Ahad, Julai 21, 2013

#PRK Kuala Besut : Pas sebenarnya tidak ghairah nak berkuasa?



Semalam Pas mula menggempur Kuala Besut dengan beberapa siri ceramah serentak ketika Barisan Nasional (BN) sebaliknya pula meningkatkan program usrah dan ziarah.

Dan malam di sekitar pekan nelayan dan pelancongan ini sudah mulai sesak dengan penonton politik yang datang dari serata ceruk mencari keseronokan - mula memberi gambaran sebenar tentang lazimnya kemeriahan suasana kempen terutama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), apatah lagi ia dilihat amat penting bagi kedua-dua parti bersaing.

Semalam juga, dendangan yang dimainkan oleh Pas juga sudah bertukar rentak; rentak baru yang mula diletakkan asas oleh Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Husam Musa tanpa diiringi sebarang fatwa baru yang menyusahkannya sebagaimana baru-baru ini.

Beliau yang mula disorot sebagai bakal memikul jawatan presiden bagi memberi nafas baru kepada masa depan parti itu kelak, seimbas lalu bagaikan turut memperjudikan nasibnya d Kuala Besut yang menjadi kubu kuat BN.


Kemenangan dan kekalahan kontraktor dan pemilik setor kayu, Endot@Azlan Yusof yang dikatakan banyak sumbangan kepada tabung parti itu nanti mungkin turut menentukan momentum perjalanan politiknya setelah pengaruhnya di Kelantan semakin dikikis dan kelihatan makin jauh dari beranda kuasa.

Bagi Husam, PRK kali ini cukup sukar untuk dimenangi semula setelah kali terakhir menguasai dalam Pilihan Raya Umum 1999 biarpun penantian itu dipercepatkan dengan kematian penyandangnya Allayarham Dr. A. Rahman, anak nelayan Pulau Perhentian yang ternyata cukup lurus memikul tanggungjawab politik.

Kesempatan yang terbuka bagi Pas kali ini cukup luas kerana bukan sekadar menambah kerusi tetapi juga peluang untuk kembali menguasai negeri tanpa perlu menunggu lima tahun lagi, atau sekurang-kurangnya terus mengelorakan politik Terengganu.

Namun dengan sambutan bersahaja penduduk setempat terhadap kempen yang bermula pada 12 Julai lalu, ini memberi gambaran yang agak mendesak.

Lalu apakah langkah yang terbaik bagi menyakinkan pengundi Kuala Besut yang kebanyakanya nelayan agar tidak terus menjadi ikan `dukang' yang memakan apa sahaja bersama kail yang dilontarkan oleh Barisan Nasional sebagaimana yang diingatkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Husam mengatur strategi dengan rentak memujuk mereka agar mengalihkan sokongan kepada Pas kali ini kerana kemenangan tidak akan berubah apa-apa dengan kesediaan parti itu untuk terus memberi peluang kepada Barisan Nasional (B) kekal memerintah walaupun kedudukan kerusi yang seimbang.

Dilihat seakan memain pendekatan psikologi `lunak' bagi menguasai kawasan kubu kuat UMNO itu dengan memberi gambaran bahawa parti itu tidak begitu ghairah untuk merebut kuasa kerana sekadar mahu menang.

Menurut Husam yang juga Naib Presiden Pas, jika kemenangan dicapai, itu bermakna kerusi DUN akan terikat 16-16, dan Pas mengambil pendekatan populis, kononnya akan terus membiarkan BN terus menerajui kerajaan negeri selepas ini.

"Kerajaan Terengganu (pimpinan BN) masih boleh kekal lagi pada masa itu. Kecualilah kalau dia (BN) pilih cara lain (untuk berkuasa).

"Kami mempunyai peranan yang konstruktif untuk mencadangkan pengurusan pentadbiran negeri yang berorientasikan ke arah kebaikan rakyat,'' katanya.

Ini meredakan kelantangan nada keghairahan para penceramah tentang merebut kuasa dan ternyata idea itu disahut oleh Abdul Hadi yang dalam ceramahnya semalam dengan berkata Pas hanya ingin memastikan hanya apa yang dianggap baik untuk rakyat dilakukan oleh kerjaan BN jika kedudukan kerusi dalam DUN seimbang kelak.


Pada PRK ini, Pas meletakkan matlamat untuk mewujudkan situasi 'DUN tergantung' dan pendekatan populis digerakkan untuk menarik perhatian pengundi agar tidak lokek untuk memberi kemenangan kepada Pas agar jumlah kerusi seimbang.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi yang menyaksikan BN menguasai 17 Kerusi manakala pakatan pembangkang memiliki 15 kerusi (Pas 14, PKR satu) selepas PRU-13 lalu.

Situasi sebegini mungkin menyeronokkan pembangkang untuk mereka berpolitik sepanjang masa tetapi pastinya memberi kesan kepada rakyat apabila sebuah `kerajaan tergantung' dan keadaan yang tidak menentu.

Tentunya gerak kerja kebajikan untuk rakyat yang begitu hebat selama ini boleh direncatkan begitu sahaja apabila segla kebaikan yang disalur dan dihulur sekadar cuba digambarkan dengan gula-gula rasuah atau umpan kail.

Menurut Husam, parti itu sudah bersedia untuk melalui suasana politik baru nanti dengan pelan komprehensif jangka panjang meliputi aspek ekonomi dan pembangunan sosial di Terengganu semasa.


Namun apakah pelan yang serupa digerakkan oleh Husam yang mempunyai cengkaman pengaruh kuat sepanjang era pemerintahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan, sekurang-orang tentang nasib nelayan dan orang Kuala Besut pastinya lebih tahu membezakan.

Ketika Pas memilih Husam bersama jentera parti itu dari Kelantan untuk memacu gerak kempen, orang Besut dengan nilai dan norma yang sedikit berbeza, selama ini memperlihatkan mereka tidak terpengaruh dengan perkembangan politik di negeri jiran itu. Mereka bukan jenis ikut-ikutan kerana telah memberi kemenangan kepada BN bagi semua kerusi.

Seorang ibu yang menguruskan kedai makan di pinggir jalan di kampung Nail yang menjadi markas Pas mempunyai ulasan menarik selepas mendengar ceramah Abdul Hadi di pentas malam tadi.


"Apa salahnya kalau kita orang miskin terima bantuan, terima kemudahan dari kerajaan. Kerajaan yang baik macam itu kita sokonglah.

"Kita pilih kerajaan bukan untuk pilih syurga neraka. Rasanya ikan cerdik tak makan umpan ceramah sahaja,'' katanya bersahaja.

Husam yang cuba menggerakkan pembinaan lebuhraya di Kelantan dengan duit tabungan melalui sumbangan derma mungkin mahu menyambung impiannya ke Kuala Besut. Mungkin ada yang ingin bertanya sudah beberapa meter panjangnya kini?

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: