Isnin, Julai 15, 2013

Isu Air : MB Khalid ketepi fakta sebenar - Syabas?


Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) telah menggunakan keseluruhan RM784 juta yang diperuntukan kepadanya oleh kerajaan negeri Selangor bagi mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) dengan menjalankan pelbagai kerja untuk tujuan itu.

Sehubungan itu, Syabas menafikan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor seperti yang dilaporkan beberapa akhbar pada 5 Julai lalu.

Abdul Khalid juga dilaporkan berkata baki peruntukan itu telah digunakan oleh Syabas untuk membeli kenderaan dan membaiki pejabat.

"Syabas ingin menjelaskan bahawa kenyataan Menteri Besar bahawa hanya 32 peratus daripada jumlah tersebut telah digunakan untuk projek pengurangan NRW adalah tidak benar sama sekali.

"Keseluruhan kos yang telah diluluskan tersebut telah digunakan untuk membiayai projek-projek untuk mengurangkan NRW," jelas Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred dalam kenyataan akhbar hari ini.


Katanya, Syabas telah membelanjakan keseluruhan peruntukan itu untuk menggantikan paip-paip lama, dan meter-meter lama atau rosak.

Selain itu, katanya, peruntukan itu juga digunakan untuk projek-projek penggantian paip komunikasi yang bocor, projek-projek pembinaan zon kawalan pemeteran (DMZ), projek kawalan limpahan di kolam-kolam air, projek pembinaan sistem SCADA, dan projek kawalan tekanan.

Menurut Priscilla, jumlah RM784 juta itu juga merupakan perancangan asal yang dinyatakan di dalam perjanjian konsesi Syabas bagi projek-projek pengurangan NRW bagi tempoh 2005 hingga 2011.

Jelas Priscilla, kesemua kelulusan perbelanjaan modal (CAPEX) adalah diluluskan oleh Lembaga Syabas di mana kerajaan negeri Selangor mempunyai wakilnya.


"Setelah itu program kerja CAPEX melalui saringan yang ketat yang diketuai oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negara (SPAN).

"Syabas hanya boleh membelanjakan perbelanjaan CAPEX setelah kelulusan diterima daripada SPAN, dan pelaksanaan bagi semua projek diawasi ketat oleh SPAN," ujarnya.

Menurutnya, sejak konsesi dimulakan iaitu pada Januari 2005 hingga 30 April 2013, Syabas telah membuat pelaburan melebihi RM2.58 bilion bagi melaksanakan pelbagai program CAPEX untuk membaik pulih dan menaik taraf sistem agihan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Ia semata-mata demi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.

"Untuk maklumat, kerajaan Selangor tidak pernah memberi sebarang peruntukan kewangan kepada Syabas bagi melaksanakan program CAPEX sejak konsesi ini dilaksanakan," katanya.

Suara Politik
Belantan

2 ulasan:

Megat Mohd Hisemudin Megat Kasim berkata...

Memang kerajaan negeri Selangor telah memesongkan fakta dan bercahnggah dengan Syabas. Bukan itu sahaja kerajaan negeri Selangor lebih mementingkan politik dan undi rakyat daripada menyediakan keperluan air bagi penduduk Selangor, KL dan Putrajaya.

Untuk mengetahui bagaimana air bersih samapai ke rumah kita, sila baca kupasan saya dari sudut ilmu hidrologi dan kejuruteraan awam dalam, "Memahami sistem perbekalan air di lembah kelang dan Projek Langat 2serta isu-isu berkaitan".

http://hisemudinkasim.blogspot.com/2013/05/memahami-sistem-perbekalan-air-di.html

Taminsari berkata...

Saudara Megat!

Terima kasih diatas info yang berguna dan lengkap dengan fakta ini.