Isnin, Julai 07, 2014

Usaha jatuhkan saya sangat keji - Khalid?


Dakwaan bahawa beliau enggan meletakkan jawatan Menteri Besar seperti diarahkan oleh Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai satu perbuatan keji dan tidak bertanggungjawab.

Menurut Abdul Khalid, tiada sebarang perbincangan dibuat dalam parti berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar termasuk mahu beliau melepaskan jawatan.

Beliau turut menafikan ada menerima mana-mana arahan supaya berundur daripada jawatan tersebut.

"Kita tidak ada bincang perkara itu. Ini tidak benar. Ini adalah tindakan paling keji oleh orang yang mahu membuat kesimpulan penamat yang mempunyai tujuan sangat tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu di sini hari ini.

Semalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei mendakwa Abdul Khalid enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda Langkah Kajang.

Shuhaimi mendakwa peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PKR pada 15 Januari lalu untuk memastikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Mac lalu.

Abdul Khalid dalam pada itu turut mempertikai usaha Langkah Kajang berkenaan akan dapat menawan seluruh Selangor dan negara.

"Kalau tujuan Langkah Kajang dibuat untuk menawan Selangor dan negara, itu perlu diperbincangkan lagi. Boleh jadi kita dalam pakatan pembangkang pun tidak terfikir perkara sedemikian boleh berlaku," jelasnya.

Abdul Khalid walau bagaimanapun menegaskan, meskipun terdapat usaha mahu beliau berundur, itu tidak mematahkan semangat malah menjadikan dirinya lebih kuat bekerja bagi membuktikan kemampuannya kepada rakyat.

"Ini adalah lumrah politik kerana kerusi Menteri Besar hanya ada satu tetapi boleh jadi ramai yang berminat," jelasnya sinis.

Sementara itu, MB tempelak Anwar kritik Selangor!

Tindakan Anwar Ibrahim mengkritik pentadbiran kerajaan negeri ditempelak oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, Anwar tidak seharusnya mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri kerana dalam parti sendiri, kewibawaan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seolah-olah turut dipersoalkan oleh ahli serta pemimpinnya.

"Isu sama ada Anwar akan menjadi Presiden PKR seumur hidup turut dibincangkan.

"Kita semua ada perbincangan. Saudara (media) mesti tahu, kerajaan tidak boleh membuat perubahan sewenang-wenangnya.

"Berbeza dengan individu, hari ini dia boleh bersetuju dengan sesuatu perkara dan esok tidak bersetuju, tetapi kerajaan tidak boleh buat demikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu di sini hari ini.


Semalam sebuah portal berita melaporkan, Anwar dikatakan bimbang dengan pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Abdul Khalid.

Antara isu yang dibimbangi Anwar adalah tiada rundingan dalam kalangan pemimpin kerajaan negeri berhubung pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan konsesi air.

Abdul Khalid berkata, dalam isu Kidex dan konsesi air, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit untuk menyelesaikannya.

Jelasnya, undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri perlu dipatuhi supaya rakyat yakin dengan kepimpinan tertinggi.

"Anda perlu faham, saya datang dari latar belakang sangat profesional dan saya pernah jaga (tadbir) Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan kita cakap untuk 10 hingga 30 tahun akan datang," ujarnya.

Beliau menambah, pendirian yang dipegangnya untuk melakukan sesuatu perkara adalah sentiasa mengutamakan kepentingan negeri.

"Apa-apa pun perkara yang akan memberi keuntungan kepada rakyat Selangor, saya akan bekerjasama dengan semua pihak.

"Ada perkara saya setuju, ada juga yang saya tidak setuju tetapi semuanya berasaskan kepentingan rakyat," jelas beliau lagi.

Suara Politik
Belantan

2 ulasan:

Unknown berkata...

Penasihat yg nak menjatuhkan MB,penasihat yg tak habis habis berpolitik,semua benda nak di politik kan , siapa yg tak satu kepala dengan dia ,tunggu masa saja nak di jatuh kan,tapi dia berani buat pada orang melayu je , kalau berani jatuhkan lah LKS dan LGE

Unknown berkata...

itulah melayu. Bangsa melayu ni memang pakar kalau bab bab cantas mencantas sesama melayu. Bangsa ni hanya samseng bila sesama bangsa aje. Kalau dgn cina, india..huh pijak semut pun belom tentu semut tu sakit. Otak memang takde fikir lain, politik, kuasa, perot sendiri. Kalau perlu korbankan bangsa sendiri pun rela.
Bangsa mudah di cucuk hidung, cucuk punggung, kaki ampu, akal pendek, Rabun mata.
Maaflah sebab kutuk bangsa sendiri. Bagaimana lagi nak sedarkan bangsa melayu kini..Rasa sangat takut melihat masa depan. Pada siapa lagi harus digantung harapan, demi untuk melihat kesejahteraan anak cucu melayu akan datang?