Selasa, Oktober 27, 2015

Pakatan Pembangkang Bagaikan Ayam Jantan Berkokok?


Pakatan pembangkang sen­tiasa sahaja menganggap merekalah paling hebat, mereka sering menguar-uarkan pa­ling layak memerintah negara dan mereka juga sentiasa mendabik dada sebagai penentang rasuah serta telus dalam apa juga tindakan.

Dalam bahasa mudah apa yang ingin ditunjukkan oleh pembangkang sejak dulu lagi kepada rakyat ialah mereka kelompok manusia yang hebat dari segi politik, telus dalam segala perbuatan, bersih dalam apa juga tindakan dan wira dalam memperjuangkan kebenaran.

Justeru sepanjang masa, apa pun yang dilakukan oleh kerajaan demi rakyat tidak pernah mendapat pujian. Buatlah apa sahaja kebaikan, bentangkan apa juga jasa Barisan Nasional (BN), ia sudah pasti tidak akan mendapat secebispun penghargaan daripada mereka.

Parti-parti pembangkang seperti DAP, PKR dan kini sekutu terbaru mereka yang wujud hasil perpecahan dalam Pas iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) sentiasa sahaja akan membangkang, siang dan malam, pagi petang, subuh mahupun dinihari kerja mereka hanya membangkang. Itulah kehebatan pembangkang di negara ini.

Pakatan pembangkang juga ‘bijak’ dalam seni politik khususnya memanipulasikan sesuatu isu, ‘pandai’ mengambil kesempatan, ‘berani’ dalam tindakan, ‘telus’ dalam berkata-kata dan ‘hebat’ apabila berada dalam gelanggang pilihan raya.

Tetapi ‘kebijaksanaan’, ‘kepandaian’, ‘keberanian’, ‘ketelusan’ dan ‘kehebatan’ itu tidak ke mana apabila sehingga hari ini mereka tidak menyahut cabaran untuk mendedahkan daripada sumber mana dan berapa jumlah dana politik yang mereka peroleh.

Mereka hanya bijak mencerca dan mengkritik habis-habisan dalam isu dana politik yang diperoleh oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sanggup berperangai seperti budak-budak tadika di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu sejurus sahaja Perdana Menteri selesai membentangkan Bajet 2016.

Walaupun Perdana Menteri dan beberapa menteri sudah menjelaskan RM2.6 bilion adalah dana politik manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri sudah mengesahkan ia adalah hasil wang derma namun pakatan pembangkang sengaja memekakkan telinga, menutup mata dan hati untuk menerima penjelasan itu.

Bagi mereka, ia adalah satu-satunya modal politik mereka yang miliki dalam usaha untuk memburuk-burukkan kerajaan BN dan sekali gus meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Tambahan pula Bajet 2016 mendapat reaksi positif daripada rakyat, ini menyebabkan pembangkang bagai ‘cacing kepanasan’, mereka buntu mencari jalan untuk memburuk-burukkan bajet tersebut, apatah lagi ia jauh lebih baik daripada Bajet Bayangan mereka yang boleh dianggap sekadar bahan bacaan bagi meletihkan mata jika tidak boleh lena.


Justeru itulah mereka cuba mengalih tumpuan rakyat kepada Bajet 2016 dengan menganggap bajet tersebut bagi menutup penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN.

Tetapi malangnya, pembangkang sendiri tidak bersikap profesional (walaupun kita tahu mereka tidak memilikinya) apabila membangkitkan isu 1MDB yang masih dalam siasatan dan dana politik yang sudah banyak kali dijelaskan oleh kerajaan.

Kalaulah pembangkang benar bijak, pandai, hebat, telus dan berani sokonglah undang-undang dan peraturan berkaitan dana politik.

Namun malangnya pembangkang diam seribu bahasa, kalaupun ada yang suara seperti biasa BN juga yang diburuk-burukkan. Sepatutnya pembangkang khususnya PKR dan DAP tidak takut atau bimbang untuk mendedahkan sumber dan dana politik masing-masing jika benar mereka bersikap telus dan bertanggungjawab.

Apa yang hendak dibimbangkan kalau dana itu diperoleh daripada sumber yang tidak menyalahi undang-undang, apa yang hendak ditakutkan kalau dana itu disumbangkan oleh mereka yang tiada kepentingan serta apa yang hendak dikhuatirkan kalau dana itu datangnya daripada insan-insan yang ikhlas dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan?

Kenapa hanya mendesak kerajaan berbuat demikian? Kenapa atas dasar kononnya memperjuangkan keadilan, kebenaran dan ketelusan pembangkang tidak mahu menyokong undang-undang mengenai dana politik atau secara sukarela menyahut cabaran agar dana politik diisytiharkan? Apa yang hendak disembunyikan? Apa yang hendak dirahsiakan?

Ini memandangkan pembangkang menyatakan mereka sentiasa telus dalam apa juga perkara dengan rakyat. Oleh itu bersikap terbukalah untuk mengisytiharkan dana politik yang diperoleh bukannya hanya mendesak BN sahaja berbuat demikian.

Melalui cara itu juga ia akan mampu mengelakkan sebarang tuduhan atau tafsiran buruk terhadap perolehan dana oleh parti-parti pembangkang.

Jika pembangkang tidak mahu melakukan apa yang diperkatakan dalam soal dana politik ini maka usahlah bersikap retorik dan hipokrit kononnya mereka kelompok paling bersih di muka bumi Allah ini. Soal ketelusan yang sering mereka laungkan hakikatnya hanyalah mainan lidah tidak bertulang dan sekadar mahu meraih sokongan politik.

Lebih buruk daripada itu rakyat akan menganggap pembangkang negara kita bertaraf ‘ayam jantan berkokok kuat tapi ekor sendiri berlumuran najis’, mengata orang lain berkudis, mereka sendiri sudah berkurap! - Mahukah pembangkang dianggap sedemikian?

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: