Isnin, Mac 18, 2013

Buru pengganas Sulu hingga ke lubang cacing!



Operasi pasukan keselamatan negara bagi memburu saki-baki kumpulan pengganas Sulu akan tetap diteruskan meskipun selepas Parlimen dibubarkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kesemua musuh akan diburu sehingga ke 'lubang cacing', selain setiap kawasan terbabit akan dipastikan bersih daripada sebarang jerangkap samar dan sisa bahan pertempuran.

"Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Ops Daulat ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Tiada pertempuran hari ini, namun usaha menjejaki saki-baki kumpulan itu terus dilaksanakan di beberapa buah kawasan yang disyaki menjadi pusat persembunyian," katanya dalam sidang akhbar di sini petang ini.

Yang hadir sama Panglima 1 Divisyen, Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.

Dalam sidang akhbar di sebelah pagi, Hamza berkata, pengganas Sulu yang semakin terdesak dan tertekan setelah ketua mereka, Azzumudie Kiram melarikan diri ke selatan Filipina kini dikesan menukar strategi untuk melepaskan diri dengan memasuki kawasan-kawasan Felda Sahabat.



Beliau berkata, kesemua pengganas itu dianggarkan berjumlah kurang dari 50 orang dan bergerak dalam kumpulan yang kecil.

Hamza turut memberitahu, pasukan keselamatan telah menahan seorang lelaki yang dipercayai pengganas di Felda Sahabat kira-kira pukul 6.30 pagi.

"Saya tidak mahu menyatakan tempat mana dia ditahan tetapi suspek telah kita bawa ke balai polis untuk soal siasat," katanya sambil memberitahu, polis tidak menemukan senjata mahupun dokumen pengenalan diri daripada suspek.

Kata beliau lagi, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau memberitahu, pada masa ini seramai 104 individu disiasat di bawah SOSMA dan 232 lagi lain-lain kesalahan.



"Sehingga kini, pihak keselamatan telah berjaya membersihkan kawasan Kampung Tanduo dan Kampung Sungai Nyamuk. Kami kini memberi tumpuan di Kampung Tanjung Batu, selewat-lewatnya esok, akan dapat dibersihkan.

"Selain menjejaki musuh kita juga sedang berusaha mengeluarkan mayat pengganas yang dianggar berjumlah 10 orang," katanya.

Sementara itu, Mohd. Zaki berkata, pada masa ini pihak tentera sedang menggeledah Kampung Tanjung Batu termasuk kawasan hutan tebal, ladang kelapa sawit dan rumah-rumah yang ditinggalkan.

Ujarnya, setakat ini tiada pertempuran dilaporkan berlaku dan pihaknya berharap operasi pembersihan akan dapat diselesaikan dengan segera.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: