Selasa, Mac 29, 2011

Di mana ketelusan PAS?

Kita tidak harus melupakan bahawa dalam kamus politik PAS, ada dua tindakan mereka yang cukup sinonim dengan parti itu, pertamanya solat hajat dan kedua menggesa ditubuhkan suruhanjaya diraja apabila ada isu.

Tetapi sejak kebelakangan ini, PAS tidak lagi bersikap demikian termasuklah dalam isu terbaru berhubung rakaman video seks yang melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

PAS bukan sahaja awal-awal lagi menganggap ia konspirasi politik malah menolak cadangan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes itu. Malahan PAS juga tidak kedengaran untuk mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah berikutan isu terbaru yang timbul.

Ia berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1998, apabila PAS beria-ia menganjurkan solat hajat di pusat tarbiyahnya di Taman Melewar dan mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan.

Entah mengapa kali ini, PAS tidak lagi bersikap telus, sebaliknya tindakan PAS dilihat lebih banyak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Sebab itulah pemimpin PAS boleh mengeluarkan kenyataan bahawa penubuhan suruhanjaya diraja hanyalah mengarut selagi situasi sebenar tidak diketahui.

Apa yang anehnya, PAS sendiri sebelum ini begitu beria-ia benar bersetuju mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock kononnya atas alasan mencari kebenaran.

Namun kenapa dalam isu terbaru ini desakan penubuhan suruhanjaya tersebut dianggap 'mengarut'? Sedangkan kita masih ingat suatu ketika dulu apabila timbul isu, PAS bukan sahaja membuat desakan melalui kenyataan akhbar atau di dalam Dewan Rakyat malah mengadakan siri ceramah.

Namun kini segalanya sudah berubah. Ternyata ikatan setiakawan yang diwujudkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP seolah-olah 'mengunci langkah' PAS untuk menyatakan kebenaran.

PAS tidak mahu membuat tindakan yang dilihat akan menjejaskan hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan yang sudah 'membuaikan' PAS dengan impian ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

PAS tidak mahu peluang politik tersebut terjejas jika apa yang didakwa melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang menjadi kenyataan.

Justeru pemimpin-pemimpin PAS di peringkat pusat 'bersilat lidah' bagi menafikan sebarang usaha yang memungkinkan kebenaran boleh dicapai tetapi dilihat tidak akan menyebelahi mereka.

Semua ini sebenarnya merugikan politik PAS itu sendiri. Sudah pasti ramai yang akan melihat PAS bukan lagi memperjuangkan sesuatu perkara berlandaskan kepada kebenaran tetapi lebih kepada keuntungan politik.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sepatutnya PAS bertegas dalam soal melibatkan moral mana-mana pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Ramai tertanya-tanya bagaimana jika video seks itu dikaitkan dengan pemimpin kerajaan atau tepat lagi Barisan Nasional (BN), apakah PAS akan mendiamkan diri dan membantah sebarang usaha menubuhkan suruhanjaya diraja?

Sudah pastilah PAS tidak akan membantah sebaliknya akan berterusan bersama-sama dengan PKR dan DAP melakukan desakan kerana percaya ia akan menguntungkan politik pembangkang.

Ia sudah dibuktikan dalam beberapa kes sebelum ini termasuklah berhujah, Islam membenarkan kita mendedahkan peribadi seseorang demi mencari pemimpin yang baik tetapi apabila tercetus isu video seks terbaru ini, PAS seolah-olah menghapuskan sikap telusnya. Soal mencari kebenaran tidak diperkatakan sebaliknya di kalangan mereka menganggap ia taktik politik yang cukup menjijikkan.

Kita tidak faham kenapakah apabila timbul sahaja perkara berkaitan dengan pembangkang ia dianggap konspirasi, fitnah dan berniat jahat, sedangkan kalau sesuatu isu itu melibatkan kerajaan maka pembangkang akan menerimanya sebagai satu fakta biarpun ada antaranya hanyalah fitnah.

Berikutan sikap PAS yang dilihat semakin menenggelamkan sikap telusnya sebagai sebuah parti Islam itulah yang menyebabkan ada desakan supaya PAS menyatakan pendirian secara terus-terang dalam isu terbaru ini.

Mereka tidak mahu PAS yang melaungkan slogan-slogan Islam seolah-olah tidak mahu mencari sebuah kebenaran tidak kira sama ada ia memihak kepada politik pembangkang atau tidak.

Sebenarnya, berdasarkan kepada maklumat yang diterima di peringkat akar umbi PAS, mereka semakin tawar untuk menyokong langkah parti itu terus bekerjasama dengan PKR. Ia disebabkan dengan pelbagai kemelut yang berlaku melibatkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan ia turut menjejaskan imej PAS.

PAS masih belum mahu melihat bagaimana tindakan mereka terlalu bersekongkol dengan PKR dan DAP telah memungkinkan parti itu tewas dalam empat pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini.

Dan kini PAS akan menerima padahnya lagi jika mereka terus tidak konsisten dalam isu-isu berkaitan menegakkan kebenaran.

Kalau benar PAS jujur, sudah pastilah parti itu tidak akan awal-awal lagi menganggap apa yang terjadi konspirasi sebaliknya akan berusaha menggesa supaya segala langkah dilakukan bagi membuktikan apa yang berlaku satu konspirasi atau kebenaran.

Pada masa ini, PAS mengambil jalan selamat dengan meminta polis menjalankan siasatan terperinci tetapi soalnya jika siasatan polis tidak menyebelahi pembangkang adakah PAS akan menerima keputusan berkenaan. Adakah ketika ini PAS akan menyebelahi PKR atau bersetuju dengan siasatan polis biarpun mereka tahu ia tidak akan menguntungkan pembangkang?

Justeru adalah wajar jika PAS berhenti daripada terus berdolak-dalih dalam isu terbaru ini. Keadilan dan kebenaran bukan hanya berhak dikuasai oleh pembangkang sahaja tetapi juga pihak-pihak lain di luar lingkungan parti itu.

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara politik
Taminsari

2 ulasan:

Unknown berkata...

SALAM BRO PARTI ISLE PAIH NI APA HERAN PASAL TELUS DIA YANG PENTING TEMBUS TAK KIRA TEMBUS DEPAN DAN BELAKANG.

matpanah berkata...

Tobat lahum PAS takkan berani angkat kepala dlm hal-hal yg boleh menjejaskan PKR/DAP. Depa takut nak mampuih dengan puak tu. Kebenaran/keadilan bg PAS hanyalah dlm perkara yg bersangkut dgn UMNO/BN saja. Kalau kena PKR/DAP kena tipu tujuh keturunan pun depa sanggup.
Tu pasai la ni PAS dah mula berkecamuk. Di Kedah ni pun dah haru-biru. Kalau tak percaya pi baca blog: http://kedahsenget.blogspot.com
Tengok sendiri macam mana depa saling bantai-membantai.