Isnin, Ogos 30, 2010

Menjelang kemerdekaan, Malaysia di hina sebegitu rupa oleh negara sahabat!

Ibarat kacang lupakan kulit ataupun madu diberi tapi tuba dibalas, mungkin inilah kata-kata perumpamaan yang sesuai kita berikan kepada negara sahabat bangsa serumpun iaitu Indonesia. Adakah kita masih ingat diatas kebijaksanaan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad menangani krisis ekonomi dan matawang pada penghujung tahun 90an dimana, walaupun negara kita sendiri kuat terkena tempiasnya tetapi kita masih berupaya meringankan beban negara-negara sahabat seperti Thailand dan Indonesia dengan memberikan bantuan kewangan kepada mereka sebelum negara-negara tersebut mendapat bantuan dari IMF.

Pun begitu apabila setiap kali negara Indonesia dilanda malapetaka seperti gempa bumi dan juga tsunami, Malaysialah diantara negara pertama yang akan menghulurkan bantuan baik dari segi kewangan ataupun bentuk bantuan kemanusiaan. Walaupun kita pernah diherdik ( helikopter TUDM pernah dibaling batu ketika hendak mendarat semasa menghantar bantuan ) namun atas semangat setiakawan tanpa menghiraukan herdikan itu kita terus menghulurkan bantuan.

Begitu kuat semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia untuk membantu negara sahabat. Ringan sama-sama dijinjing dan berat sama-sama dipikul dan mungkin disebabkan itu lah rakyat Malaysia begitu perihatin setiap kali negara-negara sahabat dilanda musibah dan malapetaka semata-mata tidak sanggup untuk melihat sahabat-sahabat kita menanggung penderitaan . Walaupun kadang-kadang kitapun serba kekurangan, tetapi apabila mengenangkan sahabat kita sedaya-upaya cuba membantu.

Mungkin sudah resam manusia tidak pernah cukup atau bersyukur dengan apa yang diberi dan dibantu! Madu diberi, tapi tuba yang dibalas. Kita tidak pernah mengharapkan sebarang balasan tentang apa sumbangan-sumbangan yang telah diberikan selama ini malah tidak pernah mengungkit satu sen pun segala bantuan yang pernah diberikan, tetapi cukuplah sekadar menghormati kedaulatan negara kita.

Amat sedih dan pilu di bulan kemerdekaan apabila melihat Jalur Gemilang dipijak-pijak dan dibakar sedemikian rupa! Apakah tidak ada langsung rasa bersalah dikalangan rakyat Indonesia yang melakukan perbuatan keji itu? Begitu membuak-buak api kemarahan mereka terhadap negara kita semata-mata dengan penahanan tiga pegawai penguat kuasa KKP mereka diperairan kita. Pada masa yang sama 7 nelayan kita juga ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia. Mungkin kebanyakan mereka tidak tahu akan perkara yang sebenar berlaku, tetapi tindakan mereka “ menghina kedaulatan “ Malaysia tidak dapat diterima sama sekali.

Walaupun dengan semangat setiakawan iaitu hubungan diplomatik baik diantara kerajaan Malaysia dan Indonesia perkara ini sudah dapat diselesaikan dengan baik ,namun sikap segelintir rakyat Indonesia yang masih mahu merusuh dihadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta tidak dapat diterima sama sekali. Dimana kewarasan berfikir segelintir rakyat Indonesia yang melakukan demostrasi di hadapan Kedutaan Malaysia dengan menghumban najis manusia didalam kedutaan dan juga memijak-mijak dan membakar Jalur Gemilang!

Apakah ada tangan-tangan ghaib yang cuba mengeruhkan keadaan dengan melaga-lagakan kedua-dua negara sahabat. Tidak cukup dengan itu malah mereka juga cuba melakukan apa yang dikatakan “ sweeping Malaysia “ iaitu tindakan mengusir rakyat Malaysia yang berada di sana sehingga membuatkan kedutaan Malaysia mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada seluruh rakyat Malaysia. Begitu juga rakyat negara ini yang hendak melancung ke Indonesia! Ini membuatkan rakyat kita disana berada didalam ketakutan.

Hanya dengan penahanan tiga pegawai penguat kuasa KKP Indonesia di perairan Malaysia dan menuduh Malaysia melanggar kedaulatan Indonesia oleh segelintir rakyat mereka hilang kewarasan, tetapi bagaimana pula dengan ratusan ribu malahan mencecah 1 juta rakyat yang menceroboh memasuki negara ini semata-mata hendak mencari rezeki tanpa mempunyai apa-apa dokumen perjalan yang sah! Pernahkah mereka melihat rakyat Malaysia membantah atau melakukan demo apabila melihat begitu ramai rakyat Indonesia yang berada di negara ini secara haram.

Sepertimana yang kita tahu kebanyakan dari mereka masuk ke perairan negara ini secara “ gelap”‘ atau haram melalui tekong-tekong haram. Bukan kah ini juga sudah melanggar kedaulatan negara Malaysia? Disini kita melihat pula bagaimana kewarasan rakyat Malaysia berfikir tanpa mengikut emosi dan kita tidak terikut-ikut untuk bertindak balas! Kerana apa, kerana kita tahu sebagai sebuah negara sahabat serumpun, kita perihatin dengan masalah ekonomi negara sahabat kita dan kita perlu bantu.

Kita cuba membantu setakat yang kita mampu dan kita galakkan mereka memasuki negara ini untuk memenuhi permintaan buruh dan juga sector-sektor perkhidmatan yang lain. Yang mana masuk secara haram, kita melakukan pemutihan supaya mereka ada dokumen perjalanan yang sah semasa berada di sini. Mungkin ini akan mengambil masa apabila melihat ratusan ribu yang masih tidak ada dokumen yang sah, tetapi kita akan lakukan sedikit-demi sedikit.

Walaupun kedatangan mereka-mereka yang secara haram masuk ke sini boleh menambahkan lagi masalah sosial seperti melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya mereka lakukan seperti merompak, menyamun, membunuh dan lain-lain lagi, namun kes mereka adalah terpencil. Kita yakin dengan kemampuan Polis DiRaja Malaysia, perkara ini dapat diatasi dengan baik.

Cuma yang kita harapkan kepada rakyat Indonesia yang datang mencari rezeki di negara ini tidak kira secara sah dan haram, sebagai ‘ tetamu’ diharap dapat menghormati ‘ tuan rumah’. Dan kepada segelintir rakyat Indonesia yang masih berdemo dihadapan kedutaan Malaysia di Jakarta berfikirlah dengan waras. Jangan terikut-ikut dengan emosi anda.

Carilah musuh sebenar anda dan yang pastinya bukan Malaysia. Ada yang mahu melihat dan melaga-lagakan kedua-dua negara bersahabat dan bangsa serumpun ini. Cukuplah, jangan ada lagi Negara Islam yang bakal akan hancur disebabkan perasaan irihati. Semuanya ini adalah permainan Yahudi yang mahu melihat negara-negara Islam di porak perandakan secara halus. Jangan disebabkan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Menang menjadi arang, kalah menjadi abu. Fikir-fikirkanlah. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

Gangga Negara berkata...

Salam : Bantah tindakan penguat kuasa Indonesia

Para pengusaha bot nelayan laut dalam di daerah ini membantah tindakan anggota penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia yang sering menceroboh perairan Malaysia dan bertindak menahan serta merampas bot nelayan tempatan.

Menurut mereka, pencerobohan itu sering berlaku di sekitar perairan Kuala Rompin dekat sini sehingga menyebabkan mereka kerugian lebih RM10 juta dan ada juga nelayan yang ditahan untuk dibicarakan di negara itu.

Seorang pengusaha, Tang Poh Sin, 32, mendakwa, pihak berkuasa Indonesia akan memaksa nelayan yang ditahan masuk ke perairan mereka sebelum ditahan.

“Tindakan mereka menahan nelayan kami yang merupakan warga Thailand adalah tidak berperikemanusiaan dan melampau.

“Sudahlah bot kami dirampas, nelayan kami yang merupakan tekong bot juga ditahan. Bagaimanapun semua awak-awak dilepaskan,” katanya ketika sesi dialog bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Johari Hussain di sini.

Tambahnya, berdasarkan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), dia yakin nelayannya berada di perairan negara ketika ditahan oleh penguat kuasa Indonesia itu.

“Tidak mungkin bot kami melepasi sempadan negara lain kerana di situ sememangnya telah menjadi tempat untuk kami menangkap ikan sejak 10 tahun lalu,” ujarnya yang kerugian lebih RM2 juta selepas dua bot miliknya dirampas pada 19 Ogos lalu.

Seorang lagi pengusaha bot, Tea Sang Cheang, 63, berkata, nelayan lama di kawasan itu juga arif mengenai undang-undang dan etika serta tidak bersikap tamak sehingga menceroboh perairan negara lain.

“Kami pun tahu undang-undang dan tahu sempadan Malaysia dan Indonesia. Semasa nelayan kami ditahan, saya membuat permohonan melalui Jabatan Perikanan bagi mengesahkan kedudukan nelayan terlibat pada 18 hingga 20 Ogos lalu.

“Jabatan Perikanan membuat pengesahan track vessel yang menyatakan nelayan kami masih di perairan negara sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya.

Chea Song Kang, 60, berkata, sepanjang tempoh tiga tahun lalu, empat buah bot pukat tundanya telah dirampas oleh pihak berkenaan.

“Situasi ini menyebabkan saya dan pengusaha lain bimbang kehilangan mata pencarian sedangkan kami tidak menceroboh.

“Saya mohon pihak berkuasa negara ini segera bertindak dan mencari penyelesaian agar nelayan di sini tidak ditahan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu, Johari akan mengadakan pertemuan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kementerian Pertahanan dalam usaha membincangkan perkara tersebut.

“Isu ini adalah berkaitan soal keselamatan kedua-dua negara dan ia perlu diselesaikan melalui rundingan kerana melibatkan nelayan di perairan Malaysia terutama di Kuala Rompin,” jelasnya.