Sabtu, Julai 20, 2013

#PRK Kuala Besut : Kempen 'sindrom bisu' calon PAS memakan diri?



Calon PRK DUN Kuala Besut diarah tutup mulut

Calon PAS, Azlan Yusof tidak lagi dibenar membuat kenyataan kepada media sepanjang kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut. Dalam erti kata lain, kena tutup mulut. Ini berikutan satu kenyataan yang dianggap mencacatkan kempennya sendiri. Beliau dilaporkan berkata akan mengupah orang untuk menjalankan tugas wakil rakyat jika menang, manakala beliau akan lebih menumpukan perniagaan sendiri di Kelantan.

Sebagai ‘damage control’, pemimpin PAS beri pelbagai alasan: Azlan kurang matang politik, bahasa Kelantan yang digunanya pekat dan sukar difahami, tidak kurang menyalahkan media kerana salah lapor. Inilah kali pertama dalam sejarah pilihan raya disertai PAS yang mana arahan dibuat supaya calon tutup mulut. Ia juga lucu dan tidak masuk akal, mungkin Azlan tersasul tetapi jika calon kena tutup mulut, macam mana dia nak berkempen?

Perkembangan terbaru ini mengingatkan kita kepada peristiwa yang pernah berlaku kepada Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2007 dulu. Sewaktu berkempen di satu kampung sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk DUN Ijok, beliau tersasul dan mengisytiharkan: “Undilah calon Barisan Nasional.” Memang itulah yang dilakukan pengundi di DUN Ijok, maka Khalid kalah pada PRK itu. PAS tidak mahu hal sama berlaku kepada calon mereka di DUN Kuala Besut.

Strategi biasa

Arahan tutup mulut adalah strategi biasa yang dipakai pembangkang apabila menghadapi dan mahu menutup sesuatu krisis. Misalnya, pada 2009, Khalid (yang kemudian menang kerusi DUN Ijok pada PRU-12 dan menjadi Menteri Besar Selangor) mengarahkan semua EXCO tutup mulut mengenai kontroversi penjualan arak di negeri itu.


Beliau juga mengarahkan Datuk Dr Hassan Ali, EXCO PAS yang menjaga hal ehwal agama Islam ketika itu, untuk tutup mulut berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas Gereja Methodist Damansara Utama berikutan laporan adanya usaha memurtadkan orang Melayu-Islam. Arahan yang dikeluarkan pada 5 Ogos 2011 itu adalah antara punca hubungan PAS dengan DAP-PKR bertambah buruk dan berakhir dengan pemecatan Hassan sebagai EXCO dan daripada PAS.

Apabila berlaku perbalahan PAS dan DAP dua tahun lalu berikutan kenyataan Mursyidul Am dan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk laksana hukum hudud, pemimpin DAP berkeras menentang sehingga berlaku cabar mencabar dan ugut keluar pakatan pembangkang, maka Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengeluarkan kenyataan pada 26 September 2011 agar semua pihak tutup mulut.

Ketika berlaku pertikaman lidah antara dua pemimpin DAP – seorang EXCO dan seorang wakil rakyat – berhubung pembinaan rumah kos murah di Pulau Pinang dua tahun lalu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga mengeluarkan arahan tutup mulut. Menjelang PRU-13, berlaku perbalahan besar dalam kalangan kepemimpinan PAS Kedah. Wujud dua kem dalam kerajaan negeri. Mereka diarah tutup mulut, namun kerosakan politik yang serius telah berlaku dan persepsi rakyat tidak boleh diperbaiki lagi. Akibatnya, kerajaan PAS Kedah jatuh pada PRU Mei lalu.


Di DUN Kuala Besut, jika tidak pun kerana calon yang naïf politik dan kurang pengalaman, PAS menghadapi pelbagai kekurangan. Ramai berpendapat calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman lebih mantap dibantu legasi popular Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar yang disenangi rakyat. Masalah dalaman kompleks dan serius yang dihadapi PAS Kuala Besut bukan rahsia lagi, sehingga pengarah pilihan raya terpaksa diambil dari Kelantan.

Ironinya, Datuk Husam Musa sebelum ini dianggap orang bertanggungjawab ‘merosakkan’ hubungan PAS Kelantan dan PAS Terengganu. Beliau sendiri penuh kontroversi kerana melabel pemimpin PAS yang tidak mengikuti perhimpunan Blackout 505 sebagai ‘pengkhianat’ dan jika mati ketika berhimpun dianggap mati syahid. Beliau juga gagal dalam perebutan kawasan Parlimen Putrajaya pada PRU-13 kerana strategi lemah.

Signifikan kempen 16:16

Setakat ini, strategi kempen PAS bagi DUN Kuala Besut kurang jelas, malah mengecewakan penyokongnya sendiri. Isu hubungan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan Menteri Pelajaran II dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh mudah dipatahkan. Hubungan sesama pemimpin PAS pun bukannya elok sangat. Husam sendiri dilabel ‘pengkhianat sebenar’ oleh pemimpin PAS lain. Perbalahan besar dalam kalangan pemimpin PAS Kuala Besut adalah punca kerusi itu dimenangi BN sejak tiga PRU lalu.


Kegiatan kempen oleh kalangan pemimpin dan penceramah PAS juga sedikit sebanyak terbatas kerana Ramadan. Kurang peluang untuk memaki hamun, menabur fitnah dan berjanji kosong dalam ceramah. Pada malam hari, ada yang mahu terus berkempen namun ramai juga yang mahu bertarawih.

Apa pula signifikannya kempen 16:16 untuk DUN Terengganu? Ia tidak lain, hanya kerana mahu peluang berkuasa semula dan membentuk kerajaan negeri semula walaupun hakikatnya, ini belum tentu berlaku. Yang jelas, tidak kedengaran perjuangan untuk melaksana hukum hudud atau membentuk negara Islam atau berkebajikan.

Majoriti rakyat Terengganu masih ingat kelemahan, kezaliman dan kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hadi Awang pada 1999-2004. Pada malam keputusan pilihan raya, Wisma Darul Iman dikepung ribuan penyokong fanatik seperti demonstrasi di Mesir. Bangunan bagai dirampas, semua aset bagai mahu disita, malah kereta EXCO dikejar. Sudah lupakah pengundi Kuala Besut bagaimana balai raya dan kelas tadika KEMAS ditutup dan anak-anak terpaksa belajar di padang berteduh di bawah pokok?

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Richard Rasah Tan berkata...

Salam, blog tuan amat menarik dan mempunyai infomasi yang terkini, jesteru itu sama-samalah kita memberi sokongan sesama kita, harap pihak tuan dapat menambah pautan portal http://n9kini.net ke bloglist pihak tuan... Sekian, terima kasih.