Meneliti kemelut pemilihan semula Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara berlaku insiden yang jarang-jarang sekali terjadi dalam sejarah politik Malaysia.
Sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan reformasi ia sepatutnya menjadi teladan kepada parti-parti politik lain bahawa suasana demokratik dan kematangan berbeza pendapat terjadi.
Kemelut yang melanda pemilihan PKR Cabang Nibong Tebal terus berpanjangan selepas bekas penyandang jawatan Ahli Jawatankuasanya menolak keputusan pemilihan kali kedua yang diadakan Ahad lalu. Mereka mendesak pemilihan kali ketiga diadakan.
Pemilihan semula PKR Cabang Kota Raja dicemari ketegangan dan aksi pergaduhan. Ketegangan bermula apabila dikatakan salah seorang pengundi cuba mensabotaj proses pemilihan dengan merosakkan peti undi.
Pemilihan PKR di Cabang Kuala Langat menjadi pemilihan berdarah Sabtu lalu telah membangkitkan emosi kemarahan ahli PKR yang digantung Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard kerana dendam antara kumpulan.
Pada hemat penulis apa yang berlaku bukanlah gambaran sebuah parti yang demokratik dan matang dalam mengendalikan proses pemilihan kepimpinan Cabang.
Dari sudut kepimpinan di semua peringkat, pengurusan organisasi, muafakat sesama ahli, proses pemantauan yang telus, menerima keputusan dengan dada terbuka seharusnya menjadi inti perjuangan sebuah parti reformasi.
PKR mengharapkan reformasi politik berlaku dalam negara. Malangnya, PKR sendiri mengalami masalah dalaman yang serius. PKR patut muncul sebagai sebuah parti politik contoh sama ada dari segi kepimpinan dan pengikutnya.
Peristiwa baling kerusi, pergaduhan, usaha jatuh-menjatuhkan antara satu dengan yang lain bukanlah gambaran demokratik yang diperlukan oleh politik Malaysia.
Sebuah negara seperti Malaysia yang berbilang kaum memerlukan jalan bijaksana menyantuni masyarakatnya dalam politik kerana fahaman kelompok apa lagi rasis boleh membawa kepada krisis.
PKR sepatutnya jauh lebih berdaya maju kerana asas reformasi yang didukung oleh pemimpinnya memerlukan contoh dan teladan. Kalau soal dalam parti kelihatan kecoh dan payah untuk diurus bagaimana situasi negara yang jauh lebih kompleks mampu dikendali.
PKR memerlukan proses transformasi dalaman yang serius. Kepimpinan contoh di semua peringkat harus mampu melakukan perkaderan dan tarbiyyah supaya hala tuju perjuangan difahami dengan baik dan proses memilih pemimpin boleh terjadi dengan semangat muafakat yang tinggi.
Hindarkan politik kelompok yang meletakkan PKR terdedah dalam persaingan kelompok yang lebih mementingkan pengaruh dan kuasa dan menyebabkan persaingan sengit terjadi. Bila ia terjadi rasa berpuak-puak terbina.
Rakan dalam pakatan, DAP cuba menampilkan sifat berbilang kaum tapi majoriti kepimpinan dan ahlinya terdiri dari orang Cina dan mengambil pendirian menentang negara Islam dan hudud.
Pas hala tuju perjuangannya masih mahukan negara Islam dan hudud. Pas Kelantan secara terang-terangan mahukan hudud dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan di Kelantan. Ia ditentang oleh pemimpin DAP dan menjadikan Anwar serba salah.
Reformasi tidak saja harus berlaku dalam PKR tetapi juga dalam Pakatan Rakyat. Secara ideologi Pakatan Rakyat yang ada adalah rapuh kerana ideologi yang diperjuangkan saling bercanggah. Keputusan Pilihan Raya Kecil Teluk Intan semacam memberikan indikator mengenai pakatan pembangkang ini pada masa depan.
Suara politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan