusi-kerusi campuran 50-50 antara pengundi bukan Melayu - sebahagian besarnya Cina - dan pengundi Melayu. Inilah yang diacum-acumkan oleh Guan Eng dan individu yang mengepalai parti serpihan Pas rakan baharu DAP, Mohamad Sabu.

Soal Mohamed Azmin terus membisu dengan masih menerima Exco Pas dalam barisan pentadbirannya mungkin juga dikaitkan dengan pihak Istana yang diketahui agak akrab dengan Pas.

Kalau tidak, masakan ura-ura DAP-PKR mahu meletakkan presiden PKR di kerusi Menteri Besar pada suatu ketika tidak kesampaian setelah tidak dipersetujui Pas, yang akhirnya menaikkan Mohamed Azmin di kedudukannya sekarang.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: