Jumaat, Julai 05, 2013

Iktibar daripada pengalaman Jusuf Kalla?


Jika Anwar Ibrahim hidup di Indonesia, negara yang sudah begitu terbuka demokrasinya, pemimpin seperti beliau tidak akan mampu bertahan lama. Seorang Anwar yang terpalit dengan begitu banyak isu moral, hipokrit dan diketahui berkawan dengan musuh-musuh Islam tidak akan diterima di republik itu.

Kehadiran beliau boleh membawa lebih banyak kemudaratan daripada manfaat. Tetapi malangnya kita terpaksa menerima realiti orang seperti ini yang umum tahu perangainya seperti sesumpah, masih mendapat layanan istimewa. Pengundi di Permatang Pauh masih mengundinya bahkan pimpinan pakatan pembangkang sepakat memilihnya sebagai ketua mereka.

Sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun lagi, memandangkan janji beliau untuk bersara kerana gagal ke Putrajaya dimungkiri, Malaysia akan terus dibebani dengan pergaduhan politik yang tak ada penghujungnya. Anwar memang terbukti pakar dalam hal menangguk di air keruh bagi mendapatkan laba politik untuk kepentingan sendiri.

Jusuf Kalla, seorang daripada sekian banyak sahabat akrab di Indonesia sejak zaman mahasiswa nampaknya mula memahami sifat sebenar Anwar ini. Anwar menurut bekas Naib Presiden Indonesia itu orangnya mungkir janji, ego dan mempunyai imaginasi untuk menjadi Perdana Menteri yang sangat melampau.


Jusuf dari tanah Bugis di Sulawesi yang juga ahli perniagaan berjaya tidak salah kerana kesimpulan itu beliau perolehi daripada pengalamannya sendiri. Beliau yang kini aktif sebagai perantara antara kumpulan-kumpulan berseteru khususnya di rantau ini telah menyatakan rasa kecewanya dengan sikap Anwar.

Peristiwa Anwar yang memungkiri janji benar-benar membuatkan Jusuf marah. Begitu juga dua lagi sahabat seangkatan Anwar yang juga bekas menteri dan pemimpin mahasiswa, Yusril Ihza Mahendra dan Fahmi Idris yang turut terlibat dalam usaha perdamaian antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Anwar. Jusuf kini berumur 71 tahun manakala Yusril, 57 dan Fahmi, 69.

Dalam wawancara beliau dengan portal berita Merdeka Online, Jusuf menegaskan secara berterus-terang tentang gentleman’s agreement yang telah dimungkiri oleh Anwar itu.

Rupa-rupanya Anwarlah yang beria-ia dengan perjanjian itu sehingga tiga kali bertemu Jusuf termasuk datang ke rumahnya bersama Yusril dan Fahmi di Jakarta. Atas dasar sahabat, Jusuf, bersetuju menjadi perantara. Lagipun dengan Najib beliau akrab kerana kebetulan berketurunan Bugis.


Inti perjanjian yang ditandatangani oleh Jusuf dan Anwar itu ialah menerima apa sahaja keputusan pilihan raya yang kemudiannya turut dipersetujui oleh Najib. Tetapi tidak, setelah kalah Anwar tidak dapat menerima hakikat itu. Beliau seperti selalu ada dalih dan kali ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjadi mangsa.

SPR yang pada dasarnya adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi melalui pilihan raya yang bebas dan adil awal-awal lagi telah ditohmah untuk menimbulkan keraguan umum. Jalan ceritanya sama dan ternyata benar, akhirnya SPR yang dipersalahkan kerana kekalahan pakatan pembangkang.

Tidak semena-mena pengurusan SPR pula yang diminta meletakkan jawatan sedangkan isu yang dibangkitkan sama sekali gagal dibuktikan terutama tentang 40,000 pengundi Bangladesh yang tidak disebut pun dalam 25 petisyen yang difailkan oleh pakatan pembangkang.

Ini semua tidak lebih hanya permainan Anwar yang mungkin dalam imaginasi beliau adalah Perdana Menteri sebenar. Sepatutnya Anwar yang meletak jawatan atau sekurang-kurangnya berasa malu untuk menerima semula jawatan Ketua Pembangkang.


Kelompok pakatan pembangkang pun kini semakin berapi-api memainkan sentimen bahawa petisyen pilihan raya itu tidak akan ke mana. Nanti apabila keputusan mahkamah tidak menyebelahi mereka, tentu akan ada pihak yang dipersalahkan. Inilah perangai mereka.

Sikap talam dua muka, hipokrit dan mungkir janji itu juga yang menyebabkan Anwar kehilangan ramai rakan taulan. Puluhan tokoh daripada pemikir, ahli akademik dan ahli politik melihat Anwar tidak lebih sebagai individu yang tidak boleh dipercayai.

Sebahagian daripada mereka meninggalkan Anwar bukan kerana dibuang atau disisihkan tetapi atas dasar prinsip dan kebenaran. Kebanyakan mereka meninggalkan Anwar semasa masih memegang kuasa.

Kini, giliran rakan-rakan akrab Anwar di Indonesia yang berasa dipermainkan. Jusuf menyatakan beliau dan rakan-rakan lain di Indonesia tidak akan lagi menghubungi Anwar sebagai menyatakan rasa marah.

Kemarahan Jusuf itu sangat jelas sehinggakan beliau mendedahkan maklumat yang tak sepatutnya keluar daripada mulut seorang sahabat.


Kata Jusuf, beliau tahu Anwar dibantu oleh beberapa pihak khususnya dari Turki, Washington, Filipina dan mungkin juga di Thailand dan China untuk menjayakan himpunan Black 505. Maklumat tentang penglibatan asing ini daripada orang sekaliber Jusuf bakal mencetuskan polemik baharu mengenai siapa sebenarnya Anwar terutama kepada parti pembangkang.

Jadi kesimpulannya, tidak perlulah membuat apa-apa kesepakatan dengan pemimpin seperti ini. Tiada gunanya. Yang sudah termaktub dalam perjanjian bertulis yang dibuat oleh sahabat sendiri pun boleh dimungkiri, apatah lagi jika sekadar janji-janji politik.

Tidak tahulah apa lagi yang Anwar akan lakukan yang boleh menyedarkan rakan-rakan baharunya sekarang. Mereka seperti tertutup mata hati. Kebenaran di depan mata mereka pejamkan begitu sahaja. Atau adakah mereka itu sebenarnya mempunyai misi seperti dinyatakan oleh Jusuf iaitu ‘untuk menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu musuh-musuh Islam’?

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: