Selasa, April 07, 2015

'Serangan Tun M terhadap Najib ada agenda' - Salleh Said Keruak?


1. Akhir - akhir ini, Tun Dr Mahathir Mohamad makin sinis. Saya baca tulisan terbarunya dalam blog. Sekali lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jadi sasaran kritiknya.

2. Dari pengamatan saya, komen-komen Tun M ini menjurus untuk memberi tekanan kepada Najib. Beliau berulang-ulang bercerita mengenai isu negatif. Inilah cara dan strateginya. Niatnya agar masyarakat mempercayainya. Yang terbaru beliau cerita mengenai isu bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar. Kenapa hal itu dibangkitkan lagi sekarang?

3. Dalam kebanyakan tulisan-tulisan Tun M sebelum ini pun, beliau menyasarkan kepada Najib. Beliau seolah-olah cuba memberi andaian dan persepsi negatif umum terhadap Najib. Sebab itulah, saya katakan bahawa niat Tun M di sebalik tulisannya itu boleh dipersoalkan!

4. Tun M berulang kali dan kerap melemparkan tuduhan terhadap Najib agar masyarakat percaya yang Najib itu sangat teruk. Ini propagandanya semata-mata. Malah, kritikannya hanya menimbulkan masalah tambahan kepada parti dan tidak membantu menyelesaikan masalah parti.‎

5. Bagi saya, kritikan-kritikan serta serangan Tun M dan kumpulannya yang semakin kuat terhadap Najib akhir-akhir ini ada agenda politik yang besar. Sebab itu, mereka memberi tekanan berterusan kepada Najib dengan membangkitkan pelbagai isu menerusi pelbagai kaedah dan platform.

6. Apapun, saya pasti Najib tidak bersendirian dalam mendepani cabaran ini. Beliau mempunyai cara tersendiri mengurus dan mentadbir negara. Zaman kini berbeza berbanding era Tun M dahulu.

7. Najib memahami keadaan persekitaran dan pasti mengambil kira semua pandangan, termasuk pandangan Tun M dalam membuat sesuatu keputusan. Keputusan Najib sebagai Perdana Menteri sesuai dengan tuntutan semasa.

8. Najib adalah ahli politik yang sudah teruji. Beliau menghadapi suasana politik yang berbeza dan pemikiran pengundi tidak sama seperti dahulu. Dalam keadaan sedemikian, pemimpin yang bergelar negarawan sepatutnya mencari jalan membantu parti. Tuntutan mereka untuk menukar Najib bukanlah satu penyelesaian, sebaliknya akan mencetuskan perpecahan dalam parti.


9. Saya kira bacaan politik Tun M silap dan tersasar. Ini kerana susana politik pada zamannya berbeza dengan sekarang. Hari ini saingan politik lebih sengit daripada zaman Tun M dulu. Pengundi kini mendapat maklumat dari sumber yang pelbagai.

10. Yang pasti, pengundi akan memihak kepada BN kerana mereka boleh melihat parti pembangkang kini dalam keadaan kucar-kacir dan tidak mampu mentadbir negara.

11. Oleh hal yang demikian, Tun M sepatutnya menyokong usaha-usaha mentransformasi negara yang dibawa Najib walaupun dia mempunyai pendekatan yang berbeza.

12. Jika Tun M berterusan mengkritik BN dan Najib secara terbuka, masyarakat akan melihat Tun M seolah-olah bersekongkol dengan musuh-musuh tradisi politik beliau sendiri.

13. Yang jelas, pimpinan Najib jauh mengatasi cara Tun M dahulu. Pimpinan dan pendekatan Najib yang bersifat terbuka disenangi, diminati dan jadi `favourite' orang Sabah dan Sarawak, kerana dia memahami denyutan nadi rakyat di kedua-dua negeri itu.

14. Mengambil kira semua isu ini, maka saya percaya hanya Najib yang terbaik memimpin. Secara peribadi, saya tegaskan bahawa BN akan kalah kalau bukan Najib mengetuai PRU14 akan datang.

15. Sabah dan Sarawak berasa lebih senang dengan Najib kerana beliau memahami aspirasi kami. Beliau mengiktiraf sokongan kami dengan memberi jawatan-jawatan Menteri yang penting kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak, malah memberi peruntukan besar untuk kedua-dua negeri di Borneo ini.

16. Dari persepsi politik, Najib sedar terhadap realiti 56 kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak membantu bagi penubuhan kerajaan pada hari ini.

SALLEH ‎SAID KERUAK
Penulis ialah Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak adalah Speaker Dun Sabah

Suara Politik
Belantan

2 ulasan:

Abu Bakar berkata...

Sila Salleh Said Keruak beri penjelasan mengenai isu di bawah ini:

1. Apakah motif yang memerlukan Sirul Azhar dan Azilah Hadri membunuh Altantuya?

2. Mengapakah dana RM 2 bilion yang dikatakan dah dikeluarkan dari pelaburan di Cayman Island disimpan di Singapura tetapi tidak disimpan di Malaysia, apakah Malaysia ini tidak punya bank untuk menyimpan dana berkenaan? Apakah 1MDB tak percaya dengan keupayaan bank-bank tempatan termasuklah bank yang kerajaan punya pegangan seperti Maybank, CIMB (bos besarnya adik Najib sendiri), Agrobank, Bank Islam, Tabung Haji, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan lain-lain bank swasta milik Malaysia, apakah 1MDB memandang rendah terhadap keupayaan bank-bank tersebut menyimpan dana sebanyak RM 2 bilion itu? Ataupun itu semua hanyalah sandiwara kerana tidak pernah wujud pun RM 2 bilion yang dinyatakan itu, diberi alasan di Singapura untuk elakkan perkara ini terbongkar. Harapnya Ketua Audit Negara yang akan buat siasatan audit akan menyemak akaun di Singapura itu, bank apa, bila dimasukkan wang itu, dah tinggal berapa sekarang ini.

3. Apakah status RM 2 bilion yang diberikan oleh Ananda Krishnan kepada 1MDB? Ini kerana menurut sumber para jemuan dan blogger bangang belaan Najib, itu bukannya pinjaman, apakah sebenarnya status RM 2 bilion itu, apakah sedekah kepada pengemis dan 1MDB dah jadi pengemis?

Sila jawab persoalan itu, jangan hanya tau merapu dan meracau tak tentu hala sahaja.

Terutama isu 1MDB, bukankah ketua bahagian yang hadir mendengar penjelasan panjang lebar berjela-jela oleh Najib sudah sangat faham sefaham-fahamnya mengenai 1MDB itu, sila berikan penjelasan untuk kefahaman rakyat yang masih tertanya apa yang berlaku sebenarnya, bukannya apa, sebagai yang dah dengar penjelasan, maka kena berikan penjelasan kepada rakyat pula.

Unknown berkata...

Persoalan mengong. Kau pi tanya Tun pasal Jalil Ibrahim lagi bagus.

Dengan 1MDB kita ada 9 IPP diluar dan 4 dalam negara merupakan punca pendapatan baru negara yang hasilnya takkan boleh dilihat dalam sehari. mongok

IPP luar negara tu perlu modal dibelanjakan diluar jadi duit letak luarlah monggok supaya senang digunakan