Khamis, Mac 28, 2013

Perlukah kita membayar $5,000?



Apabila tercetusnya pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu pada 9 Februari 2013 (Tragedi 923), timbul semula persoalan tuntutan Filipina ke atas Sabah. Sebenarnya, isu ini dibangkitkan sejak awal 1960-an. Beberapa ulasan popular telah disiarkan menerusi media arus perdana mengenainya, namun isu tentang sejarah ini tidaklah begitu mudah dirungkai.

Dari sudut sejarah, hubungan antara Kesultanan Sulu dengan Sabah (sejak abad ke-17 sehingga abad ke-20) sangat rencam lantaran membabitkan rangkaian rumit hubungan antara Sulu-Sabah dengan Brunei, Mindanao, Sepanyol, Belanda, Amerika dan British. Kerumitan ini melibatkan begitu banyak perjanjian dan protokol (antaranya):

* Perjanjian 1646 (Sepanyol-Sulu)

* Perjanjian 1667 (Sepanyol-British)

* Perjanjian 1725 (Sepanyol-Sulu)

* Perjanjian 1737 (Sepanyol-Sulu)

* Perjanjian 1761 (British-Sulu)

* Perjanjian 1763 (British-Sepanyol)

* Perjanjian 1763 (British-Sepanyol)

* Perjanjian 1814 (British-Belanda)

* Perjanjian 1824 (British-Belanda)

* Perjanjian 1836-1837 (Sepanyol-Sulu)

* Perjanjian 1847 (British-Brunei)

* Perjanjian 1849 (British-Sulu)

* Perjanjian 1850 (Amerika Syarikat-Brunei)

* Perjanjian 1851 (Sepanyol-Sulu)

* Perjanjian 1871 (British-Belanda)

* Perjanjian 1871 (Sepanyol-Sulu)

* Perjanjian 1899 (Amerika Syarikat-Sulu)

* Perjanjian 1915 (Amerika Syarikat-Sulu)

* Protokol 1877

* Protokol 1885.

Persoalannya, jika Filipina membawa tuntutan ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), apakah Malaysia mempunyai peluang menang (jika Malaysia setuju untuk mendepani cabaran Filipina)? Filipina mempunyai beberapa sebab yang menunjangi tuntutannya.



Pertama, walaupun Filipina tidak lagi mengiktiraf kewujudan Kesultanan Sulu, namun kedaulatan Kesultanan Sulu telah dipindahkan kepada kerajaan Filipina kerana Kepulauan Sulu merupakan sebahagian daripada negara Filipina. Oleh itu, kerajaan Filipina berhak menuntut Sabah.

Kedua, sehingga kini Filipina (dan waris Sultan Sulu) percaya Sultan Sulu (Sultan Jamalul Azam) hanya memajak Sabah - tanpa menyerahkan hak kedaulatan Sultan Sulu - kepada Baron Overbeck (warga Austria) dan Alfred Dent (warga British), berdasarkan terjemahan versi Amerika Syarikat terhadap teks Perjanjian 1877.

Di sebaliknya pula, Malaysia berpendapat Sultan Sulu telah menjual Sabah - dengan menyerahkan hak kedaulatan Sultan Sulu - kepada Overbeck dan Dent, berdasarkan teks terjemahan versi British.

Perlu dinyatakan di sini, Filipina percaya meskipun Sultan Jamalul Azam (Sultan Sulu) menganugerahkan gelaran Datu Bendahara dan Raja Sandakan kepada Overbeck (Perjanjian 1878), namun status Overbeck hanyalah sebagai datu sahaja. Hak kedaulatan masih tetap dipegang oleh Sultan Sulu.

Namun, Malaysia menegaskan ini merupakan dalih licik Filipina semata-mata kerana Sultan Jamalul Azam telah mengiktiraf Overbeck sebagai 'pemerintah agung dan merdeka'. Ini membuktikan Sultan Jamalul Azam telah menyerahkan hak kedaulatannya kepada Overbeck lantas berakhirlah hak kedaulatan Sultan Sulu terhadap wilayahnya di Sabah.

Ketiga, Filipina berpendapat wilayah Sultan Sulu di Sabah tidak termasuk dalam Protokol 1885. Menerusi protokol ini, Sultan Sulu dikatakan hanya menyerahkan hak kedaulatannya kepada Sepanyol membabitkan Kepulauan Sulu sahaja. Ini bermakna, Filipina tetap dan masih berhak ke atas Sabah.

Persoalan ini sukar diselesaikan kerana teks asal Perjanjian 1878 (dalam bahasa Melayu) masih tidak ditemui, malah hal ini turut diakui oleh Filipina sejak awal 1960-an lagi. Jika isu ini dibawa ke ICJ, teks terjemahan yang manakah akan diperakui oleh pihak mahkamah, dan atas justifikasi apa? Jika pihak mahkamah memperakui teks terjemahan versi Amerika, apakah Malaysia masih berpeluang untuk memenangi kes ini?



Malaysia tetap mempunyai peluang yang lebih besar untuk menang kes ini.

Pertama, ketika Suruhanjaya Cobbold membuat pungutan suara di Sabah, majoriti penduduk Sabah menyokong pembentukan Malaysia sekali gus menolak untuk bergabung dengan Filipina atau kembali ke pangkuan Sultan Sulu.

Kedua, pihak kerajaan Filipina sendiri (menerusi ucapan Presiden Macapagal bertarikh 28 Januari 1963) telah memberikan hak mutlak kepada penduduk Sabah untuk menentukan masa depan Sabah sama ada mahu menyokong Filipina atau menyokong pembentukan Malaysia. Penduduk Sabah telah membuat keputusan muktamad. Filipina harus menghormati keputusan ini. Perlu ditegaskan, tidak ada raja tanpa rakyat. Oleh itu, tuntutan Filipina (dan pihak Sultan Sulu khasnya) bernoktah di sini.

Ketiga, tuntutan Filipina (dan waris Sultan Sulu) amat aneh. Wilayah Sultan Sulu di Sabah hanyalah meliputi kawasan pesisiran pantai utara dan timur Sabah sahaja (sempadannya masih tidak jelas sehingga hari ini), bukannya meliputi seluruh Sabah. Nyatalah tuntutan Filipina (dan waris Sultan Sulu) tidak berasas bahkan melampaui batas pula. Wilayah pantai barat Sabah dikuasai Kesultanan Brunei, manakala kawasan pedalaman Sabah bersifat autonomi (tidak dikuasai Brunei dan Sulu).

Terlebih penting lagi, Malaysia tidak berkewajipan untuk membayar pampasan tahunan kepada waris Sultan Sulu. Urusan pembayaran pampasan tahunan (tanpa had masa) kepada waris Sultan Sulu ($5,000 setiap tahun berdasarkan Perjanjian 1878) merupakan urusan antara Overbeck-Dent (Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British) dengan waris Sultan Sulu sahaja.

Hakikatnya, setelah majoriti penduduk Sabah menyokong gagasan Malaysia, dan apabila PBB mengiktiraf Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat, pembayaran pampasan tahunan bukanlah menjadi tanggungjawab Malaysia.

Jika Malaysia terus membayar pampasan tahunan kepada waris Sultan Sulu, seolah-olah Malaysia mengiktiraf kewujudan Kesultanan Sulu dan tunduk kepadanya, walhal Kesultanan Sulu itu sendiri tidak lagi diiktiraf oleh kerajaan Filipina. Negara yang merdeka dan berdaulat tidak harus tunduk kepada mana-mana kerajaan, lebih-lebih lagi kerajaan yang tidak lagi wujud di dunia!

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: