Isnin, Februari 16, 2015

Berakhirkah hayat politik Anwar?

Sebahagian penyokong Anwar Ibrahim hadir mendengar keputusan rayuan akhir kes liwat ketua pembangkang itu di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman Putrajaya, Selasa lalu. 

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara me­nolak rayuan Anwar Ibrahim, lalu me­­ngekalkan sabitan dan hukuman penjara yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Seperti dijangka dari awal lagi, pelbagai pihak menyelar dan menghentam keputusan ini. Seorang peguam dari Sarawak, yang juga ahli Pakatan Rakyat, menyifatkan sabit­an Anwar ini sebagai sesuatu yang tidak masuk akal (beyond logic and reason).

Seorang individu lain dari sebuah badan bukan kerajaan (Aliran) mengatakan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan mensabitkan Anwar ini “mengaibkan” institusi kehakiman negara ini.

Portal Amnesty.org pula mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari berkenaan amat teruk sekali (This is a deplorable judgment), sambil mengulangi tuduhan yang sudah sekian lama didendangkan oleh Anwar sendiri, iaitu prosiding jenayah yang dibuat ke atasnya ini “bermotifkan politik”.

Andainya anda ingin memahami kenapa Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan Anwar dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, anda perlu baca dengan teliti keseluruhan teks penghakiman yang dibaca oleh Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria selama dua jam pada hari itu, atau setidak-tidaknya membaca ringkasan rasmi penghakiman itu setebal 54 halaman yang kini ada tersebar dalam ruang siber.

Sebab rayuan Anwar ditolak

Ada beberapa sebab kenapa rayuan Anwar ditolak – antaranya;

Pertama, Mahkamah Persekutuan mendapati Saiful seorang saksi yang boleh dipercayai, walaupun Anwar te­lah cuba bersungguh-sungguh me­yakinkan mahkamah bahawa Saiful seorang saksi yang tidak boleh dipercayai.

Bagi Mahkamah Persekutuan, Saiful ialah seorang anak muda yang berani dan cekal. Walaupun dia te­lah diperiksa balas dalam tempoh yang begitu lama oleh peguam­bela Anwar, keterangannya tetap konsisten dan kredibilitinya tidak tercabar. Lantaran itu, Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan mendapati Saiful seorang saksi yang boleh dipercayai.


Sewaktu prosiding berjalan di Mahkamah Tinggi, pasukan peguam­bela Anwar cuba mencabar kredibiliti Saiful menerusi impeachment. Malangnya pasukan peguambela gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan dan hakim bicara telah menggunakan budibicaranya menolak permohonan impeachment tersebut.

Kedua, isu keterangan menyo­kong­ (corro­boration). Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Saiful bukan seorang accomplice (rakan tertuduh), dan oleh yang demikian, isu corroboration tidak timbul. Sekalipun Saiful dianggap sebagai accomplice, mahkamah dapati bahawa terdapat keterangan menyokong yang mencukupi untuk mensabitkan kesalahan tertuduh.

Ketiga, isu DNA. Pasukan peguambela menghujah bahawa DNA Anwar diperoleh menerusi trickery and deception (penipuan). Mengikut Mahkamah Persekutuan, isu ini telah ditimbangkan oleh hakim bicara, yang kemudian memutuskan bahawa keterangan DNA tersebut boleh diterima (admissible).

Kata Mahkamah Persekutuan lagi, tindakan pegawai penyiasat mengambil eksibit yang digunakan oleh Anwar semasa dia ditahan dalam lokap tidak melanggar apa-apa peraturan atau menjejaskan hak Anwar untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil.

Anwar telah ditahan dengan sah dan pengumpulan keterangan oleh pasukan forensik daripada barang eksibit yang digunakan oleh Anwar semasa ditahan di lokap itu adalah satu “method yang sah dan adil”. Oleh itu, kata Mahkamah Persekutuan, hakim bicara bertindak betul apabila memutuskan keterangan DNA Anwar adalah boleh diterima.


Keempat, keterangan DNA merupakan keterangan yang menyokong (corroboration) dakwaan Saiful bahawa dia telah diliwat oleh Anwar. Merujuk kepada hujah peguambela Anwar mengenai degradasi sampel DNA, Mahkamah Persekutuan me­nyatakan pasukan pendakwaan tidak pernah menyatakan bahawa sampel DNA itu berada dalam ke­adaan terbaik (It was never the pro­secution’s case that the samples were in pristine condition).

Setelah meneliti keterangan saksi pasukan pendawaan dan hujah peguambela Anwar berhubung isu ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa degradasi tidak menimbulkan apa-apa kesan kepada profiling DNA dalam kes ini (It is our finding that the degradation has no effect whatsoever on the DNA profiling in this case).

Kelima, hujah peguambela An­­war bahawa rantai keterang­an dalam kes ini telah putus. Mahkamah Persekutuan memutuskan keadaan itu tidak berlaku dalam kes ini.

Oleh yang demikian, Mahkamah Persekutuan setuju dengan pendapat Mahkamah Rayuan bahawa integriti sampel tidak terjejas atau tercemar (not compromised). Mahkamah Persekutuan menolak “cadangan” peguambela Anwar bahawa keterangan DNA telah sengaja diwujudkan (planted) dalam kes ini.

Pembelaan Anwar

Pada awalnya Anwar telah memfail dan menyerahkan notis kepada pasukan pendakwa di bawah Sek­syen 402A Kanun Acara Jenayah bahawa dia tidak ada di tempat pada hari dan masa insiden liwat itu berlaku. Dalam notisnya itu, Anwar menyenaraikan 13 saksi yang akan dipanggil olehnya untuk menyokong alibinya. Bagaimanapun, apabila tiba giliran Anwar membuat pembela­annya, dia tidak memanggil sesiapa pun, sebaliknya menggugurkan pembelaan alibinya itu.


Disebabkan kegagalan Anwar ini, pasukan pendakwa menghujah bahawa mahkamah sepatutnya membuat inferensi bertentangan (adverse inference) di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950, tetapi Mahkamah Persekutuan enggan membuat inferensi sedemikian. Ini menunjukkan bahawa mahkamah bertindak secara saksama dan tidak berat-sebelah terhadap tertuduh.

Anwar berkali-kali menuduh Saiful tidak boleh dipercayai walaupun keterangannya di mahkamah tetap konsisten dan tidak berubah walaupun diasak melalui pemeriksaan balas oleh pasukan peguam­bela Anwar. Anwar juga mendakwa prosiding jenayah yang dihadapi olehnya ini adalah satu konspirasi. Peguamnya juga cuba meyakinkan mahkamah bahawa sampel DNA miliknya sengaja diwujudkan (planted) oleh pasukan pendakwa.

Namun bila gilirannya tiba untuk memberi keterangan, Anwar tidak berani memberi keterangan dengan bersumpah di kandang saksi yang mana dia akan diperiksa balas oleh pasukan pendakwa. Dia juga gagal mengemukakan bukti tentang konspirasi tersebut atau bahawa DNA miliknya telah sengaja diwujudkan oleh pasukan pendakwa.

Kata Mahkamah Persekutuan, walaupun Anwar ada hak di sisi undang-undang untuk bercakap tanpa bersumpah di kandang tertuduh, apa yang dikatakan olehnya tidak ada nilai sebagai keterangan kerana ia tidak boleh diuji melalui proses pemeriksaan balas oleh pasukan pendakwa.

Kerjaya politik


Dikenakan hukuman penjara selama lima tahun, Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Kecu­a­li suatu perkembangan di luar jangkaan berlaku, misalnya Anwar diberi pengampunan atau semakan (revision), sekiranya dibenarkan, berakhir dengan satu kemenangan olehnya, kerjaya politik Anwar ber­akhir di sini.

Satu lembaran baru landskap politik negara akan bermula, iaitu Pakatan Rakyat tanpa Anwar. Apakah yang akan berlaku kepada hubungan antara DAP dan Pas? Adakah Pakatan Rakyat akan dapat bertahan, tanpa Anwar sebagai Ke­tua Pembangkang? Apakah tempat Anwar akan diambil alih oleh Lim Kit Siang atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Selama enam tahun enam bulan Anwar bertarung di mahkamah, mengatakan dia tidak bersalah. Apakah kekalahannya di mahkamah ini akan disusuli pula dengan perang persepsi yang lebih sengit dan hebat?

Apakah Anwar dalam penjara akan menjadi “masalah” yang lebih besar kepada kerajaan, berbanding dia bebas dulu?

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: