Khamis, Oktober 01, 2015

Dewan Diraja Selangor kesal kenyataan Rahim?

Tengku Amir Shah

MUKADIMAH DEWAN Diraja Selangor semalam kesal dengan kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di dalam akaun Facebook miliknya pada 25 September lalu berhubung pertukaran agama oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Dewan Diraja Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Abdul Rahim yang disifatkan sebagai satu pembohongan dan fitnah semata-mata.

Berikut adalah kenyataan penuh Dewan Diraja Selangor:

Dewan Diraja Selangor me­rasa amat dukacita di atas kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di dalam akaun Facebook beliau yang diterima pada 25 September 2015, memberi komen tentang pertukaran agama oleh Raja Muda Se­langor, Tengku Amir Shah.

Dewan Di­raja Selangor dengan ini menafikan sekeras­-kerasnya se­gala tohmahan dan fitnah ber­kaitan kenyataan ini yang merupakan satu pembohongan dan fitnah semata-­mata.


Berikut dipetik kenyataan beliau:

“Berita pertukaran agama oleh putera Sultan Selangor, Tengku Amir Shah ke Katholikisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh negara dan dunia.

“Kesedihan ini ditambah de­ngan dua tragedi timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope di Vatican City akan berhasil.”

Setelah membaca kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik tersebut, Dewan Diraja Selangor berpendapat dan merumuskan bahawa kenyataan tersebut berbaur hasutan dan mempunyai unsur-­unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Se­langor.

Dewan Di­raja melahirkan kekesalan kerana Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik tiada langsung mengambil sebarang langkah untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang posting yang dibuat oleh portal-­portal luar sebelum memberi pendapat dan komen beliau.

Adalah amat mudah bagi beliau untuk membuat semakan bagi menentukan kebenaran berita berkenaan sekiranya beliau mempunyai sifat tanggungjawab.

Tambahan pula posting tersebut telah diviralkan pada tahun le­pas dan penafian telah dibuat oleh Ketua Polis Negara di akhbar-­akhbar berikutan dengan satu la­poran polis yang dibuat oleh pihak istana.

Tindakan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memberi komen terhadap berita palsu ini dirasakan se­ngaja dilakukan dengan niat ja­­hat (dishonest intention) bagi men­cemar dan mempersoalkan akidah Raja Muda Selangor sebagai seorang Islam dan secara langsung menyatakan Raja Muda Selangor telah murtad.

Akibat dari komen beliau ini terdapat banyak respon dan komen yang dibuat oleh orang ramai terutama umat Islam yang menunjukkan kemarahan, kebencian, cacian mereka terhadap Raja Muda Sela­ngor dan Sultan Selangor.

Di samping itu, kenyataan beliau yang menyatakan Sultan Se­langor akan bertemu Pope di Vatican City juga jelas merupakan satu pembohongan dan fitnah dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh beliau yang merupakan bekas Ketua Menteri dan Timbalan Menteri.

Kenyataan beliau ini juga perlu dibanteras bagi mengelakkan umat Islam dari terus mempercayai dan menyebarkan pembohongan dan fitnah ini yang boleh mengakibatkan mereka tergelincir menjadi golongan fasik.

Di dalam masa yang sama Dewan Diraja Selangor ingin memaklumkan bahawa Raja Muda ketika ini sedang menjalani latihan pegawai kadet di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom.

Sekembalinya bagin­da ke negara, baginda akan ditauliahkan di da­lam perkhidmatan Ang­katan Tentera Ma­laysia.

Dewan Di­raja Se­langor menyeru agar Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memberhentikan de­ngan serta­-merta se­gala tindak­-tan­duknya menyebarkan berita pal­su dan pembohongan ini.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: