Selasa, Februari 10, 2015

Keputusan kes 
liwat Anwar hari ini!


Setelah lebih 6 tahun 5 bulan 10 hari

Sekitar pukul 9 pagi ini, panel lima hakim yang dike­tuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan masuk ke Dewan Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman, Putrajaya dan duduk di kerusi masing-masing.

Selepas berbasa-basi, salah seorang daripada panel tersebut akan mula membacakan penghakiman kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Panel hakim ter­sebut turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Keputusan mahkamah terting­gi negara itu adalah berikutan rayu­an Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan terhadap sabi­tan salah dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lalu.

Keputusan Mahkamah Rayu­an itu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar pada 9 Januari 2012.

Ketetapan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan hari ini adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi.

Kes liwat berke­naan merupakan pertuduhan kali kedua yang pernah dihadapi oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Kali pertama, Anwar didakwa meliwat pemandu keluarga Anwar, Azizan Abu Bakar, di apartmen milik adik ang­kat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di Tivoli Villa, Bangsar di sini antara Januari dan Mac 1993.

Beliau bagaima­napun dilepaskan dan dibebaskan da­ripada pertuduhan tersebut di peringkat Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 2-1.

Penghakiman majoriti tersebut ditulis oleh Hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian dilantik Ketua Hakim Negara (kini bersara).

Dalam penghakiman itu, Abdul Hamid berkata:

“Kami mendapati wujud kete­rangan yang mengesahkan perayu (Anwar dan Sukma Darmawan) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung untuk percaya bahawa insiden yang didakwa berlaku di Tivoli Villa itu benar-benar berlaku, kadang kala ...”

Semestinya, pada ketika penghakiman dalam kes terkini yang dihadapinya dibacakan, Anwar mengharapkan keputusan akan berpihak kepada dirinya.

Sekiranya gagal di peringkat ini, Anwar bakal berdepan pula dengan kemungkinan bahawa hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini dipanjangkan.

Selain itu, beliau menghadapi kemungkinan kehilangan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dipegangnya kini.

Anwar, 67, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 30, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Beliau menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Atas faktor usia, Anwar tidak akan dikenakan hukuman sebatan.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: