Jumaat, Februari 20, 2015

Jepun mahu belajar dari negara kita?

Makanan di restoran Jepun yang mempunyai logo halal yang memberi keyakinan kepada pengunjung Islam untuk menjamu selera di restoran berkenaan.

Ketidaktentuan ekonomi dunia telah memberi kesan bukan sahaja kepada negara-negara membangun seperti Malaysia, malah negara-negara maju seperti Jepun turut merasa kesannya. Perkembangan ekonomi Jepun menunjukkan sedikit penurunan dan berada pada skala statik sejak kebelakangan ini.

Namun, mereka cepat bertindak. Pelbagai strategi jangka pendek dan jangka pandang disusun bagi mencari jalan keluar daripada era kelembapan ekonomi ini.

Satu daripada langkah yang diambil adalah dengan memberi penumpuan kepada usaha untuk menarik pelaburan asing dan menjenamakan semula sektor pelancongan serta memperkasakan penerbitan buku dan karya ilmiah.

Bagi mencapai matlamat ini, Jepun telah melaksanakan strategi seperti menambahbaik infrastruktur sedia ada ke arah yang lebih Islamik untuk menarik para pelabur dan pelancong terutamanya daripada negara-negara Islam seperti Malaysia.

Antara usaha-usaha yang dilaksanakan adalah dengan menyediakan ruang khas solat di lapangan-lapangan terbang utama mereka.

Pada masa sama, Jepun juga menjadikan Malaysia sebagai tempat rujukan mereka dalam beberapa perkara mengenai Islam. Hal ini termasuklah dalam hal industri halal dan penerbitan ilmiah.

Umum mengetahui bahawa pada akhir tahun lepas Jepun menerima kemasukan produk-produk halal negara untuk dijual di negara mereka. Walaupun langkah itu dibuat sebagai persediaan untuk kemasukan atlet dan pegawai dari negara-negara Islam sempena Sukan Olimpik 2020, namun pemilihan Malaysia sebagai pengedar makanan halal di negara tersebut adalah sesuatu yang membanggakan.

Hal ini menyerlahkan lagi usaha kita ke arah menjadi hub produk dan perkhidmatan halal. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa negara kita kini telah diiktiraf sebagai peneraju industri halal dunia.

Penerimaan Jepun terhadap produk halal negara telah menjadi bukti bahawa logo halal negara adalah logo terbaik dunia. Jepun juga menjadikan Wilayah Chiba sebagai tempat untuk memasarkan produk halal negara.

Selain industri halal, Jepun juga mengambil berat mengenai perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Hal ini merangkumi bidang sosial sains, pengurusan, budaya, politik dan sebagainya.

Pendek kata, banyak perkara yang mereka mahu belajar daripada negara kita.

Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka negara telah dipilih oleh penerbit Jepun untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang penerbitan ilmiah. Mereka melihat UUM sebagai sebuah universiti yang menjadi pusat rujukan dalam bidang kepakaran pengurusan dan sains sosial.

Atas dasar tersebut, UUM dipelawa untuk bekerjasama dalam penerbitan buku yang mana buku-buku berkualiti terbitan Penerbit UUM (UUM Press) akan diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun.

Hasil awal kerjasama ini memperlihatkan kejayaan apabila mereka telah menterjemahkan karya penerbitan sebuah buku tentang politik bangsa Malaysia ke dalam bahasa Jepun.

Buku terjemahan ini akan dijual di pasaran Jepun. Bayangkan mereka sanggup menterjemah buku-buku kita atas dasar rakyat mereka akan meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai politik rakyat kita yang majoritinya adalah Melayu Islam.

Selain buku tersebut, mereka juga memohon agar UUM mengeluarkan buku-buku mengenai kewangan Islam. Buku-buku ini akan diterbitkan dalam bahasa Jepun dan akan turut dijual di negara matahari terbit itu.

Kerjasama dan kesudian penerbit di Jepun untuk menjalinkan kerjasama dengan UUM telah membuktikan banyak perkara. Pertama, universiti-universiti tempatan telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuklah penerbitan.

Kedua, Jepun ingin belajar se­suatu daripada negara kita. Jus­teru, me­reka menggunakan strategi mem­pelajari ilmu dan budaya ma­syarakat kita dan dikembangkan di negara mereka. Penyebaran ilmu melalui bahan penerbitan akan memberi banyak kebaikan kepada negara mereka untuk jangka masa panjang.

Inilah antara rahsia kejayaan orang Jepun. Walaupun mereka jauh lebih maju daripada kita sehingga menjadi bandar nombor 1 Asia dan ke-4 dunia, mereka tidak hanya duduk berdiam diri dan berpeluk tubuh.

Jepun memiliki masyarakat yang kaya dengan inovasi dan kreativiti. Mereka mewujudkan produk baharu yang tidak pernah terfikir oleh masyarakat lain. Mereka mendominasi dalam banyak industri. Bermula dengan industri kereta, permainan video dan robotik.

Namun mereka tidak pernah berasa penat untuk maju. Kini mereka tahu bahawa Malaysia mempunyai kepakaran yang tiada pada masyarakat mereka. Sebab itu, mereka ingin belajar dari Malaysia terutama berkaitan masyarakat Islam.

Tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan muncul sebagai hub industri halal dunia. Tidak mustahil jua suatu hari nanti negara mereka muncul sebagai peneraju kewangan Islam dunia. Justeru, apa peranan kita kepada negara kita? Tepuk dada tanyalah iman. - UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: