Isnin, Oktober 05, 2015

Jika berlaku ketegangan kaum, DAP akan lepas tangan?


DAP tidak akan bertanggungjawab dan hanya akan bersikap ‘lepas tangan’ jika berlaku ketegangan antara kaum akibat permainan politik mereka yang menyentuh sentimen perkauman.

Sebelum situasi buruk itu berlaku, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendesak parti itu menghentikan segera perbuatan bermain dengan isu tersebut semata-mata mahu mendapat sokongan masyarakat Cina.

Mengambil kira sikap terdesak DAP itu, Tunku Aziz melontarkan persoalan adakah kaum kedua terbesar itu benar-benar berada dalam keadaan masalah tanpa pembelaan sewajarnya daripada kerajaan.

“Tindakan DAP itu jelas dapat dilihat melalui penganjuran demonstrasi Bersih, walaupun tujuannya dikatakan mahu menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil, tetapi demonstrasi tersebut yang disertai hampir kesemuanya masyarakat Cina hanya bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika berterusan membuat provokasi dengan cara tersebut, lama kelamaan, apabila keadaan tidak lagi terkawal, mereka akan lari dan tidak mahu mengambil tanggungjawab,” katanya di sini hari ini.

Pelbagai pihak semalam meminta DAP menghentikan segera bermain dengan sentimen perkauman sehingga membawa kepada polarisasi sosial dan ketegangan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Dalam pada itu, Tunku Aziz berkata, setiap parti politik sepatutnya berusaha untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman antara masyarakat pelbagai kaum.

Kata beliau, mana-mana rakyat tidak mengira kaum yang terjebak dengan agenda DAP itu perlu mengambil sikap berjaga-jaga supaya tidak menjadi mangsa permainan politik mereka dengan cara mengheret rakyat untuk menyertai demonstrasi jalanan.

“Semua pihak perlu bersikap neutral dan bebas walaupun berbeza fahaman dan ideologi politik masing-masing.

“Nikmat keamanan dan ke­selamatan yang dikecapi rakyat selama ini tidak boleh dipertaruhkan demi kepentingan mana-mana parti politik,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: