Ahad, Julai 06, 2014

PAS tolak presiden sendiri?


Peluang menggulingkan Abdul Hadi pasti menggerunkan majoriti ahli parti

Dua tahun lalu, apabila tersebar berita kewujudan pakatan menjatuhkan Tan Sri Azizan Razak sebagai Menteri Besar Kedah, ia dinafikan kumpulan pemimpin yang sememangnya terbabit dalam rancangan jahat itu. Mereka buat-buat tidak tahu, malah menuduh pihak lain pula yang buat angkara. Berita pakatan itu bertambah kencang ketika Azizan uzur terlantar di hospital, sehinggakan beliau terpaksa menggagahkan diri untuk cepat keluar daripada rawatan bagi meneruskan tugas di pejabat.

Demonstrasi dan protes dijalankan penyokong puak komplot untuk memburuk-burukkan Azizan. Keadaan menjadi begitu buruk sehingga PAS Pusat terpaksa masuk campur, menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk memantau pentadbiran kerajaan Kedah – tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum itu dan cukup memalukan Azizan. Akhirnya, PAS berpecah belah, pentadbiran negeri menjadi lemah dan Kedah jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Gerakan Langgar Hadi

Senario hampir sama kini berlaku kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Dalam keadaan beliau masih tidak sihat, baru pulang daripada rawatan kesihatan di Turki, timbul cerita ‘Gerakan Langgar Hadi’. Yang buka cerita ini bukan UMNO atau BN, tetapi Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim.

Seperti dijangka, seorang demi seorang pemimpin tinggi PAS menafikan. Mengakui dakwaan ini serius dan jika benar Syarhan buat fitnah, tidak pula beliau dihadapkan ke jawatankuasa disiplin atau dipanggil untuk mengemukakan bukti. Pemimpin-pemimpin PAS ini menjawab tidak tahu-menahu, tiada maklumat atau anggap ia sekadar cakap politik.


Ada yang tuduh Syarhan sebagai cuba melaga-lagakan pemimpin dan memecahbelahkan parti. Ramai pemerhati politik berpendapat sama ada mereka ini naïf atau jelas berbohong. Dalam kenyataannya pada 21 Jun lalu, Syarhan mendakwa sekumpulan pemimpin PAS termasuk Ahli Parlimen bersekongkol dengan wartawan dan editor portal propembangkang (dipercayai Malaysian Insider) untuk ‘menyerang’ Abdul Hadi ekoran tindakan dan keputusan Presiden PAS yang dianggap menjejaskan matlamat pakatan pembangkang. Abdul Hadi dikatakan tegas mahu menegakkan syariat Islam dan dianggap penghalang kepada usaha kumpulan itu untuk mengembangkan kuasa dalam parti.

Menurut Syarhan, usaha langgar Hadi bermula sekitar tahun 2008 ketika beliau turut menganjur ‘Kerajaan Perpaduan’ di Selangor selepas PRU-12. Beberapa tokoh yang menyetujui hasrat Abdul Hadi seperti Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Hassan Ali telah dijatuhkan dari jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Seorang lagi pemimpin PAS yang membuat dakwaan sama ialah ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad, yang mendedahkan wujudnya usaha dalaman untuk jatuhkan Abdul Hadi pada Ogos 2013. “Semua bukti dalam bentuk saksi ada dalam tangan... Saya bukan nak pertahan bapa mentua, tapi parti,” kata Zaharudin, yang juga menantu Abdul Hadi.

Ahli pakatan

Bukan lagi rahsia siapa ahli pakatan yang dimaksudkan: mereka ialah pemimpin PAS yang pro-Anwar Ibrahim, yang dipanggil parasit oleh Hassan Ali. Mereka mahu jatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim dan menaikkan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor melalui ‘Langkah Kajang’. Anwar telah arah Lee Chin Cheh kosongkan kerusi DUN Kajang untuk membolehkannya bertanding. Tapi Abdul Hadi dan PAS Pusat tidak setuju kerana lebih yakin dengan kepemimpinan Abdul Khalid.

Sokongan ini tidak disukai PAS Selangor yang pernah mencadangkan Pesuruhjaya Negeri, Iskandar Abdul Samad (ADUN Chempaka) sebagai pengganti atas dasar PAS menang 15 kerusi DUN berbanding 14 PKR dan 15 DAP.



Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Sulaiman mengesahkan keputusan Badan Perhubungan PAS Selangor yang mahukan Abdul Khalid ditukar kerana dilihat terlalu ‘bebas’ dan tidak tunduk kepada pemimpin pakatan pembangkang dalam mentadbir negeri. Menurut Khalid Samad: “ Abdul Khalid bermasalah. Partinya sendiri pun menolak dia. Kita tak boleh anggap hanya dia seorang yang mampu jadi MB.”

Pendedahan Syarhan ini membuktikan bahawa air tenang jangan disangka tiada buaya. Parti yang kononnya mengamalkan idealisme Islam jangan difikir tiada watak yang gila kuasa dan mampu menjatuhkan ketua. Kebetulan Abdul Hadi semakin tua, berada dalam keadaan uzur dan kepemimpinannya dilihat semakin lemah.

Di bawah kepemimpinannya, PAS kalah banyak kerusi pada pilihan raya umum yang lalu seterusnya menjadi parti paling kecil dan kurang berpengaruh pasca-PRU-13 berbanding DAP dan PKR. Rungutan dalaman PAS ialah mengenai tahaluf siyasinya dengan DAP sehingga menggadaikan prinsip perjuangan, menukar Negara Islam kepada Negara Berkebajikan, menukar slogan ‘Bersama Kepimpinan Ulama’ kepada PAS for All’.

Peluang menggulingkan Abdul Hadi, jika benar-benar berlaku, pasti menggerunkan majoriti ahli parti. Mereka pasti terkial-kial memikirkan bagaimana seorang ulama dan pemimpin yang pernah diangkat sebagai ‘bakal Perdana Menteri Malaysia’ boleh ditolak dan dijatuhkan.

Andainya Abdul Hadi gugur, maka penggantinya tentulah timbalannya, Mohamad Sabu. Itu pasti benar-benar menggerunkan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: