Rabu, Disember 19, 2012

Isu salon pun Pas tunduk apatah lagi isu syariah lain?



PAS selaku parti yang kononnya memperjuangkan Islam sekali lagi 'tumbang' di Kelantan. Tidak keterlaluan jika dikatakan kepimpinan negeri itu bukannya mengalah dalam isu salon tetapi kalah untuk kesekian kalinya kepada DAP.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan, kekalahan Pas itu bukan sesuatu yang pelik kerana perkara itu sudah kerap kali berlaku.

Apa yang lebih menjengkelkan adalah cara Pas berdepan kekalahan itu. Pas yang kononnya merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam di negara ini sanggup mengakui bahawa mereka mengalah kerana faktor pilihan raya yang kian hampir.

Di mana maruah Pas sebenarnya? Apakah pengakuan itu bermakna apa jua perkara termasuk perundangan dan perkara-perkara asas lain yang sudah ditetapkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan untuk digadai demi meraih matlamat untuk mentadbir Kelantan sehingga kiamat?

Mengulas perkara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad menyifatkan Pas tidak ubah seperti 'parti kucing'.

"Mula-mula hendak berlaga, bukan main garang menyeringai dan mendesis. Tetapi apabila sampai penghujung, mengalah lalu cabut lari. Samalah dengan Pas entah kali keberapa mereka terus tunduk kepada kehendak DAP.

"Bagaimana mahu membawa Islam kalau begitu? Usahlah diharapkan Pas untuk menjulang bendera Islam kerana mereka tiada keberanian dan tidak tegas bagi mempertahankan apa yang mereka percaya benar," katanya.

Jika diperhalusi, kata-kata itu tidak boleh disangkal. Buktinya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan sendiri pada 25 November lalu membuat penegasan kononnya negeri itu akan tetap menguatkuasakan perundangan Islam terhadap bukan Islam biarpun ditentang oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Tidak sekadar itu, Takiyuddin malah menasihatkan Karpal agar 'elok-elok' membaca undang-undang kerana mendakwa apa dilakukan Pas Kelantan selari dengan peruntukan Perlembagaan setelah 'dinosaur' DAP itu mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam boleh mencabar saman terbabit di mahkamah.

Tetapi ketegasan Takiyuddin itu jelas tidak berpanjangan. Genap 19 hari selepas penegasan itu dibuat, nada Takiyuddin serta-merta berubah atas alasan yang boleh dicongak oleh semua pihak iaitu pilihan raya.

Maka, bertambah lagi senarai kegagalan Pas selaku parti yang mendakwa tegar memperjuangkan Islam.

Seperti biasa, semua itu bagaimanapun diharap dapat dilupakan segera oleh penyokong tegar mereka seperti kekalahan sebelum ini termasuk rampasan minuman keras di Selangor, penggunaan nama Allah di kalangan Kristian, perjuangan dalam isu murtad serta jawatan exco hal-ehwal agama Islam juga di Selangor.

Semua kegagalan itu menurut bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hassan Basri akhirnya akan menimbulkan persoalan kepada seluruh rakyat negara ini mengenai kemampuan Pas menerajui kepimpinan Islam sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

"Sedangkan dalam isu salon yang kecil juga Pas tunduk sehingga enakmen yang berusia puluhan tahun ditangguhkan pelaksanaannya, apatah lagi isu-isu besar berkaitan perundangan Islam yang lain.

"Inilah harga yang terpaksa mereka bayar semata-mata kerana mahu ke Putrajaya selain merealisasikan keinginan tinggi Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Hati orang dijaga tetapi perasaan akar umbi yang menanti janji-janji untuk menegakkan panji Islam diabaikan," katanya.

Hassan menambah, timbul juga keraguan mengenai kemampuan Pas yang kononnya berjaya mentarbiah DAP untuk lebih memahami Islam.

"Usahlah pergi kepada DAP. Sedangkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pun tidak setuju dengan tindakan Pas Kelantan mengenakan saman itu.

"Bermakna mereka tidak menyokong dasar Pas yang sudah lama dibuat. Kalau DHPP pun Pas tidak boleh fahami, bagaimana agaknya mereka boleh kata hendak berdakwah kepada DAP?" ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: