Isnin, Januari 06, 2014

Politik murahan pembangkang masih tidak berubah?



Langkah pakatan pembangkang menyokong demonstrasi haram yang diadakan di Dataran Merdeka, malam menyambut tahun baru memberikan isyarat yang jelas bahawa 'kegilaan' politik pembangkang dalam usaha mereka meraih kuasa akan berterusan dalam tahun 2014.

Berdasarkan kenyataan dan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin pembangkang sebelum tirai 2013 dilabuhkan, ia jelas membuktikan belum ada keinsafan dalam kalangan mereka untuk memastikan arena politik negara selepas ini akan berjalan melalui pendekatan politik berhemah.

Sebaliknya, kita bakal menyaksikan pembangkang terus dengan pendekatan mempolitikkan apa sahaja isu dengan harapan tindakan itu akan memudahkan laluan mereka menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.


Walaupun mengetahui banyak tindakan politik mereka sepanjang 2013 telah mewujudkan perasaan tidak selesa kepada rakyat dan ada pula yang menjejaskan imej negara di mata dunia namun pembangkang tidak menghiraukannya.

Berikut penulis paparkan jangkaan politik melibatkan parti-parti yang bergabung dalam pakatan pembangkang iaitu DAP, PKR dan Pas.

DAP

Parti ini akan terus menjadi parti paling berkuasa dalam pakatan pembangkang. Selain menguasai Pulau Pinang, perolehan kerusi Parlimen yang lebih banyak berbanding PKR dan Pas memungkinkan DAP akan menjadi parti dominan.

Kekuatan DAP amat ditagihkan oleh PKR dalam meraih sokongan kaum Cina, manakala Pas pula dilihat tidak mendapat apa-apa keuntungan memandangkan DAP sememangnya tidak pernah bersetuju dengan perjuangan politik Pas.


Bagaimanapun DAP tetap akan menjaga hubungan dengan Pas dalam usaha memastikan Pas terus memainkan peranannya bagi meraih undi orang Melayu untuk DAP dan PKR.

Selain itu, DAP yang sebelum ini begitu hebat mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya umum akan terus bergelut dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Parti (CEC).

PKR

Dengan sokongan DAP dan Pas, PKR akan terus memainkan isu yang bertujuan memainkan sentimen rakyat bagi membenci kerajaan BN. Melalui lidah rasminya Suara Keadilan, PKR akan terus menabur fitnah terhadap pemimpin-pemimpin BN.


Walaupun tidak mempunyai kekuatan yang hebat di peringkat akar umbi, namun PKR akan terus berjaya menumpang populariti DAP untuk meraih sokongan kaum Cina dan kesanggupan membantu bagi memperolehi sokongan orang Melayu. Tetapi dalam masa yang sama PKR akan terus kekal bersama-sama DAP menolak perjuangan Islam Pas.

Pas

Parti ini membuka tirai 2014 dengan semakin 'galak' menguar-uarkan slogan 'Rahmat Untuk Semua'. Slogan ini adalah tema ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Di mana-mana sahaja kini slogan itu menjadi sandaran Pas untuk meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu. Selepas mendapati slogan 'Pas untuk semua' gagal mencapai sasarannya maka Pas mengubah pula kepada slogan baru.

Tidak kiralah apa pun slogan yang hendak digunakan oleh Pas apa yang pasti parti itu tetap dijangka terus menjadi 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.



Dalam masa yang sama, Pas juga dijangka mengekalkan pendekatan politik menjadikan slogan Islam hanya untuk kepentingan politik semata-mata. Ia memandangkan Pas sudah pasti ingin terus menjadi 'pak turut' setia dalam pakatan.

Keadaan itu berlaku kerana Pas ingin menjaga hubungan dengan DAP dan PKR. Berikutan pegangan tersebut juga, golongan ulama dalam parti itu akan terus tenggelam dan hanya akan menjadi 'penghias' organisasi semata-mata.

Demikian serba sedikit jangkaan berhubung situasi dalam pakatan pembangkang bagi tahun 2014.

Namun begitu apa yang pasti pendekatan mempolitikkan apa juga perkara akan terus menjadi sandaran pakatan pembangkang kerana itu sahaja modal yang mereka miliki bagi mencapai cita-cita politik.

Selain itu, pembangkang akan kekal dengan sikap double standard dalam menghadapi isu yang melibatkan kerajaan. Pas tidak akan berani menegur kepincangan dalam pembangkang tetapi akan bersedia mempolitikkan apa juga langkah kerajaan.

Pembangkang juga sudah pasti sama sekali tidak akan memuji atau menyokong sebarang tindakan kerajaan biar pun demi kebaikan rakyat. Ini kerana pada pandangan mereka kalau tindakan itu dilakukan maka tergugatlah harapan mereka untuk menumbangkan kerajaan BN.

Berdasarkan keadaan itu, maka bersedialah semua pihak untuk terus menyaksikan adegan politik memualkan pakatan pembangkang seperti mana pernah kita saksikan sejak 2008.

Kelebihan menguasai beberapa negeri dan menambah kerusi Parlimen tidak pernah dijadikan sandaran pembangkang menjadi satu barisan pembangkang yang bertanggungjawab. Sebaliknya mereka, bersedia melakukan apa sahaja selagi cita-cita mereka untuk menawan Putrajaya tidak tercapai.


Atas sebab itulah, adalah penting sempena tahun 2014 ini, rakyat tanpa mengira apa juga latar belakang mereka memahami dan mengkaji taktik politik pembangkang ini. Janganlah terpengaruh dengan dakyah pembangkang, seolah-olah merekalah paling layak memerintah Malaysia sedangkan di negeri yang mereka kuasai pun penuh kekalutan dan masalah.

Kita mengakui kerajaan BN juga tidak sempurna, malah di mana-mana juga negara tidak akan ada kerajaan yang seratus peratus sempurna. Tetapi kerajaan sentiasa sahaja berusaha memperbaiki kelemahan khususnya dalam usaha melaksanakan langkah-langkah bagi meningkat taraf hidup rakyat dan mengurangkan beban mereka.

Sebab itulah, adalah penting kerajaan perlu bersedia menghadapi 'kegilaan' politik pembangkang dalam tahun 2014 ini. Ia termasuklah membuat persiapan untuk memberi maklum balas segera kepada sebarang tuduhan dan tohmahan pembangkang.

Sememangnya bukanlah mudah untuk berhadapan dakyah pembangkang kerana mereka bercakap berdasarkan fakta yang diputar belitkan tetapi kebenaran tetap kebenaran.

Apa yang penting ialah kebijaksanaan rakyat untuk membuat penilaian kerana merekalah penentu masa depan negara dan di tangan juga terdapat pilihan sama ada, ingin terus hidup dalam aman dan damai atau ketidakstabilan akibat terpengaruh dengan dakyah politik pembangkang.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: