Selasa, April 27, 2010

Antara Faktor Mengapa Pembangkang DiTolak!





















Walaupun sudah ribuan kali menyertai pilihan raya di negara ini, pembangkang masih lagi berfikiran sempit dan begitu sukar menerima kekalahan. Bagi mereka, kalau kalah ia diakibatkan pembelian undi oleh Barisan Nasional (BN) manakala kalau menang, mereka mendakwa ia menunjukkan BN ditolak oleh rakyat.

Begitulah juga dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang berakhir kelmarin. Kemenangan calon BN, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim, ternyata sukar diterima oleh pakatan pembangkang.

Mereka menuduh tindakan BN menjanjikan pelbagai projek telah mengabui mata rakyat dan paling buruk mereka mendakwa parti tersebut membeli undi. Pembangkang seolah-olah menganggap pakatan merekalah paling baik, bersih dan sempurna. Justeru kalau kalah dalam pilihan raya mereka akan menuding jari menuduh BN macam-macam.

Mereka sengaja lupa bagaimana dalam sembilan pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini, pembangkang memenangi tujuh daripadanya. Ketika itu, BN tidak pula berkata apa-apa, sebaliknya menghormati keputusan rakyat dan berjanji akan berusaha mendapatkan kembali sokongan.

Bagaimanapun, sikap ini berbeza dengan pembangkang. Kekalahan Zaid di tangan Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi ternyata sukar diterima oleh pembangkang terutamanya PKR di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebenarnya, kekalahan mereka bukannya salah orang lain tetapi PKR sendiri yang sejak awal lagi sudah dianggap tersalah pilih calon. Tetapi oleh kerana Anwar mempunyai agenda politik tertentu maka beliau memilih Zaid biarpun ada penentangan di kalangan pemimpin dan ahli PKR.

Zaid dilihat calon 'pilihan' DAP, sebab itulah dalam keputusan yang diumumkan sokongan pengundi Cina kepada pembangkang tidak berubah, biarpun BN telah menunaikan banyak permintaan mereka. Kekalahan agak ketara BN di peti-peti undi yang terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bahru membuktikan kelompok pengundi tersebut merupakan harapan besar kepada pembangkang.

Di DUN itu yang mempunyai 8,146 pengundi Cina, 5,475 Melayu dan 4,008 India, ada peti undi BN hanya mendapat 49 undi sahaja, manakala PKR (319 undi).

Berikutan perasaan tidak puas hati terhadap Zaid, jentera PKR sehingga hari kelima kempen masih belum bergerak dengan aktif, malah sampai ke satu peringkat ia lumpuh sama sekali. Keadaan itu menyebabkan kepimpinan PKR terpaksa meminta 'bantuan kecemasan' daripada Pas untuk mengambil alih operasi jentera pakatan tersebut untuk berhadapan dengan jentera BN yang cukup aktif menggempur setiap penjuru Parlimen Hulu Selangor.

Dalam tempoh tidak sampai 72 jam, Pas terpaksa menggerakkan jenteranya bagi memenangkan calon PKR yang disokong oleh DAP. Walaupun suatu ketika Zaid pernah menentang hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh Pas dan mengecam parti itu dengan pelbagai gelaran tetapi ia sudah 'diampunkan' oleh kepimpinan Pas demi kuasa politik yang ingin dicapai di Hulu Selangor.

Keupayaan Zaid memperoleh 23,272 undi adalah hasil daripada kegigihan jentera Pas. Mereka bertungkus-lumus siang dan malam untuk menyakinkan pengundi termasuk penyokong parti itu agar mengundi Zaid yang suatu ketika dahulu pernah menyamakan sikap Pas dengan parti-parti bertopengkan agama yang lain seperti Parti Likud di Israel dan Parti Bharatiya Janata (BJP) di India.

Satu lagi faktor kekalahan PKR adalah apabila mereka terperangkap dalam keghairahan Anwar yang merupakan kawan rapat beberapa tokoh Yahudi dengan menjadikan isu syarikat perunding antarabangsa Apco Worldwide (Apco) sebagai bahan kempen. Ke mana-mana sahaja Anwar pergi, dia pasti akan menjaja isu tersebut walaupun kerajaan sudah membuat penjelasan.

Anwar berbuat demikian kerana mahu menarik perhatian pengundi Melayu kerana percaya kelompok pengundi tersebut akan sensitif dengan istilah Yahudi atau Zionis. Bagaimanapun, Anwar terperangkap dengan taktiknya sendiri. PKR ditolak di kawasan majoriti pengundi Melayu iaitu di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

Pengundi Melayu sudah lama mengenali Anwar yang berkawan rapat dengan bekas Pengerusi Bank Dunia, Paul Wolfowiz serta sanggup menggadaikan kepentingan Melayu demi mencapai cita-cita politik sempitnya.

Kekalahan PKR di kedua-dua DUN itu juga menunjukkan sebahagian besar pengundi India sudah kembali kepada BN selepas merajuk pada tahun 2008. Ini berikutan semangat setiakawan BN yang ditunjukkan oleh UMNO yang tetap mengekalkan kerusi Hulu Selangor kepada MIC, biarpun ada desakan UMNO bertanding di situ.

Faktor lain yang menyumbang kekalahan pakatan pembangkang ialah serangan peribadi yang tidak munasabah ke atas Kamalanathan. Dengan bantuan portal propembangkang seperti Malaysiakini dan Malaysia Insider, mereka menunjukkan kejahilan apabila mempertikaikan ijazah bidang komunikasi yang diperoleh calon BN itu.

Apabila isu berkenaan tidak berjaya setelah Kamalanathan memberikan bukti, pembangkang yang dianggap oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah kehabisan modal, membangkitkan pula isu remeh iaitu tindakan Kamalanathan mencium tangan Muhyiddin. Sekali lagi, isu itu tidak mendatangkan kesan, sebaliknya menjadi 'senjata makan tuan' apabila pembangkang dianggap memainkan isu perkauman.

Ketika tempoh kempen memasuki 'masa kritikal' iaitu 48 jam sebelum pengundian, tindakan pemimpin Pas menjadikan masjid sebagai platform untuk berpolitik telah menimbulkan perasaan tidak senang orang Melayu. Tambahan pula Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah telah mengeluarkan titah supaya perkara itu tidak dilakukan.

Isu ini dikatakan turut mempengaruhi pengundi kerana mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menganggap tidak salah berpolitik di masjid.

Lebih memuakkan pengundi terutamanya pengundi atas pagar ialah sikap pembangkang yang sepanjang kempen, mereka hanya menabur fitnah, tohmahan dan melakukan pembohongan. Ketika tinggal 24 jam kempen berakhir, pembangkang melakukan pembohongan besar apabila mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berdebat dengan Anwar mengenai isu Apco di Stadium Mini Kuala Kubu Bahru, pada hari Sabtu (malam terakhir kempen).

Pengumuman itu yang dilakukan melalui risalah dan sepanduk berjaya menarik perhatian ribuan orang untuk datang ke stadium berkenaan, sedangkan sebenarnya Najib tidak pernah berhasrat berdebat dengan Anwar. Anwar tidak layak berdebat dengan Perdana Menteri. Banyak perkara faedah lain yang perlu dilakukan oleh Najib daripada melayan orang yang terlalu kemaruk menjadi Perdana Menteri seperti Anwar.

Oleh itu, pembangkang perlu bermuhasabah bahawa kekalahan mereka bukan disebabkan oleh BN, apatah lagi dengan tuduhan lapuk bahawa BN membeli pengundi. Kalaulah menjanjikan projek dianggap membeli undi bagaimana pula dengan tindakan kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada pilihan raya umum lalu?

Bukankah ketika itu, PKR, DAP dan Pas menjanjikan bermacam-macam imbuhan dan hadiah jika mereka berjaya memerintah keempat-empat negeri tersebut sehinggakan pengundi terpedaya dengan janji-janji mereka. Tidakkah itu dianggap membeli undi?

Kenapa apabila BN melakukannya dengan niat ikhlas membela nasib rakyat, ia dianggap membeli undi? Apakah kalau pembangkang buat dianggap 'halal'? Salahkah berjanji untuk melaksanakan pembangunan untuk rakyat? Kalau itupun tidak boleh dilakukan apa guna wujudnya kerajaan? Adakah hanya untuk berpolitik sahaja?

Janganlah mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh 24,997 pengundi yang melontarkan sokongan mereka kepada BN. Pengundi-pengundi itu juga mempunyai maruah, akal dan kebijaksanaan untuk berfikir. Hormatilah keputusan mereka melalui proses demokrasi berkenaan.

Kesimpulannya, kekalahan pembangkang adalah disebabkan kesilapan memilih calon, kelemahan jentera, keghairahan melakukan fitnah dan kegelojohan merebut kuasa politik.- SBUM

Suara Politik
Taminsari

3 ulasan:

Ali Abdullah berkata...

Salam bro,

Artikel yg cukup menarik.. Benarlah sepatutnya PR sedar dgn persoalan taraf pendidikan calon yang bertanding, PAS menyimpan lebih ramai lagi ahli politik dan pemimpin-pemimpin yang tiada kelulusan tinggi seperti BN.

Kisah APCO sebenarnya dieksploitasi pembangkang sedangkan syarikat perunding antarabangsa daripada UK itu menafikan kerjasama atau pernah membantu Israel memerangi Palestin.

Hakikatnya kebenaran yg sebenar disembunyikan dan kebanyakan pertuduhan mereka adalah berdasarkan andaian semata-mata. Tidak perlu kita mengikut apa yang mereka katakan. Bukti yang mereka ada sebenarnya sering diputar belit untuk memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan lebih2 lagi terhadap BN pimpinan UMNO. Satu contoh kes pembohongan Dr.Porntip.

Marilah bersama menolak PR. Tiada kelebihan diberikan PR kepada rakyat sekiranya diberikan peluang utk memerintah negara. Buktinya di Hulu Selangor....

Taminsari berkata...

Salam bro Apai..apa khabar! Lama tak dengar berita. Bagaimana dengan persiapan P212 di Sibu Sarawak!

PKR masih tidak dapat menerima kekalahan mereka di Hulu Selangor. Ibarat "Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih!"

Meraka masih tidak dapat menerima kekalahan dan pengajaran yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

Lebih menjengkelkan apabila pembangkang langsung tidak dapat menerima hakikat kekalahan sebaliknya menuduh Barisan Nasional (BN) melakukan pelbagai penyelewengan termasuk menyogok pengundi dan menyalahgunakan jentera kerajaan.

Sedangkan, pembangkang yang lebih teruk melanggar peraturan dan menyalahgunakan kuasa semasa berkempen seperti yang dapat disaksikan sendiri oleh semua pihak terutama pengundi di kawasan Parlimen itu.

Mereka menuduh BN bermacam-macam tetapi sebenarnya pembangkang yang lebih dahsyat menyalahgunakan kuasa melalui penggunaan jentera-jentera agensi kerajaan negeri sepanjang kempen pilihan raya itu.

Dan terbaru apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya kerana mendakwa berlaku rasuah pada PRK P94 Hulu Selangor baru-baru ini. Mereka masih tidak dapat menerima kenyataan?
Wallahuallam.

Salam perjuangan

Halim Tuah berkata...

saksikan ceramah saya di PRK Hulu Selangor di http://www.youtube.com/watch?v=4omw9YYzd6Q