Khamis, Oktober 08, 2015

Krisis PKR : Saya lihat dari luar?


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau mengambil pendekatan hanya melihat dari luar dan melibatkan diri dalam dakwaan wujudnya gerakan menubuhkan parti baharu oleh ahli PKR.

Namun katanya, beliau tidak hairan sekiranya usaha itu wujud susulan kegagalan PKR mengurus parti itu dengan sebaiknya.

“Saya tidak berasa hairan sekiranya ada usaha daripada ahli PKR untuk menubuhkan parti baharu bagi mewujudkan gerakan kuasa ketiga demi mewujudkan suasana politik yg lebih seimbang.

“Saya percaya usaha pihak-pihak terbabit akibat daripada kegagalan PKR mengurus parti mereka sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini. Terlalu banyak aduan ahli parti yang gagal ditangani oleh pimpinan secara adil, telus dan menyeluruh,” katanya dalam kemas kini status di Facebook, hari ini.


Sebelum ini, ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dilaporkan mendakwa ada gerakan dalam kalangan pemimpin dan aktivis parti itu berkomplot untuk menubuhkan parti baharu.

Sehubungan itu, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, beliau tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk melaksanakan hak demokrasi mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menyedari tindakan parti-parti politik di dalam PR mutakhir ini juga gagal menyediakan wadah yang lebih kondusif dan inklusif. Meskipun demikian saya lebih suka mengambil pendekatan untuk melihat perkara ini dari luar dan tidak langsung terlibat di dalam usaha mereka mewujudkan gerakan pihak ketiga tersebut.

“Saya akan menumpukan kepada usaha dan memberi pandangan dari segi memulihkan kedudukan ekonomi negara yang kini diasak dari dalam dan luar,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: