Ahad, Ogos 30, 2015

Soksek-soksek akhbar Cina - Kebangkitan pembangkang?


AKHBAR China Press bertarikh 21 Ogos 2015 menyiarkan artikel yang menyentuh mengenai kesan kemasukan Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam arena politik negara.

Artikel yang ditulis oleh Lai Shao Kwang bertajuk ‘GHB perhalusi dan teluskan strategi’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Tidak lama lagi GHB akan me­nubuhkan sebuah parti baharu secara rasmi dan juga bermakna akan tertubuhnya Pakatan Rakyat 2.0. Sama-samalah kita tunggu dan lihat adakah gabungan dengan ahli baharu itu akan berjalan lancar dan menandakan bermulanya kebangkitan pembangkang.

Sebelum ini, antara punca pakatan pembangkang berpecah belah kerana langkah Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan sikap parti itu yang tidak bersetuju dengan cadangan DAP untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Sehubungan itu, dengan penyer­taan GHB, kita perlu lihat adakah cadangan penganalisis politik, Ong Kim Huat supaya pakatan pembangkang membuat perjanjian untuk tidak membangkit isu pelaksanaan hukum hudud selama 10 tahun akan diterima.

Setiausaha GHB, Dr. Dzulkefly Ahmad pernah membuat kenyataan bahawa pihaknya akan cuba mempengaruhi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP supaya memberi peluang kepada GHB untuk melaksanakan hukum hudud apabila wujud keadaan yang sesuai pada masa depan.

Oleh itu, kita ingin melihat adakah DAP sendiri mampu mempengaruhi GHB supaya ketepikan dahulu cadangan pelaksanaan hukum hudud dalam masa lapan hingga 10 tahun akan datang.

Ini selaras dengan strategi yang sepatutnya dibuat pembangkang iaitu melaksanakan agenda yang dipersetujui secara bersama terlebih dahulu termasuk mengutamakan matlamat mewujudkan peme­rintahan negara yang berasaskan demokrasi dan kerajaan yang telus.

Selepas dapat merealisasikan demokrasi, barulah kehendak GHB yang inginkan melaksanakan hukum hudud dihormati.

Pada masa itu, semua ahli Parlimen Muslim dan bukan Muslim berpeluang membincangkan isu hukum hudud secara demokrasi untuk membuat keputusan yang lebih telus.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: