Rabu, Disember 26, 2012

Antara Nik Aziz dan Tok Mun?



''…Saya kata begini, kalau UMNO tukar dasar kebangsaan kepada Islam dan UMNO dan Pas bersatu, buat apa lagi saya berpolitik. Tidur malam tidak nyenyak. Tetapi kalau selagi Melayu sokong UMNO, wajib atas saya melawan kerana ini bahagian mungkar."

Kata-kata ini bukanlah dilafazkan oleh sebarang orang tetapi beliau adalah seorang Menteri Besar dan Mursyidul Am kepada sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam dan diagung-agungkan oleh pengikut-pengikutnya bertaraf ulama dan tok guru.

Tetapi malangnya, insan ini tidak pernah insaf-insaf untuk berhati-hati dalam percakapan, sebaliknya hanya kerana berbeza fahaman politik, beliau bersedia bercakap apa sahaja bagi memburuk-burukkan musuh politiknya iaitu UMNO.

Demikianlah gambaran sikap dan tindak tanduk memualkan yang dipaparkan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dari semasa ke semasa terus kekal dengan sikapnya menanam politik kebencian dalam kalangan penyokong Pas terhadap UMNO.

Entah apalah dosa besar UMNO kepada beliau sehinggakan setiap kali beliau bercakap tentang parti itu, seolah-olah UMNO tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan kepada orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Ini bukanlah kali pertama Nik Abdul Aziz melakukan serangan ke atas UMNO, malah sudah acap kali Menteri Besar Kelantan itu dilihat bermulut celupar semata-mata mahu mempertahankan perjuangan politik Pas yang kini semakin bercelaru dan kelam-kabut.

Malahan kita juga boleh menganggap Nik Abdul Aziz yang kini dimamah usia dan semakin tidak lagi berkemampuan mentadbir Kelantan cuba mencari alasan bagi 'menghalalkan' langkah beliau untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti, biar pun sudah berusia 81 tahun dan bergelar Yang Berhormat sejak 1969.

Nik Abdul Aziz memahami di peringkat akar umbi dalam Pas sendiri sudah ada yang tertanya-tanya kenapakah Nik Abdul Aziz masih belum mahu berundur.

Bagi mereka, mungkin satu ketika dulu ketika Pas mula memerintah Kelantan pada tahun 1990, tenaga dan fikiran Nik Abdul Aziz amat diperlukan, apatah lagi dengan slogan kepimpinan bersama ulama, Nik Abdul Aziz dilihat tokoh paling sesuai untuk menjadi Menteri Besar di negeri yang dirampas daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu.

Namun itu dulu, sekarang mereka sudah melihat sendiri bagaimana Nik Abdul Aziz dari semasa ke semasa semakin menjadi liabiliti kepada Pas. Keceluparan Nik Abdul Aziz dalam memberi ulasan dalam memperkatakan soal politik antara UMNO dan Pas semakin memburukkan imej parti itu. Apatah lagi akibat keceluparan itu, Nik Abdul Aziz sendiri tanpa disedari oleh beliau dilihat semakin menghakis imejnya sebagai tok guru dan ulama.

Sebab itulah, ketika mengulas keceluparan Nik Abdul Aziz ketika di Kuala Terengganu pada Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata "Nik Aziz ini selalu dia celupar..celupar ini taulah..terlepas cakap begitu tanpa bersandarkan apa-apa hukum. Dia buat fatwa sendiri sehingga banyak tokoh-tokoh ulama mempertikaikan. Bukan ini saja, sebelum ini pun beliau telah buat macam-macam kenyataan seolah-olah dia sebagai tokoh agama dia layak untuk mengeluarkan fatwa sendiri. Negara kita ada Majlis Fatwa Kebangsaan. Kalau Nik Aziz cakap itu elok rujuk kepada Majlis Fatwa sahaja. Benarkah apa yang disebut oleh beliau itu atau itu kenyataan berunsur politik semata-mata."

Kenyataan Muhyiddin itu ada benarnya kerana selama ini Nik Abdul Aziz dilihat 'begitu kebal' sekali tidak ada siapa pun yang boleh menegur beliau, kalau mahu diharapkan ulama-ulama atau pemimpin Pas sampai dunia kiamat pun mereka belum tentu akan berbuat demikian.

Sebab itulah Nik Abdul Aziz dilihat semakin angkuh dalam membuat kenyataan politik berkaitan dengan UMNO. Beliau seolah-olah tidak mahu memikirkan kesan kepada umat Islam dan orang Melayu. Beliau tidak sedar kenyataan beliau mengenai UMNO yang berkaitan dengan Islam boleh menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan.

Oleh kerana beliau seorang pemimpin politik bertaraf ulama, segala kata-kata akan menjadi pegangan kepada penyokong-penyokong tegar Pas sehingga akhirnya perpecahan umat Islam akibat berbeza fahaman politik menjadi semakin buruk.

Ketika Nik Abdul Aziz menganggap selagi Melayu sokong UMNO, wajib atas saya melawan kerana ini bahagian mungkar." Cubalah kaji perjalanan politik negara sejak merdeka. Apakah benar UMNO membawa kemungkaran? Kalau betul perkara itu sudah tentulah Malaysia tidak dilihat sebagai negara Islam contoh dan syiar Islam berkembang dengan pesat di negara ini.

Tetapi Nik Abdul Aziz tidak akan mengiktiraf perkara itu kerana bagi Nik Abdul Aziz hanya Islam yang dibawa oleh Pas sahaja yang betul, Islam yang dibawa oleh Pas sahaja yang mampu membawa kemakmuran kepada negara dan kesejahteraan umat.

Namun ketika Nik Abdul Aziz begitu celupar apabila suatu ketika dulu menuduh Islam yang dibawa oleh UMNO adalah Islam plastik dan tidak boleh dibawa ke syurga, para ulama seluruh dunia memuji kepimpinan negara yang diterajui oleh UMNO.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz tidak mahu mengiktiraf semua itu, bukan kerana ia tidak betul tetapi disebabkan ia memberikan kelebihan politik kepada UMNO kerana bagi pemimpin Pas seperti Nik Abdul Aziz seolah-olah hanya Pas sahaja paling layak mengembangkan syiar Islam di negara ini.

Kalaulah umat Islam mahu mengharapkan kepada Pas berbuat demikian ia boleh dianggap sekadar mimpi kerana Islam hanya menjadi sandaran dan modal politik kepada parti itu. Malahan Islam yang diperjuangkan oleh Pas hanyalah slogan dan hujah-hujah bermodalkan air liur di atas pentas-pentas ceramah.

Ini memandangkan kalau ia mahu dirujuk kepada corak pimpinan Pas yang menguasai Kelantan sejak 1990, Kedah mulai pilihan raya umum 2008 dan Terengganu selama sepenggal mulai 1999, tiada banyak perkara yang dilakukan untuk melayakkan bahawa kepimpinan Pas mempunyai keupayaan yang jauh lebih hebat daripada kepimpinan UMNO.

Sebaliknya apa yang kita saksikan, Islam tidak ubah sekadar slogan dan ia terus dilaung-laungkan dengan iringan takbir untuk menunjukkan kononnya Pas adalah parti yang memperjuangkan Islam. Lebih malang lagi, Pas sanggup meninggalkan perjuangan menegakkan negara Islam dan hukum demi memastikan mereka tidak dilihat mempunyai pendirian berbeza dengan dua lagi parti sekular iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Oleh itu tidak perlulah Nik Abdul Aziz hendak terus bersikap celupar terhadap UMNO. Kalau hendak bertanding, bertanding sahajalah. Itu hak beliau dalam sebuah negara demokrasi, contohilah sikap bekas calon Bebas di Kuala Terengganu, Maimun Yusof,93 atau Tok Mun yang berhasrat bertanding dalam pilihan raya umum nanti biar pun kecewa pada tahun 2008.

Sekurang-kurangnya Tok Mun jauh lebih baik daripada Nik Abdul Aziz kerana penjaja kain dan jeruk itu mahu bertanding lagi dengan alasan mahu memperbetulkan pentadbiran negara yang didakwanya ada banyak kesilapan. Tidak mengapalah itu alasan Tok Mun, sekurang-kurangnya dia tidak menganggap ''kalau selagi Melayu sokong UMNO, wajib atas saya melawan kerana ini bahagian mungkar."

Mungkin Tok Mun bukan ustazah tetapi sekurang-kurangnya dia tidak melakukan dosa dengan mengaitkan orang lain untuk 'menghalalkan' kenapa dia perlu bertanding. Mungkin dalam soal ini Nik Abdul Aziz boleh belajar daripada Tok Mun, bagaimana hendak memberi alasan kerana kesudahannya rakyat juga yang akan menilai sama ada alasan itu boleh diterima atau tidak.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: