Sabtu, Disember 01, 2012

Isu banjir Selangor : Kegagalan regim MB Khalid atasi banjir di Sungai Serai dipersoal?



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani kecewa dengan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang gagal mengatasi masalah banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat.

Katanya, masalah itu masih belum dapat diselesaikan sehingga hari ini walaupun Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan sebanyak RM6 juta untuk mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang projek kerajaan negeri dilaksanakan di kawasan tersebut sebaliknya yang ada hanya projek Kerajaan Persekutuan sendiri iaitu projek membaiki saliran dan pembetungan di kawasan sungai berhampiran.

"Papan tanda daripada kerajaan negeri untuk membaiki sistem saliran dan pembentungan sebenarnya sudah dinaikkan sejak 2008 namun sehingga kini tiada sebarang tanda projek itu bakal dilaksanakan selepas berlakunya perubahan pentadbiran di Selangor.

"Kerajaan negeri seolah-olah mempermainkan rakyat, mereka perlu faham bahawa penduduk di kawasan tersebut berdepan dengan masalah banjir setiap kali dilanda hujan lebat," katanya kepada pemberita di luar sidang DUN Selangor di sini semalam.

Ismail berkata, rata-rata penduduk di kawasan tersebut kecewa dengan situasi sekarang kerana nasib dan kebajikan rakyat tidak diendahkan ekoran tiada kesefahaman agenda politik.

Selain itu katanya, pada 2008, satu sebut harga telah pun dikeluarkan dan sebuah syarikat kontraktor juga telah dilantik menjalankan kerja-kerja untuk mengatasi masalah banjir namun setelah berlaku pertukaran pentadbiran projek tersebut tidak lagi berjalan seperti yang dirancang.

Terdahulu sidang DUN hari ini tegang apabila soalan membabitkan masalah banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dijawab Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika pertanyaan lisan daripada Ismail (BN-Dusun Tua) yang meminta Abdul Khalid menjelaskan situasi terkini mengenai peruntukan untuk menyelesaikan masalah banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Menteri Besar berkata, tiada sebarang peruntukan diterima seperti mana yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 2008.

Katanya, kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan sendiri untuk memperbaiki saliran dan juga pembetungan masing-masing yang menelan belanja sekitar RM470,000 dan RM325,000.

"Projek kolam takungan juga bakal dilaksanakan dan ketika ini perkara tersebut masih dalam proses mengenal pasti dan mengambil alih tapak tanah dan projek tersebut dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

"Projek berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan, kerajaan negeri juga tidak menerima sebarang peruntukan seperti yang dikatakan oleh ADUN Dusun Tua," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: