Sabtu, Oktober 10, 2015

Fitnah PM - Liong Sik enggan mohon maaf?


Bekas Pre­siden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik hari ini menegaskan beliau tidak akan memohon maaf dan mempertahan kenyataannya yang me­nuduh Datuk Seri Najib Tun Razak menyalahgunakan dana kerajaan.

Malah, beliau yang juga bekas Menteri Pengangkutan menerima cabaran Perdana Menteri yang mahu mengemukakan tuntutan saman terhadapnya.

Liong Sik dalam satu kenyataan di sini memberitahu, beliau tidak akan memohon maaf kerana mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

“Saya berkata kepada Perdana Menteri, jika anda memilih untuk mengemukakan saman kepada saya, saya akan mempertahankan diri.

“Dengan penuh rasa rendah diri, saya terima cabaran anda. Saya mahu menyaksikan Perdana Menteri berada di kandang saksi kerana tidak syak lagi beliau akan lakukan jika beliau berkata reputasinya tercabar.

“Saya mahu mengulangi bahawa saya pertahan apa yang katakan. Saya tidak akan mohon maaf,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri me­ngemukakan surat tuntutan terhadap Liong Sik berhubung penerbitan artikel yang mendakwa beliau menyalahgunakan dana kerajaan.

Surat tuntutan itu dikemukakan melalui firma guaman Tetuan Hafarizam, Wan, Aisha & Mubarak dialamatkan ke kediaman Liong Sik di Bukit Damansara di sini.

Najib dalam surat tuntutan itu antaranya mengarahkan peguam­nya mengambil tindakan dan me­nuntut penarikan balik artikel tersebut, membuat permohonan maaf tanpa syarat dan ganti rugi yang munasabah berhubung perkataan yang didakwa berbaur fitnah dalam artikel disiarkan akhbar dalam talian Malay Mail Online bertajuk: MCA’s Liong Sik Joins Call for Najib’s Ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket pada 3 Oktober lalu.

Surat tuntutan tersebut yang bertarikh kelmarin ditandatangani oleh peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan memberikan masa tujuh hari supaya Liong Sik tidak lagi mengeluarkan fitnah terhadap beliau selain membuat permohonan maaf bertulis tanpa bersyarat disiarkan dalam dua akhbar dan memberikan akujanji tidak mengeluarkan perkataan yang sama.

Jika Liong Sik gagal berbuat demikian, surat itu menyatakan Najib akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: