Selasa, Julai 09, 2013

Karpal Singh 'bahaya', Pas perlu istiqamah?


Ahli Pas yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, Pas perlu komited dan istiqamah dalam mempertahankan teguran yang disuarakan Penolong Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Menurutnya, tiada siapa boleh menafikan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang telah tercatat dalam Perlembagaan dan semua pihak harus menghormati peruntukan berkenaan termasuk tidak mempertikaikannya.

"Apa yang ditegaskan Takiyuddin itu benar, jadi Pas perlu mempertahankannya dan saya harap semua ahli serta pemimpin Pas beristiqamah terhadap perkara ini.

"Jangan menukar pendirian ini sama seperti yang dilakukan pemimpin-pemimpin parti sebelum ini berhubung beberapa isu lain pernah yang dibangkitkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Takiyuddin meminta Karpal supaya tidak memberi kata dua kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menyokong hasratnya untuk meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.


Mohamed Hafiz yang juga bekas Ketua Pemuda Pas negeri dalam pada itu turut menyuarakan rasa pelik beliau terhadap hilangnya suara-suara para pemimpin Pas berhubung isu tersebut.

"Mana pergi pemimpin atasan Pas? Kenapa hanya Penolong Setiausaha Agung sahaja yang mengeluarkan kenyataan, mana hilangnya Setiausaha Agung dan pemimpin tertinggi parti yang lain?" soalnya.

Selain itu tegas beliau, tindakan Karpal yang mahu mengusulkan pindaan terhadap Perkara 12 (4) berkenaan seolah-olah menunjukkan sikap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu yang tidak menghormati Perlembagaan.

"Pembentangan rang Undang- Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 sudah ditarik balik, jadi apa lagi yang mahu diusulkan?

"Apakah Karpal cuba mengambil kesempatan di atas kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapatkan dua per tiga kerusi di Parlimen dengan membangkitkan isu sensitif seperti ini?

"Kalau inilah sikap sebenar beliau, saya melihat Karpal ini seorang yang 'bahaya' untuk keharmonian negara berbilang bangsa seperti Malaysia," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: