Jumaat, Januari 15, 2010

Tidak Ada Sebab Mengapa BPN Harus Berkubur!

Hidup matinya Melayu hari ini adalah tanggungjawab seluruh orang Melayu tanpa mengira aliran politik masing-masing. Hidup matinya Islam di Malaysia hari ini juga merupakan tanggungjawab seluruh orang Islam di negara ini tanpa mengira aliran atau ideologi politiknya. Melayu akhir-akhir ini berada di persimpangan yang amat menggerunkan. Melayu hari ini sedang duduk dalam satu dilema yang mengerikan. Pastikah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan ketuanan Melayu makin terhakis? Atau benarkah ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda hari ini?

Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia? Kalau tidak, jenis Melayu yang bagaimanakah yang akan menghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur, apabila Melayu sudah kehilangan kuasa? Ke manakah akhirnya perlawanan Melayu sesama Melayu ini? Mungkinkah akhirnya ialah Melayu lenyap ditelan kebangkitan suatu kuasa bukan Melayu yang tidak peduli terhadap Melayu? Andaian ini boleh jadi mungkin, dan boleh jadi tidak. Yang lemah biasanya ditelan oleh yang gagah. Segala-galanya terserah kepada Melayu dan arah tuju serta matlamat perjuangannya.

Perlu diingat, perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancurleburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah yang muncul menjadi benteng paling kuat dalam proses menghapuskan keganasan bersenjata komunis. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan bangsa Melayu dan budaya Melayu dalam Perlembagaan negara.

Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suci setiap umat Melayu untuk terus berjuang mengekal, dan lebih dari itu bagi meningkatkan perpaduan bangsa Melayu pada setiap masa. Perpaduan ini wajar terus dipupuk, dipelihara, dibajai dan dijagai dengan rasa penuh bertanggungjawab bagi memastikan simpulan perpaduan ini tidak mudah terlerai atau mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja.

Kita juga harus insaf, dalam kita membawa pelbagai pembaharuan, perlulah kita memastikan bahawa kita tidak kehilangan arah, tidak juga kehilangan punca. Untuk tidak kehilangan arah dan supaya tidak kehilangan punca, maka perlulah kita sedar dan perlulah kita menghayati asas-asas falsafah bangsa Melayu yang dirumuskan oleh ajaran agama. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.”

Jadi, pokoknya sekarang, biar berlaga ayam di reban, biar menendang kuda di kandang, namun adat wajib dijaga. Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Wahai pejuang-pejuang BPN. Kita tidak nampak mengapa BPN harus berkubur! Perjuangan BPN haruslah diteruskan dan tidak perlu dibubarkan! Kita kena tahu yang BPN telah menjadi medium dan organisasi untuk menyatukan semua bloggers yang mempunyai semangat perjuangan yang sama iaitu perjuangan demi mempertahankan Ugama, Bangsa dan Negara. Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. - InsyaAllah -.

" SATU SUARA , SATU ARAH , SATU AQIDAH "

Suara Politik
Taminsari

3 ulasan:

wakdanial berkata...

Salam Perjuangan...satu suara, satu arah,satu akidah

Panglima Perang Cyber berkata...

terima kasih atas sokongan padu Tuan Belantan.

kekuatan dan perpaduan serta sokongan seperti inilah yang akan menggerunkan musuh dan alhamdulillah kita telah berjaya mempamerkannya kepada musuh yang berada samada dalam atau luar lingkaran kita.

bersatu teguh dan bercerai roboh..


satu suara, satu arah, dan satu akidah..

MK IV berkata...

jemputan program dialog bersama pemimpin,
sila emailkan nama penuh, no ic, nama blog dan no telefon ke darulehsantoday.blog@gmail.com dengan kadar segera untuk booking tempat duduk.