Khamis, Oktober 08, 2015

Pakatan Baharu - 25 kepemimpinan PKR hantar petisyen kepada Wan Azizah?

Amirudin Shari

Sebilangan besar pemimpin PKR mahu kerjasama parti itu dalam pakatan pembangkang yang baharu seperti diumumkan oleh Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada September lalu diteliti semula.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Amirudin Shari dan desakan penelitian semula itu dinyatakan menerusi satu petisyen yang ditandatangani 25 kepemimpinan parti termasuk beliau sendiri sebagaimana tersebar menerusi laporan media ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menafikan petisyen itu merupakan satu usaha untuk menolak kepimpinan Wan Azizah sebagai Presiden PKR sebaliknya tuntutan pihaknya yang mahu meminta penjelasan lanjut mengenai kerjasama parti tersebut dalam pakatan pembangkang baharu selain mahu perbincangan lanjut diadakan mengenainya.

“Kita nak dapatkan penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara dalam pakatan pembangkang baharu. Isu ini penting kerana melibatkan kesepakatan parti-parti politik dalam barisan pembangkang untuk pilihan raya umum akan datang dan masa depan PKR itu sendiri.

“Justeru, kepimpinan parti harus membincangkan perkara ini secara terperinci dan mendalam. Jadi tuntutan itu adalah supaya diadakan mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendeta Za'ba di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.


Amirudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan negeri mengulas dakwaan bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin kononnya sekumpulan pemimpin kanan PKR didakwa membentuk kartel bagi merancang komplot untuk menggulingkan Wan Azizah sebagai Pre- siden parti itu.

Dakwaan Badrul Hisham itu dinyatakan menerusi laman blog, chegubard.blogspot.my pada 3 Oktober lalu yang antara lain mendakwa komplot berkenaan dipercayai didalangi beberapa pemimpin kanan parti yang kurang senang dengan tindakan Wan Azizah mengumumkan penyertaan PKR dalam pakatan pembangkang baharu pada 22 September lalu.

Menurutnya, kartel tersebut dikatakan mengambil kesempatan dengan melancarkan petisyen agar mesyuarat khas MPP PKR diadakan dengan agenda untuk menarik balik penyertaan parti tersebut daripada pakatan pembangkang baharu.

Dalam pada itu, Amirudin menolak dakwaan Badrul Hisham tersebut selain menyifatkannya sebagai satu ‘imaginasi oleh orang tidak ada kerja’.

“Mengenai undi tidak percaya dan menjatuhkan Presiden PKR ini satu imaginasi oleh orang yang tidak ada kerja.

“Kita ada perbezaan pandangan, maka adalah lebih baik perbezaan itu dapat dibawa dalam satu mesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya yang enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap Badrul Hisham.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: