Rabu, Disember 19, 2012

Fakta KP kaum India bukan dongeng?


Penunjuk-penunjuk perasaan dihalang daripada masuk ke dalam bangunan Jabatan Pendaftaran Negara semasa Demonstrasi Duduk Bantah mengenai isu Kad Pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya pada 12 Disember lalu.

"Jangan cuba jadi pakar kritik." Itulah luahan Timbalan Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan MIC, Datuk R. Ramanan.

"Pembangkang selalu tuduh MIC dan Barisan Nasional (BN) tak buat ini, tak buat itu. 'Anda' hanya beritahu kami apa yang kami tak buat. Tetapi tolonglah katakan apa yang telah 'korang' (anda) telah buat.

"Nyatakan pencapaian 'anda'. Jangan hanya selalu kritik," kata Ramanan semasa ditemui akhbar ini Isnin lalu.

Kerana itu, kata Ramanan, yang juga cucu kepada Tan Sri Dr. Devaki Krishnan - wanita pertama di negara ini yang dilantik dalam pejabat awam setelah memenangi kerusi majlis perbandaran pada 1952 - pembangkang dicabar mengemukakan senarai 300,000 penduduk India yang didakwa tidak mempunyai kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.

Jika gagal berbuat demikian, kata beliau, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran yang mengeluarkan dakwaan palsu tersebut, perlu bersara daripada dunia politik.

Baru-baru ini, Surendran seperti dipetik menerusi portal berita berkata, pakatan pembangkang akan berkumpul di hadapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menuntut agensi itu menyelesaikan isu status kewarganegaraan 300,000 penduduk India berkenaan.

Menjawab dakwaan itu, Ramanan berkata: "Tak ada kerakyatan? Ini semua betul-betul joke, ini memalukan pembangkang. Kalau betul dakwaan ini, sebagai contoh kita duduk dalam satu meja empat orang, salah seorang daripada kawan kita pasti tidak ada IC (Kad Pengenalan)... ini kalaulah betul 300,000 India tak ada kerakyatan.

"Jadi, saya minta rakyat sendiri tanya kawan yang duduk dengan anda, adakah dia seorang yang tiada IC. Tidak logik apa yang pembangkang cakap. Saya fikir ini mudah bagi MIC. Pembangkang sendiri memusnahkan diri mereka sendiri dengan membuat cerita ini," kata Ramanan.

Tambah beliau lagi: "Rakyat kaum India bukannya bodoh. Mereka perhati apa yang berlaku sehinggalah MIC keluarkan fakta maklumat ini. Macam PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) kata pada ucapan pembukaan AGM (Perhimpunan Agung MIC di Kuala Lumpur pada 9 Disember lalu) bahawa memang kita terima laporan 10,000 orang India yang tiada IC. Daripada 10,000 itu, 6,000 dah berjaya kita selesaikan."

Ramanan, 31, yang fasih bertutur bahasa Kantonis dan Mandarin selain bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil menarik perhatian mengenai sokongan padu masyarakat India kepada BN akhir-akhir ini. Sokongan itu, kata beliau, semakin kembali dan utuh sejak dua tahun ini, apabila bukan sahaja Perdana Menteri, malah BN serta MIC yang diketuai Presidennya, G. Palanivel kian berjaya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat India.

"Daripada AGM tempoh hari kita sudah boleh nampak. Ribuan yang hadir, padahal kebiasaannya AGM seperti ini nampak senyap. Tetapi kali ini, maksud saya Ahad lepas nampak kemeriahannya. Apabila PM berucap, ketara betul kemeriahannya," katanya.

Menurut Ramanan, secara peribadi beliau berpendapat, dari segi keperluan dan kepentingan untuk masyarakat India, banyak peruntukan telah disediakan oleh kerajaan. Antara yang terbaru termasuklah penambahan 1,000 tempat untuk pelajar kaum India memasuki matrikulasi/Universiti.

Bagi Ramanan, secara jujur masalah yang dihadapi masyarakat India sekarang adalah 'keperluan' untuk mengenal pasti bahawa pendidikan amat penting. Tanpa pendidikan, semua orang termasuk kaum India tidak akan ke mana, tidak akan berjaya.

"Saya lebih gemar merumuskannya begini, kita sudah dapat satu pendidikan yang bagus, jadi, kita perlu praktis dalam kehidupan.

"Dan kita bernasib baik kerana pendidikan yang dikecapi hari ini di Malaysia, disokong dan didukung oleh persekitarannya yang stabil (baik ekonomi mahupun politik).

"Dalam konteks ini, masyarakat India juga perlu berfikir ke hadapan. Jangan hanya mahir dalam bahasa Tamil tetapi juga perlu kepakaran itu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Dan hari ini anak-anak muda masyarakat India juga belajar Mandarin. Mereka pergi ke sekolah Cina. Di sini kita lihat bagaimana faktor persekitaran itu diambil peluang," katanya.

Ramanan, jurutera mekanikal lulusan sebuah universiti di Amerika Syarikat dan kini berkecimpung dalam dunia perniagaan, turut mempunyai sebuah biro kebajikan yang dibuka di Brickfields sejak 2010.

"Sebelum ini kami terima kira-kira 40 panggilan setiap hari tetapi sekarang ia umpama satu sektor kebajikan yang menerima dan menyelesaikan isu-isu rakyat, antaranya yang dihadapi ibu tunggal seperti cara bagaimana hendak mohon bantuan kebajikan dan kalau orang hilang dokumen pasport, kita akan cuba selesaikan dengan bawa hingga ke pengetahuan imigresen," katanya yang sebelum ini merupakan Pengerusi Biro Kebajikan dan Sosial Pemuda MIC pada 2010 dan Ketua Unit Pengaduan Awam Pemuda MIC.

Secara peribadi juga bagi Ramanan, sejak 2008, BN melalui MIC telah banyak memperbaiki tatacara kerjanya dalam menjaga sensitiviti masyarakat India.

"Tidak ada satu kuil pun dirobohkan. Tetapi pembangkang tak perlu kita nyatakan...mereka apabila kempen akan mengatakan sesuatu. Namun selepas mendapat undi, mereka buat lain pula. Macam mana rakyat nak percaya, hasrat cuma nak dapat kerajaan (kuasa)," katanya.

Ditanya bagaimana cara berkesan untuk membangunkan masyarakat India yang miskin yang berulang kali difikirkan banyak pihak sebelum ini, Ramanan memberitahu:

"Bagi saya kita perlu beri mereka kursus pendidikan iaitu bagaimana nak menggunakan rangkaian sedia ada di kampung dan bandar. Maknanya, kita perlu cari jalan untuk mereka bercampur gaul...lebih ramai kawan kita ada, lebih banyak kita punya rangkaiannya.

Mengenai peluang MIC pada pilihan raya umum ke-13 ini, Ramanan optimis.

"Saya yakin kesemua 9 kerusi Parlimen BN yang akan ditandingi MIC boleh menang dengan dukungan senario semasa ini. Jika kita betul-betul bekerja keras tanpa sabotaj dalaman, peluang menang lebih cerah.

"Dan buat masa ini kepimpinan Datuk G. Palanivel nampak yakin, kami bersatu padu dan tak lagi berpuak macam dulu," katanya yang turut merujuk komitmen Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dalam membantu masyarakat India.

Tegas Ramanan: "Apa yang MIC katakan ini adalah dari segi fakta. Kita tak buat cerita dongeng. Kita tak ambil angka dari langit. Kita (MIC) akan terus perjuangkan nasib masyarakat India. Ini janji kita."

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: