Selasa, Februari 10, 2015

Kedudukan Anwar ditentu selepas keputusan liwat?


Kedudukan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam pakatan pembangkang akan ditentukan selepas keputusan kes liwat beliau diketahui pada 10 Februari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan oleh kepimpinan pakatan pembangkang selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai kes liwat Ketua Umum PKR itu.

"Majlis pimpinan (pakatan pembangkang) bersetuju untuk bermesyuarat semula sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 10 Februari," kata Guan Eng.

Guan Eng berkata demikian kepada media dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang, yang diadakan di ibu pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, yang menghadiri mesyuarat berkenaan bersama-sama Guan Eng dan Anwar, bagaimanapun tidak kelihatan dalam sidang akhbar berkenaan.

Anwar yang mempengerusikan sidang akhbar tersebut memberikan alasan bahawa Presiden Pas itu mempunyai hal lain yang perlu dihadiri sejurus mesyuarat berkenaan selesai.

"Abdul Hadi hadir mesyuarat dari awal hingga akhir dan mohon maaf kerana terpaksa pulang sebelum sidang media.

"Dia sampaikan salam. Dia terpaksa tangguhkan program. Dia sepatutnya pulang awal tetapi dia kekal sampai akhir mesyuarat," kata Anwar.

Mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang yang bermula lada pukul 2.30 petang dan tamat pada pukul 3.30 petang itu turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Mesyuarat tersebut bersetuju mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu-isu Enekmen Jenayah Syariah 2 dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagi memperbaharu sokongan penyokong, pakatan pembangkang akan mengadakan konvensyen pada 10 Mei ini.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: