Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Februari 09, 2010
Apabila Pentadbiran Khalid Hilang Pertimbangan!
Isu cukai tanah tertunggak sebanyak RM5.7 juta yang gagal dibayar oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) sepatutnya boleh diselesaikan di meja rundingan. Malangnya, masalah cukai tidak dibayar bagi kawasan seluas 876 hektar di Serendah milik yayasan itu sejak 13 tahun lalu kini menjadi bertambah rumit dan ia dilihat terus berpanjangan jika melibatkan proses mahkamah.
Semuanya tercetus apabila Menteri Besar Khalid Ibrahim menegaskan walaupun RM180,000 telah dibayar oleh YBK pada hari akhir tempoh pembayaran tamat pada 29 Januari lalu dan bakinya RM5.46 juta dilangsaikan oleh Yayasan Melaka tiga hari kemudian, kerajaan negeri tidak menganggapnya ia sudah selesai.
Kerajaan negeri menolak bayaran yang dilakukan oleh Yayasan Melaka kerana mengikut Seksyen 98 Kanun Tanah Negara bahawa cukai tanah perlu dijelaskan oleh pemilik tanah sendiri. Kini dua belah pihak mahu mempertahankan hak masing-masing. YBK mahu pertahankan tanah itu kerana ia aset penting untuk kemajuan anak-anak yatim di Selangor yang telah dilakukan lebih 20 tahun lalu.
Bagi kerajaan negeri antara alasan tindakan diambil kerana sudah 13 tahun cukai tidak dibayar dan perlu berlaku adil kerana ada juga tanah petani dirampas disebabkan tidak bayar cukai. Persoalannya mengapa sekarang setelah dua tahun menjadi Menteri Besar, baru pengambilan balik tanah YBK itu mahu dilakukan menerusi peraturan dan undang-undang.
Mengapa sekarang baru timbul pihak orang lain tidak boleh bayar untuk pemilik tanah? Langsung tidak ada tolak ansur sehingga permohonan YBK pada hari akhir pembayaran itu supaya tempohnya dilanjutkan seminggu turut ditolak.
Khalid dilihat mahu membalas balik tindakan YBK yang menolak cadangannya supaya melantik Menteri Besar sebagai Pengerusi YBK dan Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail selaku salah seorang ahli lembaga pengarah, jika projek pembinaan kampus cawangan itu mahu diluluskan,
Selama ini kerajaan negeri menjaja sana-sani pentadbiran mereka jauh lebih baik berbanding ketika Barisan Nasional (BN) perintah Selangor. Tetapi dalam isu YBK itu, cakap tidak serupa bikin. Kerajaan negeri memang sudah maklum bahawa YBK mahu membina kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Serendah bernilai RM300 juta di atas tanah yang belum dijelaskan cukai itu.
Tetapi pihak yang lebih arif mungkin terlepas pandang bahawa menerusi projek itu bukan sahaja masalah cukai tertunggak selesai, malah memberi pulangan kepada kerajaan negeri.
Daripada pembinaan cawangan UiTM itu, sebanyak RM6 juta cukai pintu dan RM1.5 juta hasil cukai tanah boleh dipungut setiap tahun. Pendapatan sebanyak RM7.5 juta itu jauh lebih tinggi berbanding bajet yang diperlukan oleh PTD Hulu Selangor sekitar RM2 juta untuk melicinkan pengurusannya setiap tahun.
Pastinya kewujudan Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu bakal menjadi pemangkin pembangunan dan kemajuan di Hulu Selangor yang menguntungkan kerajaan negeri kerana tanpa mengeluarkan wang ia dijayakan oleh pihak lain.
Tetapi hakikatnya, jika isu tanah YBK itu berlarutan hingga dibawa ke mahkamah untuk menentukan siapa lebih berhak, ia menyebabkan segala perancangan tertangguh. Tapi adakah Khalid Ibrahim pernah terfikir semua itu atau dendam semata-mata kerana tidak dapat menjadi Pengerusi YBK?
Sementara itu : Tindakan 'luar biasa' pejabat Menteri Besar pulangkan cukai YBK!
Tindakan kerajaan negeri Selangor memulangkan semula bayaran cukai tanah kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) disifatkan sebagai tindakan 'luar biasa.' Beberapa ahli akademik dan peguam juga mempersoalkan mengapa tindakan itu dilakukan oleh pejabat Menteri Besar kerana ia merupakan bidang tugasan atau urusan Pejabat Tanah negeri.
Pensyarah Jabatan Undang-Undang Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Salleh Buang berkata, kebiasaannya, keputusan sama ada hendak menerima atau menolak sesuatu pembayaran cukai dilakukan oleh Pejabat Tanah. "Yang menjadi persoalan mengapa penolakan cukai itu dibuat oleh pejabat Menteri Besar sedangkan ia sepatutnya dibuat oleh Pejabat Tanah?
"Tambahan pula pembayaran cukai itu ditolak beberapa hari selepas cek dikeluarkan dan bukannya pada hari pembayaran seperti kebiasaannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Semalam, YBK Selangor membuat laporan polis terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dakwaan salah guna kuasa kerana memulangkan semula bayaran cukai berjumlah RM1.28 juta kepada yayasan itu Khamis lalu.
Bayaran cukai yang dibuat pada Ogos tahun lalu adalah untuk empat lot tanah seluas 89.4 hektar di Serendah, Rawang yang merupakan lokasi asal pembangunan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM). Bagaimanapun, bayaran tersebut telah dipulangkan bersama bayaran cukai tanah berjumlah RM5.7 juta yang dibayar baru-baru ini dengan bantuan Yayasan Melaka.
Pejabat Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan Rabu lalu memberi alasan, kerajaan Selangor menolak bayaran yang dijelaskan oleh Yayasan Melaka kerana kononnya cukai tanah perlu dijelaskan oleh pemilik tanah itu sendiri. Sebaliknya, Salleh pula berkata, Yayasan Melaka sememangnya berhak membuat pembayaran bagi pihak YBK Selangor kerana ia dibenarkan mengikut undang-undang negara.
"Kanun Tanah Negara membenarkan pihak yang tiada kepentingan membayar cukai bagi pihak yang berkepentingan terhadap tanah terbabit," jelasnya. Mengulas perkara sama, Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Abd. Aziz, berkata, kerajaan negeri tidak perlu mempersoalkan dari mana datangnya sumber wang bagi menjelaskan cukai tersebut.
"Apa yang lebih penting adalah pembayaran cukai itu dapat diselesaikan. "Persoalan dari mana dan siapa yang membuat pembayaran tersebut seharusnya tidak dijadikan isu," katanya. Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, jika kerajaan negeri masih berdegil dan enggan menerima pembayaran cukai tersebut, YBK berhak membawa masalah ini ke mahkamah.
"Kerajaan negeri juga perlu memberi alasan kukuh mengapa mereka menolak untuk menerima pembayaran cukai terbabit. "Apatah lagi, cukai merupakan sumber pendapatan kepada kerajaan untuk dibelanjakan bagi kemudahan rakyat," jelasnya.
Suara Politik
Taminsari
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Khalid Ibrahim selaku MB Selangor telah dilantik ke jawatannya oleh Anwar Ibrahim . Selaku penasihat ekonomi Selangor dengan bayaran RM 1 memang tidak wajar Anwar menasihatkan Khalid memulangkan wang itu. Namun , apabila timbul hasrat Kerajaan Negeri hendak merampas tanah milik anak yatim itu maka kita sama-sama lihatlah kesudahan episod tersingkirnya Khalid dan Anwar dalam senario politik Malaysia tidak lama lagi.
Catat Ulasan