Ahad, Mac 06, 2011

Menteri Besar biadap : Desak Khalid minta maaf kepada Sultan Selangor?





















“Kurang ajar, biadab dan menjatuhkan imej raja-raja Melayu.” Demikian tegas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap tindakan mendahului bidang kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pengumuman pelantikan Canselor Universiti Selangor (Unisel) sebelum ini adalah perkara yang biasa.

Menurut Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar, kenyataan Abdul Khalid itu jelas menampakkan diri Menteri Besar itu seperti tidak berbudaya Melayu.

Beliau yang pernah memegang jawatan Naib Canselor pertama universiti itu (dahulunya Universiti Industri Selangor) berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal terhadap Abdul Khalid yang cukup kurang sopan dan tidak menghormati institusi raja-raja Melayu.

“Sebagai bekas Naib Canselor pertama Unisel, saya faham perlembagaan universiti itu dan saya kecewa serta duka cita atas sikap Abdul Khalid. Bagaimana beliau boleh menyamakan tindakan itu sebagai perkara yang biasa?

“Ia membawa pengertian bahawa Sultan Selangor itu sama taraf dengan orang biasa. Inilah kenyataan seperti budak darjah satu yang tidak tahu mengenang budi.

“Sungguh tidak sopan. Abdul Khalid kena ingat, Sultan Selangor ialah pemerintah utama negeri. Oleh itu, jangan mendahului bidang kuasa baginda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan kenyataan Abdul Khalid yang menganggap tindakan mendahului bidang kuasa Sultan Selangor berhubung pelantikan Canselor Unisel sebagai perkara yang biasa.

Jelas Abdul Khalid, tindakan mengumumkan pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel sebelum majlis penyerahan watikah pelantikan disempurnakan oleh Sultan Selangor merupakan satu bentuk ketelusan yang diamalkan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, pihaknya mendesak Abdul Khalid meminta maaf kepada Sultan Selangor atas kenyataan yang cukup tidak berbudi bahasa itu.

“Abdul Khalid bukanlah pemimpin yang berkaliber. Beginikah yang hendak dijadikan contoh untuk diikuti generasi muda?

“Tidak perlulah kita hormat orang sebegini. Beliau telah merosakkan nilai-nilai murni Melayu dan Islam serta menjatuhkan imej sultan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali turut senada dengan Kamaruddin dengan menyifatkan kenyataan Abdul Khalid sebagai kurang ajar serta tidak menghormati raja-raja Melayu.

“Di negara ini, kita mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Meski rakyat ada kuasa memilih kerajaan, perlu diingatkan bawah raja-raja Melayu juga ada kuasa.

“Jika Abdul Khalid mendahului kuasa sultan, ini satu tindakan tidak menghormati kuasa baginda. Saya percaya beliau dipengaruhi unsur-unsur luar untuk mengetepikan kuasa raja-raja Melayu,” katanya.

Mengulas isu sama, Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah memberitahu, apa yang cuba dilakukan oleh Abdul Khalid dipercayai sebagai satu bentuk balas dendam terhadap Sultan Selangor.

“Kerajaan PKR Selangor sedang berusaha menghakis kuasa raja-raja Melayu. Abdul Khalid sendiri sengaja mengheret baginda ke dalam politik dan berniat jahat untuk memecah-belahkan orang melayu.

“JMM yakin dengan perbuatan begini, sudah pasti ada agenda terancang untuk menghapuskan kuasa raja-raja Melayu. Kemungkinan juga Abdul Khalid dan pentadbiran negeri diperalat oleh pihak yang anti kepada Melayu dan Islam,” tambahnya.

Sementara itu hari ini : Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita), Faridah A. Jabbar yang menganggap tindakan biadab itu sebagai sebahagian daripada budaya politik pembangkang untuk menafikan kewujudan institusi beraja di negara ini.

"Salah atau betul, biadab atau tidak, bukan satu dosa bagi mereka. Ia jelas bercanggah dengan kenyataan pihak pembangkang sebelum ini kononnya mereka tetap menghormati dan akan terus mempertahankan institusi beraja," katanya di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 1 Mac lalu menitahkan semua pihak agar mematuhi peruntukan Perlembagaan Unisel yang menetapkan pemilihan dan pelantikan Canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.

Titah baginda, Perlembagaan Unisel dengan nyata menjelaskan bahawa Canselor universiti itu ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda.

Buat Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) , Dr. Hassan Mad pula tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang luar biasa kerana bukan kali pertama pembangkang bertindak membelakangkan institusi beraja negara.

"Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor serta keberangkatan Permaisuri Agong yang tidak dipedulikan pada Festival Lagu-Lagu Islamik Antarabangsa pada 4 Julai tahun lalu menunjukkan seolah-olah tindakan seperti ini sudah menjadi perkara biasa.

"Sebagai ahli politik, Abdul Khalid sanggup memutarbelitkan apa sahaja bagi menampakkan tindakannya tetap betul dari segi undang-undang. Mungkin hanya tindakan tegas diambil pihak istana mampu menghentikan mereka daripada berbuat demikian," ujarnya.

Bagi Presiden Majlis Usahawan Malaysia (MUM), Datuk Suhaimi Yacob, tidak kira siapa pun yang diberi mandat mentadbir negeri, setiap keputusan yang dibuat haruslah dirujuk kepada sultan bagi mendapatkan perkenan kerana perkara itu memang sudah diamalkan sejak sekian lama.

"Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila perkara seperti ini terjadi. Kerajaan Selangor tampaknya sering menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat apabila membelakangkan sultan yang menjadi tonggak pemerintahan negeri,'' katanya.

Yang nampak ketara adalah MB Khalid sebenarnya sanggup bersikap biadap dan kurang ajar terhadap Sultan Selangor semata-mata mahukan KUASA MUTLAK Sultan Selangor!!! Ini dapat dilihat dengan apa yang sudah dilakukan beliau terhadap Sultan Selangor sebelum ini. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: