Selasa, Oktober 19, 2010

Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Ahli UMNO perlu disuntik keyakinan baru!

Tumpuan masyarakat pada minggu ini pasti ke arah Pusat Dagangan Dunia Putra, tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO Ke-64. Perhimpunan yang berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober ini akan diguna untuk membina semula hala tuju dan semangat baru kepada ahli-ahli UMNO dalam melaksanakan transformasi.

Perhimpunan kali ini akan dihadiri 2,543 perwakilan. Di sinilah tempat yang wajar bagi UMNO berhimpun dan memikirkan semula mengenai perjuangan parti khususnya berhubung dengan agenda agama, bangsa dan tanah air.

Inilah masa sesuai bagi para perwakilan menumpukan perhatian tentang agenda Melayu dan berdebat mengenai isu-isu yang berkaitan dengannya supaya kita peroleh manfaat melalui sumbangan idea-idea segar daripada pembahas.

Sesungguhnya perkembangan sejarah, rupa bentuk penduduk negara dan sifat orang Melayu sendiri menjadikan UMNO sebagai parti teras yang mempunyai implikasi besar terhadap politik negara.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa kekuatan Malaysia dan orang Melayu bergantung kepada kekukuhan UMNO.

Untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara, maka UMNO perlu diperkukuhkan. Kekuatan UMNO akan mengukuhkan Barisan Nasional (BN), dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara.

UMNO harus menyatakan yang benar, walaupun sedar besar risikonya. Para anggota UMNO harus menggunakan kesempatan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO ini untuk berbincang dan berbahas isu-isu penting demi masa depan parti dan Barisan Nasional (BN).

Pada realitinya, gelora politik tanah air belum reda. Pengkhianat Melayu bermaharajalela hingga sanggup menggadai maruah bangsa dan Perlembagaan Negara.

Tanggungjawab itu amat berat terpikul di bahu Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri. Kita yakin dan percaya Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak tahu apa yang perlu dilakukan tanpa mengorbankan kepentingan mana-mana kaum apatah lagi kedudukan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Kita yakin beliau ada formula. Beliau akan menyuntik semangat baru kepada ahli-ahli UMNO.

Harapan kita, biarlah keazaman dan semangat yang dibangkitkan dalam perhimpunan kali ini benar-benar menjadi tenaga penggerak ke arah tindakan yang konkrit.

Jangan hanya berkobar-kobar di dalam dewan persidangan tetapi luntur semangat dalam tindakan.

Untuk kali kedua, Najib akan menyampaikan ucapannya di Dewan Merdeka. Beliau akan berucap dalam suasana landskap politik yang berbeza, ekonomi yang masih perlu diperkukuhkan dan senario perpaduan kaum yang kian mencabar.

Namun kita yakin Najib akan memberi panduan dan arah tuju yang patut diikuti oleh ahli-ahli UMNO. Kita ternanti-nati apakah Model Politik Baru yang akan dihuraikan dalam ucapannya nanti.

Beliau mempunyai kata-kata dorongan, tiupan semangat, karisma, daya kepimpinan dan wawasan sebagai Presiden dan nakhoda kapal induk UMNO.

Apa pun Ketua-ketua UMNO bahagian, anggota majlis tertinggi, ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kena menyokong Presiden UMNO dalam menjayakan langkah-langkah baru bagi perubahan parti itu.

Sebuah pergerakan politik yang sudah lama berkuasa dan berdepan dengan cabaran yang kompleks, tiada senjata terhebat selain keyakinan. Itulah yang diharap daripada Najib pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO Khamis ini. Keyakinan UMNO perlu dipulihkan. Dan UMNO perlu keyakinan baru.

Kepada semua perwakilan UMNO, selamat bersidang.-UM

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: