Ahad, Mac 10, 2013

Jamalul Kiram diperalatkan pihak tertentu ceroboh Sabah?



Apakah ada dalang di sebalik pencerobohan kumpulan bersenjata oleh pengikut Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu di Lahad Datu, Sabah, sejak 11 Februari lalu?

Atau Jamalul Kiram itu diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu di Filipina atau dari Malaysia untuk kepentingan pihak terbabit, tanpa beliau sedari dia diperalatkan.

Bukti-bukti ada dalang dan Jamalul Kiram diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu adalah berdasarkan beberapa fakta yang didedahkan oleh beberapa pihak di Filipina sendiri termasuk pihak media, pihak risikan di negara itu dan juga kerajaan Filipina sendiri.




Pertamanya, setelah begitu lama isu tuntutan Sabah oleh Kesultanan Sulu hampir 'tutup buku' selama beberapa dekad, tetapi mengapa tiba-tiba sahaja isu tuntutan ke atas Sabah oleh Kesultanan Sulu timbul semula.

Kedua, lebih mencurigakan lagi apabila isu tuntutan Sabah oleh Kesultanan Sulu timbul ketika Malaysia bakal mengadakan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), pilihan raya paling getir pernah diadakan di negara ini.

Ketiga ia berlaku tidak lama selepas kerajaan Filipina menandatangani perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang diketuai Murad Ebrahim di Manila, pada Oktober lalu.



Kejayaan MILF menandatangani perjanjian damai itu, sekali gus membatalkan perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang diketuai Nur Misuari pada 1986, yang menyaksikan pengaruh Misuari dalam kalangan masyarakat Bangsamoro terhakis.

Di dalam negara pula, pembangkang mendakwa pencerobohan itu adalah sandiwara UMNO untuk divert banyak isu dalaman yang dicetuskan oleh pihak pembangkang.

Namun, semua tuduhan pembangkang itu tidak berasas sama sekali, apabila sandiwara pembangkang sendiri terdedah, setelah beberapa akhbar Filipina termasuk The Inquirer dan agensi berita asing, Reuters melaporkan pertemuan antara pemimpin pembangkang dari Malaysia dengan pemimpin MNLF, Nur Misuari.

Malahan Reuters turut menyiarkan gambar pertemuan antara pemimpin pembangkang dari Malaysia dengan Misuari itu, tanpa menyatakan bilakah gambar tersebut diambil.



Seperkara yang menjadi kemusykilan ialah siapakah Jamalul Kiram ini dan bagaimana beliau mampu membiayai sebuah pasukan bersenjata yang lengkap dan canggih, yang memerlukan perbelanjaan yang besar.

Persoalan itu terjawab apabila kenyataan Presiden Filipina Benigno Aquino III, semalam membuktikan ada dalang di sebalik pencerobohan kumpulan pengganas diketuai Jamalul Kiram di Sabah dan beliau menyatakan terdapat pihak yang membantu menyediakan sumber dana bagi membolehkan kumpulan pengganas itu menceroboh Sabah.

Malaya-Business Insight, kelmarin melaporkan keluarga Jamalul Kiram tidak mampu bertindak sejauh itu memandangkan kedudukan kewangan mereka. Malahan Jamalul Kiram sendiri tidak mampu membayar kos rawatan penyakit buah pinggangnya.

Malahan menurut Aquino, rawatan perubatan Jamalul Kiram dibantu oleh Pejabat Kebajikan Filipina untuk membayar kos dialisis. Jamalul Kiram sendiri tidak mampu mempunyai pengawal keselamatan peribadi bagi mengawal keselamatannya.



Konflik ini amat berbahaya jika tidak ditangani dengan betul kerana ia boleh melarat sehingga mencetuskan perang di rantau ini.

Jika perang meletus di rantau ini, yang rugi ialah penduduk Islam di rantau ini, terutama Bangsamoro yang baru mahu mengecapi keamanan hasil daripada perjanjian damai yang ditandatangani dengan kerajaan Filipina pada Oktober lalu dan juga Malaysia yang bakal hilang keamanan dan kemajuan yang telah dibina selama ini.

Kini perjuangan kaum Moro di rantau itu, yang sebelum ini diarahkan kepada perjuangan menuntut kemerdekaan di selatan Filipina daripada kerajaan Filipina, kini sudah dipesongkan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan tertentu dan perjuangan yang sempit dan merugikan kaum Tausug serta Bangsamoro dan Islam, yang menyebabkan pertumpahan darah sesama Islam.

Jika Misuari terlibat dalam agenda kotor ini, maka Misuari boleh dianggap sebagai pengkhianat Bangsamoro dan umat Islam di rantau ini, semata-mata kerana mementingkan diri sendiri dan mahu mengejar pengaruh dan kedudukan.



Misuari, sepatutnya menyokong dan memberi kerjasama kepada MILF untuk membangunkan selatan Filipina di bawah perjanjian damai yang telah ditandatangani antara MILF dan kerajaan Filipina.

Dengan cara ini Misuari dapat menebus semula kegagalannya semasa mengetuai Bangsamoro selepas perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada 1986 kerana gagal membangunkan selatan Filipina dan mengabaikan Islam di wilayah itu.

Akibat kegagalannya, MNLF telah berpecah kepada beberapa kumpulan, dengan MILF menjadi kumpulan yang lebih besar dan berpengaruh dan MNLF menjadi kumpulan yang kecil dan berpecah dengan pengaruh Misuari sendiri terus merosot di kalangan masyarakat Moro.



Tindakan Misuari menyokong kumpulan Jamalul Kiram bukan sahaja akan menyebabkan Bangsamoro terus berpecah, sebaliknya menyukarkan usaha MILF untuk membangunkan selatan Filipina.

Walaupun, Misuari menafikan beliau terlibat secara langsung dengan kumpulan yang menceroboh Sabah, namun tindakannya mengadakan pertemuan dengan Jamalul Kiram di Taguig City di selatan Manila kelmarin jelas memberi sokongan moral kepada kumpulan penceroboh itu dan mendorong Jamalul Kiram untuk meneruskan tindakan sia-sianya itu.

Begitu juga, jika ini kerja jahat pihak pembangkang dari negara ini, maka mereka yang terlibat dalam 'percaturan' ini telah mengkhianati bangsa Malaysia dan negara ini.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

paktam berkata...

Persoalan2
1. Kenapa minesweeper US terkandas dekat laut Sulu?
2. Apa tujuan Tian Chua dan rakan pergi ke Filifina baru-baru ini.
3. Kenapa kapal Republik Cina terkandas di laut Sulu baru-baru ini?
4. iFiles mengaitkan Wahhabi dengan Anwar.
5. Dari pencarian dalam internet Wahhabi dikatakan dipelopori oleh Kerajaan British pada tahun 1800an.
6. Kini kristian bercelupar di Malaysia.
7. UN seolah olah memberi amaran kepada Malaysia menerusi kenyataan setia usahanya.
Konspirasi teori.