Rabu, Mac 06, 2013

Ibarat membaling batu, sembunyi tangan? Misuari sedia berunding dengan kerajaan Malaysia!



Bolehkah kita mempercayai kata-katanya! Pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari, hari ini menafikan beliau mengarah penghantaran tentera MNLF untuk membantu pengikut Sultan Jamalul Kiram III, yang mendakwa Sultan Sulu yang menceroboh Sabah.

"Saya membaca laporan akhbar menyatakan elemen MNLF secara aktif terlibat membantu pencerobohan di Sabah itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Jamalul Kiram, di Taguig City, selatan Manila, hari ini.

Saya tidak tahu menahu tentang (pencerobohan) itu. Tidak ada sesiapa memohon kebenaran saya untuk (MNLF) terlibat dalam pencerobohan itu," tambah beliau.

Misuari berkata, bagaimanapun, mungkin ada beberapa orang anggota MNLF yang menyertai kumpulan Kiram menceroboh Sabah atas kerelaan mereka sendiri. Misuari juga berkata, beliau bersedia membantu menyelesaikan krisis itu, dengan menyatakan cucu saudaranya ada kaitan kekeluargaan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Bolehkah kita mempercayai kata-kata mereka apabila taktik tipu dan perdaya yang digunakan oleh kumpulan penceroboh dengan menaikkan bendera putih untuk menyerah diri semasa berunding telah menyebabkan 2 anggota komando polis terbunuh kerana diserang hendap di Lahat Datu! Merekalah yang sebenarnya memulakan serangan terhadap anggota keselamatan negara!



Dalam pada itu, Misuari semasa membuat penafian, 10,000 kaum Tausug didakwa menuju Sabah?

Beribu-ribu rakyat Filipina berketurunan Tausug dari pulau Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi didakwa sedang belayar menuju ke Sabah bagi membantu pengganas Sulu, yang menceroboh Sabah.

Akhbar Filipina, Inquirer melaporkan Pengerusi Majlis Pemerintahan Islam Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Habib Hashim Mudjahab berkata, pihaknya tidak boleh lagi menghalang rakyatnya daripada mengambil tindakan.

"Kami bersedih dan kebanyakan rakyat kami walaupun bukan askar, sedang menuju ke Sabah bagi membantu pengikut Kesultanan Sulu," katanya.

Menurut beliau, kira-kira 10,000 kaum Sulu dari Basilan, Sulu, Tawi-Tawi dan Zamboanga sedang belayar menuju ke Sabah sejak malam tadi bagi membantu pengikut Sultan Jamalul Kiram III di Lahad Datu, Sabah.



Sementara itu, seperti yang dipetik dalam laman web Astro Awani, Gabenor Wilayah Pentadbiran Autonomi Islam Mindanao (ARMM), Mujiv Hataman menafikan dakwaan MNLF bahawa ribuan etnik Tausug sedang menuju ke Sabah.

Mujiv berkata, kenyataan MNLF pimpinan Nur Misuari itu disifatkan sebagai strategi untuk menakut-nakutkan rakyat Sabah.

"Itu tidak benar. Tiada sesiapa pun dari selatan Mindanao sedang bergerak ke Sabah," jelas Mujiv dalam satu kiriman mesej terbaharu kepada Astro Awani.

Menurut Mujiv, ARMM akan meneruskan usaha memujuk kumpulan penceroboh itu supaya berundur dan mengingatkan mereka mempertahankan persaudaraan atas nama Islam.

"Semua orang Islam bersaudara. Saya sekali lagi menggesa mereka (penceroboh) menamatkan pencerobohan di sana," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: