Jumaat, Julai 26, 2013

Suaram dikecam guna alasan buka puasa tabur fitnah PM?



Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengecam keras tindakan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang didakwa menggunakan alasan majlis berbuka puasa dan mengutip derma makan malam bagi menabur fitnah terhadap Perdana Menteri serta negara.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, tindakan itu amat tidak bertanggungjawab dan menunjukkan Suaram tidak menghormati Ramadan yang merupakan bulan paling suci dalam Islam, apatah lagi majoriti pimpinan Suaram bukan terdiri daripada pemimpin agama tersebut.

Menurutnya, majlis itu juga tidak melambangkan acara berbuka puasa sebaliknya hanya momokan kononnya terdapat perbicaraan mengenai skandal pembelian kapal selam negara di Perancis, sedangkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua pernah direkodkan mengakui perkara itu tidak benar seperti terkandung dalam penyata rasmi Parlimen.

Lebih menjengkelkan, katanya, tindakan para penceramah dalam majlis itu yang kononnya memetik maklumat daripada penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam tentang penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu adalah amat tidak bertanggungjawab.

“Saya amat berharap agar pimpinan Suaram menghormati sedikit serta tidak menyalahgunakan alasan berbuka puasa untuk menabur fitnah terhadap pimpinan negara dalam majlis tersebut.

“Tindakan penceramah dalam majlis berkenaan seperti pemimpin PKR, R. Sivarasa dan Americk Sidhu (bekas peguam Balasubramaniam), mempergunakan atau `menjual’ nama mendiang Balasubramaniam langsung tidak menghormati keluarga si mati dan saya boleh sifatkan ini sebagai fitnah oleh orang mati," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas bagi mengecam Suaram kerana menganjurkan majlis dinamakan `Ops Scorpene Buka Puasa dan Makan Malam Amal’ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat lalu di Ibu Pejabat JMM di sini hari ini.

Azwanddin turut mendakwa beliau telah dihalang menyertai majlis tersebut walaupun telah mengemukakan tiketnya yang dibeli pada harga RM150 sebelum masuk ke dalam dewan berkenaan oleh para petugas Suaram.

Namun katanya, sebanyak tujuh pimpinan serta ahli JMM yang berjaya meloloskan diri masuk menyertai majlis tersebut kecewa melihat acara itu hanya sarat dengan fitnah terhadap Najib, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan negara.

“Menurut rakan-rakan saya yang masuk, keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan di kalangan kira-kira lima peratus Melayu beragama Islam yang hadir sehingga mereka bangkit meninggalkan majlis, daripada 750 hadirin kesemuanya di majlis berkenaan," katanya.

Oleh yang demikian, katanya, JMM mendesak Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya melakukan siasatan serius terhadap tindakan Suaram mengutip derma tersebut memandangkan kumpulan itu merupakan pertubuhan tidak berdaftar.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: