Jumaat, Julai 10, 2015

Budak Melayu dalam DAP hanya 'pemegang tombak'?


Sekarang ini wujud satu fenomena di mana anak muda Melayu diberi peluang memegang jawatan di peringkat cabang dalam parti Cina DAP. Semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan dulu, DAP mempertaruhkan Dyana Sofia sebagai calon. Walaupun tewas tetapi DAP berjaya membina persepsi bahawa parti itu terbuka kepada semua kaum. Ini berjaya memadamkan imej rasis DAP terhadap orang Melayu dan juga Islam.

Politik adalah persepsi. DAP menangani persepsi umum dengan membuka laluan kepada orang Melayu terutama anak-anak muda yang terpesona dengan janji "demokrasi". DAP telah berjaya dalam perang persepsi tanpa menjejaskan dasar dan ideologi parti ini menolak hak-hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam.

Mereka tahu bahawa banyak anak muda Melayu telah dirasuk demokrasi yang dipergayakan pada era imperialisme media oleh Barat. Demokrasi menjadi kata kunci perjuangan kepada anak muda ini yang tanpa sedar mereka adalah mangsa penjajahan cara baharu. Mereka terpesona dengan perjuangan hak asasi manusia yang juga menjadi produk penting Barat untuk menjajah dunia pada era neokolonialisme.

Maka apabila melihat di negara ini ada tertulis "hak keistimewaan orang Melayu", bagi mereka ini bertentangan dengan hak asasi manusia. Apabila ada tertulis "Islam sebagai Agama Persekutuan", mereka tanya kenapa menganaktirikan agama lain? Kalau penceramah Islam boleh mempromosikan Islam di media, kenapa agama lain tidak boleh? Ini tidak demokratik, kata mereka.


Kerana menggunakan neraca akal yang dipengaruhi oleh Barat, maka semua yang dilihat tidak kena kepada mereka. Maka DAP yang mempotretkan parti itu melangkaui batas kaum dan agama dilihat sebagai pilihan terbaik memperjuangkan demokrasi. Maka anak-anak muda Melayu ini juga bersetuju menentang undang-undang jenayah Islam kerana dianggap tidak bertamadun dan melanggar hak asasi manusia.

Inilah generasi yang paling malang kerana mereka membesar dalam lingkaran pendemokrasian maklumat dari pelbagai sumber dan sudut pandangan. Banyak etika hidup yang menekankan nilai-nilai agama dan budaya telah dihancurkan oleh gelombang liberalisme dan sekularisme, digantikan dengan kebebasan bersuara dan hak asasi yang mutlak. Kehancuran ini tidak dirasakan kerana sebahagian besar daripada mereka sendiri telah hancur peribadinya.

UMNO dianggap hanya memperjuangkan kepentingan Melayu sementara Pas pula hanya memperjuangkan Islam. Mereka mahukan parti yang memperjuangkan semua kaum dan agama. Dengan kompas idealisme yang herot dan kecetekan pengalaman politik, yang nampak hanya DAP yang berjaya menyembunyikan warnanya yang sebenar.

Kita tidak berminat untuk berkempen supaya mereka menyertai UMNO atau Pas. Malah UMNO atau Pas juga tidak memerlukan budak-budak Melayu seperti ini. Barangkali budak-budak Melayu yang terpelajar dan juga yang tidak cukup diajar menyertai DAP kerana menolak UMNO dan Pas. Kalau mereka memilih DAP kerana menolak UMNO, mereka kena bertanya beberapa perkara kepada diri sendiri apakah lebihnya DAP dan kurangnya UMNO?


Kalau faktor DAP kerana melampaui batas kaum dan agama, yang menonjol dan berkuasa dalam DAP hanya satu kaum sahaja. Beberapa pemimpin Melayu kanan satu demi satu keluar kerana tebalnya cauvinis Cina dalam DAP. Cakap sahaja untuk semua kaum tetapi Cina sahaja yang berkuasa. Maknanya kaum menjadi keutamaan DAP. Cuma budak-budak Melayu ini sahaja yang bengap untuk memahaminya.

Semua yang menyertai parti politik untuk berjuang ke aras perubahan. Untuk membuat perubahan kenalah ada kedudukan, lebih tinggi lebih besarlah pengaruhnya kepada orang bawahan. Kalau sekadar pak turut, lebih baik tidak masuk mana-mana parti politik.

Tetapi kalau sekadar diberi jawatan pemegang tombak dalam DAP kemudian menyerang pula bangsa sendiri, tidak usahlah masuk DAP. Tidak sepadan dengan "dosa" mengkhianati agama dan bangsa sendiri. Kalau bermimpikan jawatan kanan dalam parti samalah menunggu bulan berwarna biru. Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim, Melayu paling kanan dalam DAP pun tidak boleh memutihkan DAP yang sangat hitam politik perkauman. Jadi, kalau setakat menjadi pemegang tombak, faham-faham sajalah. Kalau saya menjadi kamu, saya tidak membiarkan diri dilembukan untuk kepentingan pihak lain.

Pasma ibarat "reject shop"

Apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serpihan Pas merancang untuk menjadi sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum, persoalan yang bermain di fikiran kita apakah yang hendak ditawarkan oleh Pasma? Apakah nilai tambah untuk memungkinkan rakyat memilih Pasma dan bukan Pas atau UMNO?

Adakah Pasma mensasarkan khalayak di luar parti Melayu yang sedia ada iaitu UMNO dan Pas apabila membuka penyertaan kepada semua kaum? Mampukah Pasma memikat khalayak penyokong Cina dari DAP dan MCA atau India dari MIC dan beberapa parti India yang lain?


Banyak yang melihat Pasma tidak keluar daripada lingkungan Melayu, yakni masih mengintai penyokong-penyokong Pas untuk beralih arah kepada parti baharu yang digerakkan oleh tokoh-tokoh tersingkir dalam muktamar yang lalu. Pasma lebih kepada parti reject shop yang mengumpulkan calon-calon yang ditolak oleh perwakilan.

Apabila berdiri sebagai parti politik, Pasma wajar realistik bahawa mereka tidak ada gagasan besar untuk dijual ke pasar politik. Tidak ada idealisme. Yang ada hanya dendam dan kecewa dengan Pas. Maka sekiranya Pasma ditolak sekali lagi jangan menyalahkan pihak lain. Mereka yang tidak menawarkan suatu yang tidak ada pada Pas dan UMNO.

Mungkin kita setuju dengan reaksi Presiden Pas, Hadi Awang bahawa Pasma akan hilang begitu sahaja. Pasma bukanlah Semangat 46 yang pengaruhnya jauh lebih besar, malah mampu memikat beberapa orang menteri bersama-samanya. Cuma yang mengaut keuntungan daripada kelahiran Pasma ialah DAP kerana parti ini "mesra DAP" dalam semua perkara.

Pasma akan menjadi jambatan DAP untuk mendekatkan diri dengan pengundi-pengundi Melayu yang sekarang dimulakan dengan membawa budak-budak Melayu dan diberi jawatan dalam parti. Pasma tidak mendapat apa-apa kerana tidak ada nilai tambah yang boleh menggugat kesetiaan penyokong UMNO atau Pas. Kesimpulannya Pasma akan diingati kerana memecahkan politik Melayu. Itu saja.-UMO

Suara Politik
Belantan

Rabu, Julai 08, 2015

Kos pengeluaran tidak efisien buatkan syarikat JVC berpindah ke Thailand?

Pekerja JVC bertepuk tangan sebagai tanda selamat tinggal dan terima kasih kepada kilang itu.

SHAH ALAM - Baru-baru ini viral di media sosial Facebook menyatakan sebuah kilang elektronik terkenal di Shah Alam ditutup. Tinjauan ke kilang tersebut di Seksyen 22 Shah Alam mendapati premis berkenaan lengang.

Hanya kelihatan beberapa pengawal keselamatan, selain pekerja di bahagian pejabat yang masih bertugas sebelum kilang berkenaan ditutup sepenuhnya September depan.

Usaha wartawan menemui pihak pengurusan di kilang itu kelmarin, tidak berjaya kerana difahamkan mereka sedang bermesyuarat.

Bagaimanapun, hasil perbualan telefon wartawan di pondok pengawal bersama salah seorang pegawai dari Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, kami diminta untuk menulis satu surat rasmi bersama soalan yang akan dipanjangkan kepada pihak pengurusan tertinggi sebelum pihak syarikat memberikan sebarang jawapan.

Sementara itu, hasil temu bual bersama beberapa pekerja dan bekas pekerja yang ditamatkan perkhidmatan, rata-rata mereka menjelaskan berpuas hati dengan layanan syarikat serta tidak kecewa dan berputus asa walaupun khidmat mereka selama puluhan tahun di syarikat berkenaan terpaksa dihentikan.

Difahamkan, kira-kira 300 pekerja dari JVC Shah Alam terlibat dengan penamatan tugas diberikan pampasan sewajarnya dan dimaklumkan mengenai penutupan operasi sejak lebih enam bulan lalu.

Menurut sumber, JVC yang bekerjasama dengan Kenwood Malaysia berpindah sepenuhnya ke Thailand atas beberapa faktor, termasuk disebabkan oleh kos pengeluaran yang tinggi.

Sementara itu, bagi Md Halim Ali, 47, yang telah berkhidmat lebih 11 tahun sebagai pengawal keselamatan di kilang berkenaan, meskipun agak sedih perkhidmatannya di kilang berkenaan bakal tamat, namun kesedihan terubat apabila pihak syarikat bertanggungjawab sepenuhnya dengan menyerap beliau bertugas di sebuah kilang lain di Shah Alam.

Md Halim berkata, pihak syarikat memberikan memo penutupan operasi kilang sejak lebih enam bulan lalu, dan berjanji bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerjanya.

“Sebelum operasi kilang dihentikan sepenuhnya, beberapa syarikat lain dijemput oleh pihak pengurusan untuk mengadakan sesi temuduga bagi mengambil pekerja dari JVC ke kilang baharu berlokasi di sekitar Shah Alam, Klang dan Subang Jaya.

"Saya sendiri bakal menyambung tugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di sekitar Shah Alam tidak lama lagi,” katanya.

Jelasnya, apa yang dihebahkan di media sosial mengenai penutupan kilang dan nasib pekerja tidak terbela adalah tidak benar sebaliknya mengaggap ia hanya salah faham.

Sentiasa dilayan baik

Sementara itu, bagi Che Atun Abdullah, 44, yang bekerja lebih 24 tahun di kilang berkenaan, beliau menganggap penutupan operasi kilang itu sebagai peluang untuk lebih fokus dalam perniagaan yang sudah diusahakan selama ini.

Menurutnya, sehingga hari ini beliau masih menanti tawaran kerja dari kilang lain, namun jika tiada tawaran, beliau berhasrat meneruskan perniagaan Pisang Goreng Cheese yang telah diusahakan sebelum ini dengan lebih serius.


Menurut Che Atun, suaminya yang juga bekas penyelia di kilang tersebut berhasrat meneruskan perniagaan bagi meneruskan mata pencarian menyara tiga orang anak mereka.

“Apa yang membimbangkan cuma kami masih belum mempunyai tapak perniagaan yang tetap sebaliknya hanya berniaga di gerai tepi jalan. Insya-ALLAH rezeki ada di mana-mana.

"Kami bersyukur kerana syarikat tidak lepas tangan sebaliknya bertanggungjawab sewajarnya kepada para pekerja,” katanya.

Bagi Taiban Ahmad Juri, 53, beliau menganggap pengalaman selama 18 tahun berkhidmat sebagai pegawai keselamatan di kilang tersebut sebagai kenangan manis dalam kerjayanya.

Taiban yang sebelum ini pesara tentera berkata, apa yang diviralkan di media sosial mengenai kesedihan pekerja terpaksa ditamatkan perkhidmatan berbeza situasi sebenar.

“Pihak syarikat sentiasa melayan kami dengan baik. Tiada isu penindasan bahkan kebajikan para pekerja sentiasa diutamakan," katanya.

Menurut Taiban, mereka diberikan pampasan sewajar melebihi kadar ditetapkan tenaga buruh, selain diberikan bonus dua bulan gaji serta bayaran gaji bulanan.

“Kesedihan dan air mata yang dilihat di media sosial adalah air mata gembira dan sebak apabila pekerja berpisah dengan rakan-rakan yang sudah lama dikenali sepanjang bekerja di kilang ini,” katanya.

Permintaan menurun punca berpindah

Sementara itu, berdasarkan salah satu komen bekas pekerja dari bahagian kejuruteraan kilang berkenaan yang dikenali dengan profil Rohana Ramli, menyatakan kilang tersebut berpindah ke Thailand atas faktor permintaan produk yang agak menurun.

“Saya pekerja JVC. Eng Dept 22 tahun berkhidmat. Baru semalam meninggalkan JVC. JVC Malaysia mengeluarkan produk video cam (kamera video). Disebabkan smartphone (telefon pintar) mendominasi pasaran, jadi produk video cam merundum. Pasaran masih ada cuma produk perlu dikecilkan. Transfer (pindah) ke Thailand terbaik.

"JVC Jepun ada membuat RnD (penyelidikan dan pembangunan) tetapi masih gagal menandingi smartphone. Kos tinggi di sini tetapi kami masih positif. (Kami) mendapat pampasan lebih dari Akta Buruh diwartakan.

"Sampai akhirnya, syarikat cuba mencarikan kami pekerjaan. Betapa bertanggungjawab majikan kami,” katanya di Facebook.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Julai 07, 2015

Di Perak sebelum ini pembangkang bersidang bawah pokok, di Parlimen pula bersidang atas padang kawad?



Jika kita masih ingat sebelum ini semasa pembangkang memerintah negeri Perak, sidang DUN terpaksa diadakan di bawah sepohon pokok, namun lain pula dengan apa yang berlaku di Parlimen!

Mesyuarat tergempar ahli Parlimen pembangkang yang berlangsung hari ini terpaksa diadakan di padang kawad berhampiran menara bangunan Parlimen.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya dimaklumkan bilik taklimat yang sepatutnya digunakan untuk mesyuarat tersebut telah ditempah untuk kegunaan Kementerian Belia dan Sukan.


Sementara itu, nenek kipas yang juga ketua pembangkang, Wan Azizah berkata, mesyuarat itu bertujuan untuk mendengar pandangan ahli Parlimen berkaitan tuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikatakan menerima sejumlah wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ).

"Apa yang berlaku kepada Perdana Menteri, peristiwa ini mencurigakan. Jadi ini kali pertama Parlimen dipanggil oleh Ketua Pembangkang untuk bermesyuarat kerana ini tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat.

"Isu 1MDB telah membuatkan kita tertanya-tanya kesahihan kerajaan kita. Jadi pada hari ini kita nak dengar pandangan anda semua," katanya ketika berucap di hadapan ahli Parlimen yang hadir.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah beberapa pemimpin NGO.

Bagaimanapun, tiada ahli Parlimen BN yang dilihat hadir dalam mesyuarat tersebut.

Suara Politik
Belantan

Hasrat menjadi ‘Ketua Menteri dengan kuasa’ terlaksana?

Kedudukan DAP di Pulau Pinang semakin kukuh selepas menguasai kerajaan negeri itu bagi penggal kedua selepas kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Gerakan kecundang dalam Pilihan Raya Umum 2008.

DUA puluh tahun yang lalu, dalam satu kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 1995, Parti Tindakan Demokratik (DAP) muncul dengan poster Kit Siang Chief Mi­nister With Power.

Di atas poster itu juga tertera patung watak televisyen popular ketika itu iaitu Robocop. Di dada patung itu tertulis perkataan Tanjong 3, mengambil sempena siri Tanjong dalam kempen DAP untuk menawan Pulau Pinang yang bermula dengan Tanjong 1 (PRU 1986) dan Tanjong II (PRU 1990). DAP gagal dalam cita-cita itu.

Mungkin disebabkan angka empat juga membawa maksud tidak baik, siri Tanjong ditamatkan pada episod ketiga dan tidak ada lagi angka digunakan pada PRU 2004. Cita-cita DAP dan Kit Siang untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang ak­hirnya terlaksana pada tahun 2008 selepas parti itu bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas berjaya membentuk kerajaan negeri.

Walaupun bukan Kit Siang sebagai Ketua Menteri, jawatan itu diserahkan kepada anaknya, Lim Guan Eng yang melakukan penghijrahan dari Melaka. Ketika itu, DAP memenangi 19 kerusi, PKR 9, dan Pas 1 sementara Barisan Nasional (BN) memenangi 11 kerusi, yang kesemuanya calon UMNO.


Menyelak kembali slogan DAP pada 1995 itu, ia merujuk kepada Ketua Menteri, Dr. Koh Tsu Koon yang dikatakan boh kian (tiada kuasa). Slogan itu bagaimanapun ‘memakan diri’ apabila DAP hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen. Kit Siang juga tewas kepada Tsu Koon di Tanjung Bungah.

Kini selepas memasuki penggal kedua, kedudukan DAP di Pulau Pinang semakin kukuh. Dalam PRU yang lepas (2013), DAP mengekalkan kedudukannya dengan 19 kerusi sementara PKR menambah kepada 10 kerusi, Pas 1 dan BN (UMNO) 10. Itulah kekuatan DAP ketika ini. Maka tidak perlulah sesiapa ‘menyalak’ dan ‘melompat’ dengan kenya­taan Guan Eng yang mengumumkan kerajaan negeri kini bukan lagi kerajaan pakatan pembangkang sebaliknya dikenali sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang.

Keputusan itu dibuat oleh 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang. Keputusan itu dibuat gara-gara usul Muktamar Pas ke-61 yang memutuskan hubungan dengan DAP. Bagi Guan Eng, pakatan pembangkang sudah tidak wujud. Apa yang wujud ialah kerajaan campuran iaitu 19 (DAP), 10 (PKR) dan 1 (Pas).

Sama ada pakatan atau campuran, sama sahaja. Orang Tanjong kata pi mai pi mai tang tu. Adakah di Selangor juga wujud kerajaan campuran, bukannya pakatan? Apakah yang ingin ditunjukkan oleh Guan Eng kepada rakan-rakannya itu? Adakah kuasa sebagai ketua menteri?

Adakah benar Guan Eng berlagak sombong se­perti dakwaan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Mohd. Yusof baru-baru ini. Kenya­taan Guan Eng jelas menunjukkan parti itu mempunyai kuasa yang besar di negeri itu. DAP nampak yakin dengan keupayaannya. Tidak mustahil DAP mampu memerintah ne­geri itu bersendirian tanpa sokongan rakan-rakan PKR, apatah lagi Pas yang hanya menang satu kerusi.


Dengan 19 kerusi di dalam genggaman, DAP mampu menambah kerusi jika bertanding di kawasan-kawasan yang dikuasai PKR ketika ini. Sekurang-kurang­nya empat hingga lima kerusi yang dimiliki PKR boleh berubah ta­ngan jika DAP mahu bersendirian dalam pe­merintahan negeri itu.

BN melalui UMNO hanya mampu memenangi 10 kerusi pada PRU lalu sedangkan pada tahun 1990, BN menguasai DUN Pulau Pinang dengan 19 kerusi berbanding DAP 14 kerusi. Pada 1990 juga, jumlah kerusi yang dimenangi UMNO lebih besar iaitu 12 kerusi berban­ding rakan komponennya Gerakan sebanyak tujuh kerusi.

Jumlah itu menyebabkan ketika itu timbul ura-ura bahawa UMNO lebih layak me­mimpin negeri itu dengan jawatan Ketua Menteri. Bagaimanapun atas semangat setiakawan BN, jawatan Ketua Menteri tetap menjadi milik Gerakan dan UMNO diberi jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Menyelak kembali sejarah kebangkitan DAP ini, ia dianggap bermula pada tahun 1986 apabila parti itu menang 10 kerusi termasuklah kemenangan Setiausaha Agungnya ketika itu, Kit Siang. Jumlah itu meningkat kepada 14 kerusi pada PRU 1990 melalui projek Tanjong II. Bagaimanapun DAP ‘merana’ selama dua penggal apabila kalah teruk pada PRU 1995 (Tanjong III) dan PRU 2004. Adakah dua penggal yang sedang dinikmati DAP ketika ini mampu melonjakkan lagi kejayaannya pada PRU akan datang?

DAP sedang ‘belajar’ untuk bersendirian dalam PRU akan datang dengan mencari rakan lain yang boleh diharap termasuk kemungkinan parti serpihan Pas. Dalam erti kata lain, DAP tidak boleh lagi mengharapkan Pas. Sejauh mana keupayaan parti serpihan Pas tidak dapat dipastikan tetapi tentunya parti baharu itu lebih terbuka berbanding Pas.

Bagaimana pula de­ngan PKR? Jika DAP bersama parti baharu, adakah Pas akan terus kekal dalam pakatan bersama PKR? Di Pulau Pinang, DAP boleh bersendirian membentuk kerajaan negeri tanpa sokongan PKR dan Pas, asalkan parti itu mengekalkan penguasaan sekarang dan menambah sekurang-kurangnya dua hingga tiga kerusi lagi untuk mendapat majoriti mudah di DUN.

Dalam tempoh pemerintahannya, DAP sudah tentu menyusun strategi untuk mengekalkan kuasanya yang ada. Sebagai parti yang baharu mendapat kuasa untuk mentadbir negeri, DAP pastinya bekerja keras melakukan percaturan supaya pengundi setianya ada di mana-mana bagi memastikan kemenangan calon yang diturunkan.

Strategi yang perlu dilakukan DAP sekarang adalah untuk meyakinkan pengundi-pengundi Melayu menyokong perjuangan parti itu. Jika ini boleh dilakukan, bukanlah mustahil DAP akan terus berkuasa di negeri itu. DAP boleh ‘menceraikan’ PKR dan Pas. Dalam politik, segalanya boleh berlaku, tidak ada yang mustahil.-UMO

Suara Politik
Belantan

Isnin, Julai 06, 2015

Program DAP kena ‘serang’?


JOHOR BAHRU - Kira-kira 100 orang penyokong sebuah parti politik naik berang apabila Pengarah DAP Johor, Liew Chin Tong mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menghina parti mereka dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam ucapan tidak sampai seminit pada satu majlis di Taman Megah Ria, Masai, dekat sini, hari ini, Ahli Parlimen Kluang itu antara lain mendakwa mereka cuba nak menumbangkan Najib.

Susulan itu, kira-kira 100 penyokong parti yang berada di situ memprotes kedatangan Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang ke kawasan itu, naik berang.

Keadaan menjadi kecoh dan berlaku insiden tolak menolak antara penyokong parti berkenaan dengan Liew dan Lim serta beberapa lagi pemimpin DAP yang hadir pada majlis sesi ramah mesra DAP bersama orang Sabah dan Sarawak tersebut iaitu Adun Pengkalan Rinting Cheo Yee How dan Adun Johor Jaya, Liow Chai Tung.

Insiden tolak menolak itu berlaku kira-kira 15 hingga 20 minit sebelum polis campur tangan untuk mententeramkan keadaan.

Polis kemudiannya dilihat menasihati pemimpin DAP berkenaan untuk membatalkan program selanjutnya iaitu 'Walkabout' di Pasar Borneo berdekatan susulan kekecohan itu. – Bernama

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Julai 04, 2015

Azmin dah 'goyang'...!!! Masih gagal hasilkan keputusan isu PR Selangor?


SHAH ALAM - Perbincangan pemimpin DAP Selangor dengan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini tentang kemelut hubungan antara parti itu dengan Pas dalam kerajaan negeri tidak mencapai sebarang keputusan.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata berikutan perjumpaan dengan Timbalan Presiden PKR selama hampir setengah jam itu, satu lagi perjumpaan akan diadakan selepas hari raya Aidilfitri.

Namun hasil daripada pertemuan itu, pihaknya kini lebih jelas mengenai kedudukan wakil-wakil daripada DAP, Pas dan PKR dalam pentadbiran kerajaan Selangor, katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada pemimpin DAP menyokong pentadbiran Mohamed Azmin, Pua berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Adun Bukit Antarabangsa itu.

"Isunya bukan sebab kedudukan Azmin sebagai menteri besar. Kita ada bincang mengenai kedudukan Pas untuk kekalkan Selangor kepada PR namun tiada keputusan dicapai," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin menafikan pentadbiran kerajaan Selangor dilanda kemelut seperti yang diuar-uarkan sebaliknya memberi jaminan akan terus membangunkan negeri ini.

Katanya pertemuan dengan DAP adalah perjumpaan berkala bagi membincangkan beberapa perkara dan menyifatkan ia berjalan dengan harmoni walaupun tidak mencapai sebarang keputusan.

Pada 16 Jun lepas, DAP mengisytiharkan PR yang terdiri daripada parti itu, PKR dan Pas tidak lagi wujud apabila Muktamar Pas baru-baru ini memutuskan hubungan dengan DAP dilihat 'membunuh' pakatan itu.

Namun, pada 21 Jun lepas, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerjasama dan semangat dalam menjalin hubungan kerja antara ketiga-tiga parti itu masih diteruskan.

Pas pula menerusi Majlis Syuranya setakat ini dijangka memuktamadkan cadangan memutuskan hubungan dengan DAP selepas Aidilfitri nanti.

Suara Politik
Belantan

DAP sudah minoriti, perlu bubar DUN?


PULAU PINANG – Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng perlu menjelaskan kepada rakyat negeri ini bagaimana parti itu masih mahu mengekalkan kuasa pentadbiran dalam kedudukannya sebagai ‘minoriti’.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, adalah mengelirukan bagaimana DAP masih boleh terus mentadbir negeri ini ketika hubungan parti itu dengan Pas sudah terputus manakala 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR pula dalam keadaan tergantung.

Malah menurut beliau, keadaan itu semakin merumitkan selepas DAP mengumumkan kerajaan negeri hari ini hanya dikenali sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang, bukan lagi sebuah negeri pakatan pembangkang.

“Kuasa rakyat negeri ini kepada kerajaan pakatan pembangkang adalah atas dasar kerjasama antara DAP, Pas dan PKR, bukannya sesuka hati boleh ditukar kepada sesebuah parti secara berasingan atau kepada nama baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rahmad Isahak

Beliau mengulas tindakan Guan Eng hari ini yang memaklumkan kerajaan negeri hari ini dikenali sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang, bukan lagi kerajaan pakatan pembangkang.

Keputusan itu ekoran tindakan Pas menerusi muktamar parti tersebut baru-baru ini yang memutuskan hubungan dengan DAP diikuti dengan pengumuman pakatan pembangkang sudah berkubur oleh Guan Eng.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, tindakan DAP mengekalkan satu-satunya wakil Pas dalam kerajaan negeri tetapi dalam masa sama memutuskan hubungan dengan parti itu juga mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Katanya, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada wakil Pas berkenaan hanya dikekalkan untuk meraih sokongan orang Melayu di negeri ini.

Dalam pada itu kata beliau, bersandarkan kepada undang-undang, DAP yang berbekalkan 19 kerusi sepatutnya sudah hilang kuasa majoriti untuk memerintah sekiranya PKR membuat pendirian meneruskan pakatan pembangkang bersama Pas.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Jun 30, 2015

Parti cauvinis..?


Kenyataan Presiden Pas, Hadi Awang baru-baru ini bahawa parti itu sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik kecuali yang cauvinis, menarik perhatian. Walaupun tidak menyebut nama mana-mana parti tetapi ramai tahu ia merujuk kepada DAP.

Sememangnya apa yang Hadi cakap tidak dapat disangkal lagi. Buatlah apa pun, imej DAP sebagai parti rasis masih tebal. Sepanjang kerjasama pakatan selama ini, peranan Pas sedikit sebanyak dapat membantu 'memulihkan' persepsi dalam kalangan sebahagian orang Islam ke atas DAP.

Kini dengan terburainya muafakat antara kedua-dua parti itu, DAP terpaksa bergantung kepada usahanya sendiri selain PKR untuk mendampingi dan meyakinkan orang Melayu.


Kita dapat tahu, langkah-langkah sedang diperhebatkan untuk mempengaruhi golongan muda Melayu terutama yang liberal, dengan apa sahaja cara.

Apatah lagi parti itu ke hadapan dan menguasai pengolahan permainan persepsi dalam isu-isu semasa. Mudah untuk menangguk di air keruh termasuk bagi menjadi juara kepada orang Melayu.

Sudah berulang kali terbukti dalam mendapatkan sokongan Melayu, DAP bersandiwara. Sejarah tidak pernah menipu. Dari dulu lagi, para pengasas parti itu sanggup bersongkok, bersimpuh di tangga surau dan 'menjiwai' Melayu seperti di Singapura.


Begitu juga dengan generasi baru DAP yang sanggup menggunakan ayat suci al-Quran dan Hadis serta jolokan tokoh pejuang Islam silam. Apabila sokongan diperoleh dan kemenangan dalam pilihan raya dicapai, kepentingan Islam dan Melayu dinafikan, dihina, dibiarkan terpinggir dan lemah.

Lihatlah juga apa berlaku di Pulau Pinang. Slogan demokratik, kebebasan dan keadilan untuk semua, adalah muslihat semata-mata tetapi akhirnya DAP lebih menjaga kepentingan satu kaum sahaja.

Buatlah kajian tentang kedudukan dan kuasa dalam parti itu hinggalah soal pendirian, polisi dan rekod perjuangannya. Aneh, DAP mendabik dada sebagai parti pelbagai kaum tetapi Melayu, India dan etnik lain sekadar picisan malah menjadi alat untuk mengabui masyarakat.


Rata-rata orang Melayu dalam DAP akan keluar dengan penyesalan. Itulah hakikatnya. Seperti kata bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor, harga Melayu kepada DAP hanya 50 sen. Adalah amat memalukan, dunia telah lama berubah tetapi DAP masih di takuk lama.

Keterbukaan yang ditunjukkan untuk menarik ramai Melayu hanyalah kosmetik tetapi lebih kepada menjayakan agenda agung satu kaum. Jadi, belum terlewat untuk Pas bangkit tersedar sebelum mudarat lebih besar.

Kita setuju dengan Hadi, yang meyakinkan lagi kita padahnya berkawan dengan parti yang cauvinis.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Jun 29, 2015

Antara ramadan dan bola?


Entah kenapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana pada bulan Ramadan. Sukar hendak faham. Sebab itu, kita setuju dengan pandangan beberapa persatuan bola sepak negeri yang meminta FAM menangguhkannya.

Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, sepatutnya FAM lebih sensitif dalam hal tersebut. Di negara Islam lain termasuk jiran Indonesia, tiada aktiviti liga bola sepak utama berlangsung pada Ramadan.

Ketika umat Islam dituntut lebih beribadat termasuk solat sunat tarawih, adalah kurang wajar para pemain yang juga kebanyakannya beragama Islam dibiarkan beraksi di stadium. Sudahlah mereka berpuasa pada siang hari, agak keletihan untuk bermain lewat malam selain tidak dapat memberi tumpuan pada ibadat.


Penonton pun tidak ramai. Sedangkan ia sekadar sukan bola sepak yang masih boleh diubah jadual, tidak seperti urusan tanggungjawab sebagaimana tugas tentera, polis dan lain-lain yang mendesak keperluannya termasuk pada Ramadan.

Seandainya, ia melibatkan penganjuran oleh badan bola sepak dunia seperti FIFA, kita boleh faham tetapi ia di bawah kuasa FAM. Lagipun, terimalah realiti sukan bola sepak kita bukan seperti di Brazil, Sepanyol, Jerman, England dan Itali.

Pencapaian skuad negara juga makin merudum dengan penganjuran liga yang ada tidak banyak membantu. Negara-negara Arab termasuk Palestin yang membelasah Malaysia 6-0 baru-baru ini, tetap hebat walaupun tiada liga pada bulan Ramadan.

Kita sebenarnya menyokong pengurusan FAM di sebalik banyak kritikan yang dilemparkan kebelakangan ini tetapi usahlah proaktif ke arah negatif.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Jun 28, 2015

Justo pencetus spekulasi - Apabila maklumat 'diuli' fitnah bertebaran?

Polis Thailand berjaya menangkap dan akan mendakwa warga Switzerland Xavier Andre Justo yang juga bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd.

Penangkapan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Xavier Andre Justo di Thailand awal minggu ini merungkai di sebalik serangan bertali arus pihak tertentu terhadap syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justo terang-terangan menceroboh maklumat yang dikategorikan sulit. Perbuatan mendedahkan atau menceroboh pangkalan data bertentangan dengan undang-undang syarikat dan negara.

Tindakan kerajaan Thailand terhadap Justo membuktikan pelanggaran undang-undang telah berlaku.
Sebuah firma keselamatan siber antarabangsa, Protection Group International (PGI) yang dilantik untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap sumber data yang disiarkan di internet mengesahkan kesahihannya.

Siasatan itu mendedahkan bukti jelas Justo mencuri secara sistematik data sulit syarikat sebelum meninggalkan PetroSaudi. Ia juga menunjukkan data tersebut diubah setelah dicuri dari PetroSaudi.

Dipercayai, kebanyakan data yang diubah ini kemudian disiarkan di Sarawak Report. Data itu seterusnya bertindak sebagai 'tulang belakang’ kepada portal itu terhadap dakwaan konon wujudnya salah laku 1MDB.

Sarawak Report dikatakan menyiarkan petikan daripada e-mel yang didakwa dihantar oleh pihak terlibat. Namun e-mel itu tidak mempunyai penghantar yang mana menurut 'forensic Wiki’ adalah 'garis metadata dilampirkan pada setiap e-mel yang mengandungi banyak maklumat yang berguna kepada penyiasat forensik’.

Dalam aspek ini, alamat IP penghantar dan penerima e-mel, tanda tangan, kepala surat telah hilang.

Dalam konteks ini, kita wajar melihat penangkapan Justo secara lebih objektif mengenai 1MDB. Iaitu, tentang bagaimana sesuatu maklumat itu harus diperoleh dengan tepat dan betul. Bukannya, separuh benar atau 'separuh masak’ yang kemudian 'digodam’ atau diuli menjadi 'fakta’.

Justo tentu sekali meraih keuntungan peribadi terutama kewangan tanpa sedikit pun memikirkan nama baik 1MDB dan Malaysia.

Di sebalik kelibat Justo, penglibatan Sarawak Report dengan menyiarkan e-mel dan dokumen daripada hasil cubaan peras ugut warga Switzerland ini sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB sebenarnya bukan baharu. Apa lagi di Sarawak.

Sarawak Report, yang pengasasnya, Clare Rewcastle Brown sejak sekian lama terlibat mendedahkan agenda 'daripada apa yang dipercayainya tidak betul’ dilakukan kepemimpinan negeri Sarawak semasa era pentadbiran Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (kini Tun).

Antaranya, dakwaan-dakwaan seperti kekayaan melimpah-ruah Abdul Taib dan anggota keluarganya, salah guna kuasa pemimpin negeri, projek diserahkan kepada kroni, penguasaan tanah dan projek yang diraih.

Laporan portal ini menjejaskan reputasi kepimpinan Sarawak waktu itu. Kuasa melapor pada Sarawak Report dipergunakan sewenang-wenang.

Penganalisis politik Sarawak, Dr. Jeniri Amir turut mengesahkan kepada Mingguan Malaysia bahawa tindak-tanduk keterlaluan Sarawak Report ketara sejak pilihan raya negeri Sarawak 2010 lagi dengan melakukan serangan terhadap Abdul Taib dan keluarganya.

“Syarikat tertentu dikaitkan dengan penguasaan pemimpin dengan matlamat untuk memusnahkan imej pemimpin berkenaan termasuklah 'pembunuhan karakter’. Tidak ada etika penulisan dan laporan yang seimbang dalam Sarawak Report,” katanya.

Namun, tindak balas daripada Abdul Taib ke atas Sarawak Report ketika itu tidak banyak. Tidak kedengaran isu saman kerana mungkin pemimpin itu yang kini Yang Dipertua Negeri sedar sebahagian laporannya tidak tepat.

Seperti mana kredibiliti suspek yang ditangkap di Thailand, Justo sememangnya sedar akan 'pengaruh’ Sarawak Report. Justo percaya sesiapa yang memetik laporan Sarawak Report, pasti 'menjadi viral’, yang kemudian bertali-temalilah dakyah itu.

Mengulas isu ini, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, inilah masanya untuk semua pihak terbabit menilai sejenak asas kepada pelbagai tuduhan kerana fitnah itu hanya membahayakan negara.

“Pembangkang merujuk laporan Sarawak Report untuk menyerang kerajaan dan Perdana Menteri dalam isu 1MDB. Kini terbukti maklumat itu sudah 'diuli’.

“Ia kemudian diuar-uarkan oleh The Edge, Malaysiakini dan The Malaysian Insider. Akhbar dan portal-portal ini tidak patut tegakkan benang basah sehingga ada sesuatu dapatan baharu oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” kata Shahrir, dipetik dari portal http://www.bnbbc.my.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut membidas Kumpulan Media The Edge berhubung laporan berkaitan 1MDB yang dianggap sebagai satu laporan spekulasi keterlaluan.

“Kenapa The Edge sangat taksub dengan 1MDB, terutamanya dengan mengambil kenyataan daripada Sarawak Report,” kata Ahli Parlimen Kota Belud itu menerusi akaun Twitter miliknya, yang turut mengecam akhbar berbahasa Inggeris, The Star yang membuat liputan penahanan Justo dan serangan berterusan terhadap 1MDB.

Kalau ada wacana dari rentetan penangkapan Justo, elok ditekankan tentang begitu pentingnya keperluan sesuatu maklumat itu mesti bersumberkan data, statistik dan testimoni laporan kewangan ekonomi dunia.

Dalam konteks 1MDB, maklumat yang disalurkan mengenai syarikat itu mesti tepat, jujur dan telus. Bukannya kenyataan tempelan tanpa dalil-dalil yang konkrit.

Selain testimoni, statistik serta kutipan-kutipan pakar berwibawa, teknik penerangan retorik yang efektif juga memainkan peranan utama.

Dalam soal ini, bukan patos (emosi) tetapi logos atau logik serta wibawa etos seseorang yang bercakap mengenai 1MDB itu penting. Etos, menurut ahli falsafah ulung Yunani, Socrates, bererti membangunkan kredibilitinya dalam hal tertentu sehingga membuatkan khalayak percaya.

Dia yang menjelaskan sesuatu isu, mestilah tidak diragui karakternya. Bukan sebarang orang atau individu boleh bercakap, melainkan dengan integriti tinggi yang dimilikinya.

Seterusnya, logos adalah isi yang menyangkut pengumpulan fakta. Hal ini menjadi alasan mengapa tindakan harus dilakukan oleh pendengar.

Logos atau boleh dikatakan juga ilmu, memberikan pemikiran dan pengertian. Dengan begitu, khalayak akan memahami alasan logik (masuk akal) mengapa sesuatu tindakan itu dilakukan.
Akhirnya, khalayak boleh memahami sesuatu tindakan itu, sekali gus menjadikan tindakan itu miliknya.

Logos seharusnya lebih tinggi (daripada patos dan etos) kerana majoriti berkehendakkan maklumat yang dipenuhi hujah-hujah konkrit. Tetapi bukan berdasarkan patos atau retorik kosong.

Apa yang dilakukan kepimpinan kerajaan waktu ini dalam mengendalikan isu 1MDB memang baik.
Cuma, jangan lagi menyerang peribadi lawan. Kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin lepas, seandainya ada, tidak perlulah diungkit. Kalau ini berlaku, ia akan menjerat diri.

Dan jika akhirnya laporan 1MDB oleh PAC dan audit betul, mereka yang membuat tuduhan liar tentu akan buka mata.

Sarawak Report dan pihak-pihak yang membidas Perdana Menteri serta pegawai 1MDB tidak akan peduli kepentingan untuk meneliti semula kesahihan dokumen.

Mereka lebih gemar mencemarkan pihak kerajaan walaupun mempunyai ruang untuk menghubungi pihak terlibat.

Mengapa? Siapa di sebalik kempen yang berniat menjatuhkan Perdana Menteri?-UMO

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Jun 27, 2015

Sarawak Report cabar NST buktikan pengubahsuaian dokumen PetroSaudi?


Laman pendedah maklumat Sarawak Report mencabar akhbar New Straits Times Press (NSTP) membuktikan pengubahsuaian dokumen PetroSaudi International yang dilaporkannya dalam berita penangkapan bekas pengarah syarikat itu, Xavier Andre Justo.

Menurut Sarawak Report, dokumen yang dimaksudkan NSTP dalam laporannya adalah persembahan slaid "JV Structure Steps Plan", yang setakat ini cuma menunjukkan ia pernah dibuka Justo yang menggunakan nama pengguna "xavierj" pada 17 Januari 2013.

"Bagaimanapun, tiada bukti apa pun bagi menyokong dakwaan yang Justo mengubahsuai atau menukar dokumen asal – beliau sekadar membuka dan menyalin dokumen itu," kata Sarawak Report.

"Bagaimana kami boleh tunjukkan tiada pengubahsuaian (oleh Justo)?

"Kami boleh lakukannya kerana seperti PetroSaudi sendiri, kami menyimpan semua versi dokumen ini dari salinan bahan di pelayan mereka," kata Sarawak Report.

Berdasarkan semakan mereka, satu-satunya pengubahsuaian yang dilakukan dibuat firm guaman White & Case, pembikin asal dokumen itu yang menggunakan nama "WC users" pada 22 September 2009.


"Perubahan yang dilakukan sekadar menambah nama satu syarikat Jersey yang diperbadankan beberapa jam selepas mereka menerbitkan power point itu pada 21 September 2009.

"White & Case mengedarkan kemaskini itu dengan emel penjelasan yang versi kemaskini pada 22 September 2009 ini sama dengan yang dimuat naik ke Sarawak Report," katanya lagi.

NSTP menyiarkan penangkapan Justo pada muka hadapan akhbar itu, Rabu lalu.

Bagaimanapun, mereka meragui tindakan akhbar itu menghantar wartawan mereka ke Bangkok pada hari Selasa bagi melaporkan "wayang" penangkapan Xavier yang disebut sebagai sumber kepada emel dibekalkan kepada Sarawak Report.

"Kami boleh sahkan tiada bukti dikemukakan setakat ini bagi menyokong dakwaan 'putar belit' yang dibuat NSTP sejak 48 jam lalu dan dipetik beberapa media, penulis blog dan ahli politik Umno," katanya. – TMI

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Jun 26, 2015

Nizar 'Lambai' patut lepas jawatan Ketua Pembangkang DUN Perak?


IPOH – Dewan Pemuda Pas Kawasan Ipoh Timur membantah pendirian DAP negeri yang mahu mengekalkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan bekas Menteri Besar itu tidak lagi memegang sebarang jawatan utama dalam Pas.

Ketuanya, Salman Saleh berkata, situasi semasa dalam pakatan pembangkang memperlihatkan kewajaran supaya jawatan Mohammad Nizar itu diserahkan kembali kepada DAP kerana parti itu mempunyai 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding Pas dan PKR yang masing-masing hanya mempunyai lima wakil di DUN.

“Sehubungan itu, kami mendesak supaya Badan Perhubungan Pas Perak menasihatkan agar Mohammad Nizar yang juga ADUN Changkat Jering melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak.

“Pas Perak perlu membuat pendirian supaya menolak jawatan Ketua Pembangkang setelah episod ‘serangan’ DAP terhadap Presiden dan Majlis Syura Pas sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming sebelum ini dilaporkan bersetuju untuk mengekalkan Mohammad Nizar selaku Ketua Pembangkang DUN Perak biarpun gabungan pakatan pembangkang telah berakhir.

Menurut Kor Ming, keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa DAP negeri baru-baru ini dengan alasan Mohammad Nizar memiliki kewibawaan untuk terus mengetuai pembangkang di negeri ini.

Dalam pada itu, Salman berkata, DAP perlu menghormati pendirian Pas dalam perkara tersebut berikutan tindakan mengekalkan Mohammad Nizar bukanlah merupakan jalan terbaik bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua parti berkenaan.

“Tohmahan yang selama ini mengatakan Pas adalah ‘boneka’ kepada DAP akan menjadi senjata UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika Datuk Seri Mohammad Nizar dikekalkan.

“Sekiranya DAP masih mahu kerusi Ketua Pembangkang kekal kepada Pas, biarlah Pas sendiri atau majlis pakatan pembangkang yang menentukan siapakah paling layak untuk mendudukinya,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Jun 25, 2015

SEBAB APA UMNO - PAS PERLU BEKERJASAMA?


British menjajah Semenanjung Tanah Melayu daripada orang Melayu.

Orang Cina dan India datang dengan ramainya, mula-mula untuk mencari kekayaan dan pulang ke negera asal, tetapi akhirnya terus tinggal di Tanah Melayu. Orang Melayu bersatu menentang Malayan Union, ancaman pengganas komunis dan menuntut “kemerdekaan tanah air”.

Orang bukan Melayu menyertai pergerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka nampak kemerdekaan akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka selepas Merdeka.

Pas ditubuh apabila Haji Ahmad Fuad Hassan kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO kepada Tunku Abdul Rahman Putra, mulanya sebagai satu cabang UMNO tetapi kemudiannya bertanding dalam PRU-1955.

Semasa Perlembagaan Persekutuan sedang digubal, Pas menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan “Negeri Melayu” (bersultan) untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Parti Komunis Malaya (majoriti orang Cina) mengangkat senjata untuk menubuh sebuah kerajaan Komunis ala-China.

Parti Buruh (majoriti orang Cina) menuntut supaya “Negeri-Negeri Melayu” dihapuskan untuk mengelak “Malaya” yang merdeka menjadi sebuah “Negara Feudal”.

Orang Cina mahukan dua warganegara (dual-citizenship), Malaya dan China dengan warganegara China sebagai warganegara utama. Ada satu kumpulan orang Cina di Pulau Pinang yang tidak mahu Pulau Pinang merdeka dalam Tanah Melayu. Mereka mahu kekal di bawah jajahan British seperti Hong Kong.

Oleh sebab British menjajah Tanah Melayu daripada orang Melayu, logiknya ia dipulangkan kepada orang Melayu (seperti Brunei). Tetapi, orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu. Hasil tolak ansur persetujuan dicapai. Kandungannya tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, kerakyatan diberi kepada orang bukan Melayu.

Beberapa perkara yang dituntut oleh orang Melayu seperti, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, jaminan mengenai “hak keistimewaan orang Melayu” (Perkara 153), Regimen Askar Melayu dan Tanah Simpanan Melayu juga dipersetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam PRU 1955, kawasan majoriti pengundi Melayu diberi kepada calon bukan Melayu daripada parti komponen Perikatan untuk bertanding bagi melebihkan bilangan ahli Parlimen bukan Melayu. Amalan ini berterusan untuk memastikan mereka mencapai kemenangan, sebab jika mereka bertanding dalam kawasan majoriti bukan Melayu (Cina), mereka akan kalah.

Sebaliknya, Perikatan atau Barisan Nasional tidak pernah meletak calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu, sebab pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi calon Melayu. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu merdeka.

Pada malam itu warganegara bertambah sekali ganda, akibat orang bukan Melayu menjadi warganegara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah sebanyak 84.2 peratus, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun selepas merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1 peratus.

Pas menentang penubuhan Malaysia, apatah lagi Singapura, kerana khuatir akan menjejas hak orang Melayu dan kududukan agama Islam. Selama lebih kurang tiga dekad selepas penubuhannya, Pas telah memainkan peranan yang berfaedah kepada bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Pas tidak terlalu besar untuk menjadi ancaman kepada UMNO di peringkat Persekutuan. Pengaruhnya tertumpu di Pantai Timur. Tidak ada perbezaan kepada orang Melayu dan agama Islam sama ada UMNO atau Pas memerintah Kelantan. Lagi pula, adanya Pas menyebabkan UMNO lebih berhati-hati berkenaan isu Melayu dan Islam.

Selama lebih kurang lima dekad semenjak merdeka, kecuali dalam 1969, tidak ada cabaran serius terhadap hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Sebabnya, sebilangan besar orang Melayu menyokong UMNO, kerajaan Persekutuan teguh di bawah Barisan Nasional dan UMNO dapat mengawal parti-parti sekutunya daripada membuat tuntutan-tuntutan yang melampau.

Negara aman dan makmur. Semua orang menikmati taraf kehidupan (standard of living) yang lebih tinggi.Keadaan berubah dalam masa lebih kurang sepuluh tahun kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah tiga.

Melihat keadaan itu, orang Cina yang memang pandai membuat perkiraan dan pakatan, bersatu di belakang DAP. PKR dan Pas setuju bekerjsama dengan DAP. Akibatnya, pengundi bukan Melayu menjadi suara penentu dalam pilhan raya.

Merasai mereka telah kuat, orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, mula membuat tuntutan-tuntutan yang melampau dan mencabar hal-hal mengenai agama Islam, termasuklah khutbah Jumaat.

Mereka tidak puas hati dengan “keistimewaan” yang dinikmati oleh orang Melayu. Mereka mahu semuanya dibahagikan secara “sama rata”. Mereka tahu jika dibuat demikian, merekalah yang akan membolot segala-galanya kerana mereka mengawal ekonomi, kaya dan lebih maju dalam semua bidang. Sebenarnya mereka mahu hak orang Melayu tanpa mengorbankan hak mereka.

Jika Pakatan Rakyat (termasuk Pas) dapat menubuh kerajaan di peringkat Persekutuan, DAP yang akan menjadi parti dominan. PKR tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dipandang serius oleh DAP.

Pas lagilah tidak akan “didengar” oleh DAP. Kerajaan Pakatan Rakyat semestinya akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Orang Cina bersatu di belakang DAP kerana DAP menjanjikan sesuatu yang lebih dan kerana mereka mahu lebih daripada yang mereka peroleh di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Dari mana bahagian “yang lebih” itu akan datang? Semestinya daripada bahagian orang Melayu.

Mungkin mereka tidak akan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja (di mana diperlukan) untuk meminda Perlembagaan. Sambil itu kita mesti waspada tentang kemungkinan mereka akan melakukan perubahan kepada kawasan Parlimen dengan menambah bilangan kerusi di kawasan Cina yang padat penduduknya.

Namun demikian, perlu diingat bahawa hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam boleh dihakiskan secara pentadbiran sahaja.

Sebagai misalan, peruntukan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan hanya memberi manfaat jika dan apabila kerajaan yang memerintah melakukan sesuatu untuk meletakkan agama Islam di tempat yang sesuai dengan kedudukan itu.

Apa yang kita lihat hari ini, baik universiti-universiti, institusi-institusi dan jabatan-jabatan Islam; institusi-institusi kewangan Islam dan pembangunan perbankan dan kewangan Islam; pengajaran mata pelajaran agama Islam dari tadika hingga ke universiti, masjid-masjid, rancangan-rancangan agama di televisyen dan radio dan serta lain-lain adalah hasil daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selama ini. Jika tidak dilakukan, tidak akan ada apa-apa, hanya peruntukan dalam Perlembagaan.

Manfaat

Demikian juga dengan peruntukan mengenai hak-hak orang Melayu. Jika kerajaan yang memerintah tidak berbuat apa-apa, tidak ada apa yang akan dinikmati oleh orang Melayu.

Kita menikmati faedahnya hari ini kerana kerajaan telah mengadakan berbagai-bagai rancangan seperti Dasar Ekonomi Baru dan menubuhkan pelbagai badan seperti Permodalan Nasional Berhad, Skim Amanah Saham Nasional, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Mara, Felda, RISDA, Felcra, UDA, Pernas, DARA, Jengka, Ketengah, Kesedar dan lain-lain.

Kerajaan juga telah menetap dan melaksanakan dasar mengenai pemberian biasiswa, pengambilan pegawai-pegawai kerajaan dan lain-lain. Tanpa ini semua, peruntukan-peruntukan itu tidak bermakna.

Semenjak merdeka, melalui dasar dan tindakan kerajaan Perikatan dan, kemudiannya Barisan Nasional, orang Melayu/Islam telah menikmati faedah peruntukan-peruntukan itu. Saya tidak fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan atau akan dapat melakukan perkara yang sama.

Ertinya, hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam akan terhakis jika kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO, tumbang.

Demi mengelak perkara itu berlaku, kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan mestilah dipertahankan. Pada pendapat saya cara yang paling mudah ialah: Jika selepas PRU-14, didapati kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan akan tumbang, Pas hendaklah menyertai kerajaan Barisan Nasional, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan untuk menyelamatkannya.

Pas mesti sedar bahawa kerjasama dengan DAP dan PKR akan mengorbankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Pas perlu sedar bahawa, dalam konteks Malaysia, apa yang menguntungkan orang Melayu akan menguntungkan umat Islam dan apa yang merugikan orang Melayu akan merugikan umat Islam. Demikian juga, apa yang menguntungkan umat Islam akan menguntungkan orang Melayu dan apa yang merugikan umat Islam akan merugikan orang Melayu,

Sebenarnya, pada masa ini, antara UMNO dan Pas sudah tidak ada apa-apa perbezaan ideologi lagi untuk menghalang kerjasama itu. Yang menjadi penghalang hanyalah kekhuatiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong masing-masing jika kerjasama itu akan menggugat kepentingan diri mereka.

Selain daripada itu adalah isu-isu yang dipolitikkan kerana mudah, murah dan popular untuk membezakan UMNO dengan Pas dan memancing undi, misalnya assabiah dan hudud.

Pas telah memerintah Kelantan selama lebih kurang 40 tahun. Apa bezanya Kelantan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia? Undang-undang yang dipakai di Mahkkamah Syariah di Kelantan seperti Enakmen Acara Mal, Enakmen Acara Sivil dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dibuat semasa pemerintahan Barisan Nasional dan saya menjadi Penasihat Undang-Undangnya.

Memang ia telah diganti tetapi, dari segi isi kandungannya, itu hanya pengemaskinian yang dilakukan untuk menyelaraskan dengan undang-undang yang dipakai di negeri-negeri lain yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Jika Kelantan “lebih Islam” daripada negeri-negeri lain dan orang Kelantan mahu berada dalam sebuah “negara Islam”, mengapa orang Kelantan yang paling banyak berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mencari makan?

UMNO juga perlu menangani masalah persepsi rasuah yang tinggi dalam kalangan pemimpinnya, faktor utama mengapa orang Melayu “bencikan” UMNO, sama ada persepsi itu betul atau tidak.

Maka, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas yang sama-sama Melayu dan Islam, yang sama-sama untung dan rugi, perlulah menumpukan perhatian kepada ancaman besar yang berada di hadapan mereka, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Mereka patutlah mengetepikan dahulu perbezaan yang diada-adakan untuk tujuan politik dan menumpukan usaha untuk menyelamatkan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Dengan cara yang saya cadangkan ini, UMNO dan Pas masing-masing boleh kekal seperti sekarang sebagai parti politik yang berasingan. (Saya tidak nampak kemungkinan Pas menyertai Barisan Nasional dalam masa yang terdekat.) Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, Pas patut keluar dari Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat merugikan orang Melayu dan umat Islam. Di peringkat negeri, Pas boleh bertanding bersendirian. Pas boleh memerintah negeri-negeri yang dimenanginya secara bersendirian.

Tetapi, untuk mengelak sesebuah negeri terjatuh kepada DAP dan PKR, misalnya Perak, Pas patut bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk menubuh kerajaan campuran. Di peringkat Persekutuan, Pas boleh memilih untuk menyertai Kabinet dan duduk bersama wakil-wakil rakyat Barisan Nasional di Parlimen.

Atau, mereka tidak menyertai Kabinet dan duduk berasingan di Parlimen seperti ahli-ahli “bebas” tetapi, dalam isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, mereka akan menyokong kerajaan Barisan Nasional.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD - PENULIS ialah bekas Ketua Hakim Negara

Suara Politik
Belantan

Rabu, Jun 24, 2015

Krisis Pas - DAP : Azmin bincang dengan Sultan Selangor?


SHAH ALAM - Menteri Besar, Mohamed Azmin hari ini me­ngadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain mengadakan perbincangan dengan ba­ginda di Istana Bukit Kayangan di sini, ketika pentadbiran pakatan pembangkang termasuk negeri ini sedang berhadapan kemelut politik akibat pergeseran di antara Pas dan DAP.

Mohamed Azmin sebelum itu hadir di istana berkenaan bagi me­ngiringi baginda sempena istiadat penyerahan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie Selangor; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor; Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah Se­langor dan para Pendaftar serta Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Bagaimanapun, Mohamed Az­min kemudiannya menghadap dan mengadakan perbincangan hampir satu jam dengan Sultan Selangor selepas istiadat tersebut selesai kira-kira pukul 12 tengah hari ini.


Namun, tidak dapat disahkan sama ada perbincangan tersebut melibatkan isu politik semasa yang melanda pakatan pembangkang ketika ini atau sebaliknya. Pada 18 Jun lalu, Mohamed Azmin menegaskan adalah tidak adil untuk mengheret institusi ke­sultanan dalam krisis politik kerana beliau tidak ada keperluan untuk menjelaskan isu tersebut kepada baginda.

Kenyataan itu dibuatnya selepas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pada Khamis lalu menyatakan Menteri Besar Selangor itu akan menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PKR itu susulan krisis dalam pakatan pembangkang.

Menurut Rafizi, ia membolehkan penjelasan sebenar situasi politik diberi dengan teliti kepada Sultan Selangor selain untuk pengetahuan rakyat negeri ini susulan DAP sebelum ini mengumumkan bahawa ikatan politik pakatan pembangkang yang dimulakan pada 2008 sudah tidak lagi wujud, berikutan usul muktamar Pas lalu yang memutuskan hubungan dengan parti itu.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Jun 23, 2015

Ada kemungkinan kah Pas dan DAP akan 'merujuk' semula?


Masihkah ada sinar di sebalik 'awan hitam' yang menyelubungi Pas dan DAP?

Persoalan ini pastinya antara perkara yang bermain diminda rakyat khususnya pemerhati politik ekoran kemelut yang melanda PR ini kian parah, sekali gus menyaksikan Pas dan DAP 'berpatah arang, berkerat rotan'.

Hubungan yang dibina sejak 1 April 2008 atas nama PR dengan tujuan untuk 'membela kebajikan rakyat' kini lumpuh. Ia seakan-akan kehilangan nakhoda, selepas ketiadaan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan liwat.

Seperti yang diketahui banyak pihak sebelum ini, keutuhan dan kesepaduan serta masa depan PR sebenarnya banyak bergantung kepada Anwar, yang memainkan peranan sebagai orang tengah kepada Pas dan DAP khususnya dalam membina kepercayaan antara kedua parti itu.

Sebelum ini, Pas dan DAP pernah bersama dalam Barisan Alternatif (BA) pada 1999 bersama dua parti lain iaitu Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Lantaran tidak bersetuju dengan dasar Pas memperjuangkan penubuhan negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001 manakala Keadilan dan PRM bergabung membentuk PKR pada 2003.

Kini nasib yang sama bakal dilalui PR seolah-olah mengulangi episod hitam yang pernah berlaku semasa BA.

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata sesebuah pakatan yang dibentuk tidak sepatutnya tertumpu kepada ketokohan seseorang pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai matlamat akhir yang sama.

"Dalam konteks PR, memang benar Anwar adalah gam yang menyatukan tiga parti dan tanpanya, pakatan akan berpecah. Persoalannya, sampai bila nak guna Anwar?," katanya.

Keretakan bermula apabila DAP memutuskan hubungan dengan Pas di Sabah dan Sarawak ekoran isu hudud dan kemudiannya memutuskan hubungan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi masih kekal bekerjasama dengan Pas.

Pas kemudian menerusi satu usul tergempar Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi kekal bersama pakatan pembangkang. Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas pada Muktamar tahunan Pas ke-61 pada awal bulan ini.

Rentetan itu, pada 16 Jun Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng mengisytiharkan bahawa PR tidak lagi wujud. Guan Eng berkata keputusan muktamar Pas untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.

Terpaksa menelan pahit keputusan rakan sekutunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada keesokan hari mengakui PR tidak lagi berfungsi secara formal.


Penganalisis politik berpendapat bahawa kewujudan PR yang longgar belum mampu membentuk pakatan atau gabungan yang mantap untuk menjadi parti alternatif kepada BN.

Mohd Izani berkata, kemungkinan untuk Pas-DAP 'berbaik' itu ada kerana ia melibatkan soal strategi politik yang akan menentukan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Jika kemungkinan 'berbaik' itu ada, apakah yang berlaku ketika ini satu drama sekadar untuk menarik perhatian umum?

"Pas menerima hakikat bahawa kerjasama politik adalah penting dan sebab itulah walaupun mereka memutuskan hubungan dengan DAP, (tetapi) mereka masih nak kekal bekerjasama dengan PKR.

"Pas juga tidak mustahil bekerjasama semula dengan DAP sekurang-kurangnya dengan membentuk pakatan pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara (BN, Pas dan DAP)," katanya kepada Bernama.

Ibarat cinta tiga segi, pastinya yang tersepit dalam hubungan ini ialah PKR yang sudah tentu memerlukan Pas dan DAP untuk memastikan parti itu terus mendapat laba hasil daripada kerjasama politik itu.

Bekas Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali pada 18 Jun lepas dilapor sebagai berkata Pas tidak boleh bergerak sendirian jika tidak bersefahaman dengan rakan pakatan pembangkang lain untuk merealisasikan hasrat menumbangkan kerajaan BN, lantas merampas Putrajaya.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lepas menegaskan PR masih wujud dan belum berkubur biar pun rakan sekutunya DAP mengisytiharkan pakatan itu tidak lagi wujud.

Pensyarah itu berkata apa jua keputusan yang dihasilkan ketika muktamar cerminan suara akar umbi Pas.

"Jangan pandang rendah terhadap mereka (akar umbi). Mereka ini sangat mengambil berat akan hala tuju dan jati diri Pas," katanya.

Mohd Izani melihat sekali pun diwujudkan pakatan pembangkang yang baharu, jika konsep 'equal partner' masih lagi digunakan, ia tidak akan mampu membentuk pakatan yang kukuh.

'Equal partner' merujuk kepada pemberian kerusi menteri besar kepada PKR dalam konteks Selangor meskipun kerusi Dun tertinggi dimiliki Pas dan DAP, masing-masing memiliki 15 daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi Dun.

PKR pula hanya memiliki 13 kerusi, BN (12) dan Bebas (satu). Selain Selangor yang diterajui PKR, Kelantan dikemudi oleh Pas dan Pulau Pinang ditadbir DAP.

Bagi Dun Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, DAP menguasai 19 kerusi, PKR (10), BN (10) dan Pas (satu) manakala Dun Kelantan yang mempunyai 44 kerusi, 31 daripadanya dikuasai Pas, BN (12) dan PKR (satu).

"Ternyata konsep equal partner tidak berjaya dalam PR," kata Mohd Izani.

Beliau menegaskan bahawa meskipun tanpa Pas, cadangan penubuhan sebuah parti politik baharu oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai idea pembentukan pakatan pembangkang yang baharu oleh DAP tidak mampu membentuk pakatan yang jitu.

"PasMa adalah parti serpihan Pas dan tidak akan boleh bertahan lama. Ia sekadar mampu menjadi platform mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas sahaja.

"PasMa memang mudah untuk menjalinkan kerjasama, tetapi persoalannya, bagaimana pula dengan akar umbi Pas? DAP dan PKR pun sangat bergantung dengan jentera dan tenaga kerja Pas. Sebab itu pakatan pembangkang perlukan model kerjasama politik yang kukuh," katanya.

Beliau menegaskan walaupun amat sukar diterima, hakikatnya DAP masih memerlukan Pas memandangkan teras politik negara adalah orang Melayu.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Jun 22, 2015

Najib akan panggil Palanivel beri penjelasan?


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil Presiden MIC, G. Palanivel kerana menyalahkannya dalam krisis parti India itu.

Najib melalui tulisan terbarunya di akaun Facebook miliknya sebentar tadi memberitahu Palanivel tidak sewajarnya menyalahkan mana-mana pihak dalam masalah dalaman parti itu.

Sebaliknya tulis Perdana Menteri lagi, pemimpin India itu perlu patuh kepada keputusan mahkamah dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dalam menyelesaikan kemelut pemilihan parti itu.

"Saya akan panggil Datuk Seri Palanivel untuk menjelaskan komennya yang dilaporkan di PWTC.

"Beliau (Palanivel) sepatutnya berhenti menyalahkan pihak lain, dan perlu menerima keputusan mahkamah dan ROS," tulisnya dalam akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.

Semalam, Palanivel dalam ucapannya pada Perhimpunan Khas MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyalahkan Najib kerana menyebelahi RoS yang membatalkan pemilihan parti itu pada 2013.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Jun 21, 2015

Berapa lama kerajaan Selangor mampu bertahan?


Perceraian antara Pas dan DAP yang menghancurkan hubungan kerjasama dalam pakatan rakyat setakat ini tidak menjejaskan kedudukan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor, namun kelangsungan pemerintahan kerajaan pimpinan PKR itu masih berdepan cabaran besar.

Kerajaan Selangor dilihat tetap boleh berfungsi seperti biasa tetapi hanya dengan pentadbiran yang kurang efektif.

Demikian pandangan beberapa penganalisis politik dengan situasi politik semasa di Selangor lebih-lebih lagi dengan Pas dan DAP masing-masing menguasai 15 kerusi dalam Dun, sedangkan PKR hanya dengan 13 kerusi.

Apabila Pas dan DAP tidak lagi mampu duduk semeja, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, kini perlu lebih berhati-hati dalam percaturan politiknya untuk menguruskan kerajaan campuran ketiga-tiga parti politik itu.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PKR perlu bijak membuat percaturan bagi memastikan ia terus mendapat sokongan untuk menerajui pentadbiran Selangor.

"Ramai melihat kedudukan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar tidak mungkin terjejas dengan berakhirnya riwayat pakatan. Namun, adalah tidak mustahil bahawa pilihan raya negeri mungkin tidak dapat dielakkan di Selangor," katanya kepada Bernama.

Dun Selangor mempunyai 56 kerusi, Pas (15), DAP (15), PKR (13), BN (12) dan Bebas (1). Kerajaan pimpinan PKR kini dibentuk dengan 43 kerusi gabungan DAP, Pas dan PKR.

Dr Mohd Azizuddin berkata, jika Azmin terpaksa membuat pilihan di antara DAP atau Pas dan beliau memilih untuk bersama DAP, dan menerima anggota serpihan daripada Pas yang mungkin beralih arah, maka beliau akan mengeruhkan hubungan PKR dengan Pas.

“Jika semua 15 wakil rakyat Pas memutuskan untuk tidak menyokong pimpinan Azmin kerana tidak lagi boleh 'bertentang mata' dengan wakil rakyat DAP, kerajaan pimpinan PKR akan hilang majoriti.

“Situasi ini boleh berlaku kerana gabungan kerusi DAP dan PKR hanya berjumlah 28, sekaligus menyamai jumlah kerusi pembangkang BN dan Pas termasuk kerusi milik bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini berfungsi sebagai Adun Bebas yang menyokong BN.

Sekiranya senario itu berlaku, Mohamed Azmin perlu mendapatkan kembali sokongan untuk membentuk kerajaan sekurang-kurangnya dengan majoriti mudah, iaitu mendapatkan sokongan 29 Adun.

"Keadaan Azmin juga akan terjejas sekiranya ada wakil rakyat yang bertindak membawa usul undi tidak percaya terhadap pimpinannya di Dun dan jika usul itu diterima, kedudukan beliau akan goyah kerana situasi itu memungkinkan adanya pilihan raya negeri," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, kerajaan PKR Selangor masih boleh berfungsi jika wakil rakyat kedua-dua parti bertelagah itu masih kekal di dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.

"Namun oleh kerana tiada lagi permuafakatan di antara DAP dan Pas, wakil rakyat kedua-dua parti itu mungkin bergerak sebagai individu dan tidak menyuarakan pandangan yang mewakili parti masing-masing," katanya.

Beliau berkata, apabila keadaan itu berlaku, pentadbiran kerajaan negeri akan menjadi kurang efektif kerana setiap keputusan bukanlah secara kolektif seperti ketika ketiga-tiga parti itu berada di dalam pakatan. – Bernama

Suara Politik
Belantan

Krisis DAPas : 'Game' DAP bunuh PR?


DAP yang memulakan permainan politik ini dan parti itu juga yang membunuh PR, kata Naib Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Menurutnya, DAP terus memfitnah Pas meskipun semua isu yang dibangkitkan termasuk berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan sudah dijawab parti Islam itu.

"DAP telah membuat keputusan bahawa PR sudah tidak lagi wujud atau mati. Saya melihat ini satu ‘game’ yang telah lama dimulakan oleh DAP dengan mengambil kesempatan dalam beberapa isu intra koalisi PR serta berterusan menyerang peribadi Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Dakwaan kerjasama dengan Umno, pertukaran Menteri Besar Selangor serta implementasi Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan...menunjukkan bahawa segala isu yang dibangkitkan telah dijawab oleh Pas.

"Namun DAP masih terus memfitnah Pas dan Presiden secara khususnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Katanya, susulan tindakan melampau DAP selama ini, Dewan Ulama Pas membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

"Parti tersebut juga telah mengambil keputusan drastik sebelum ini dengan membatalkan kerjasama politik di Sarawak, Sabah dan terakhir memutuskan hubungan dengan Presiden Pas pada 24 Mac lalu.

"Kemudian, DAP secara konsisten menyerang hampir setiap hari dan mencampuri urusan dalaman pemilihan Pas menjelang muktamar yang lalu.

"Tindakan-tindakan melampau DAP inilah yang memaksa Dewan Ulama Pas Pusat membuat reaksi dan mengusulkan satu usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan DAP dan kekal di dalam PR. Walau bagaimanapun, ia dengan syarat mendapat persetujuan daripada Masjlis Syura Ulama," katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau menyifatkan DAP gopoh dan terburu-buru dalam menyerang Pas.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Jun 20, 2015

Kit Siang pelik Hadi kata PR masih wujud?


Penasihat DAP, Lim Kit Siang melahirkan rasa pelik apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PR masih wujud sedangkan pemimpin parti Islam itu yang ‘merosakkan’ perikatan pembangkang itu.

Menurutnya, kerana sikap Abdul Hadi yang mengkhianati kerjasama mereka selama ini telah menyebabkan PR tidak berfungsi dengan baik sejak setahun lalu.

“Tapi saya pelik apabila Hadi dakwa PR masih wujud apabila beliau telah merosakkan PR dengan mengkhianati kerangka kerjasama PR juga dasar konsensus PR.

“Hasilnya, Majlis Pimpinan PR tidak dapat berfungsi setahun lalu menyebabkan PR hanya wujud pada nama sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Semalam, Abdul Hadi Awang menyifatkan PR masih lagi wujud apabila masih ada kerjasama di antara Pas dan PKR, walaupun DAP mengisytiharkan gabungan tersebut sudah berakhir kerana pakatan itu ditubuhkan atas dasar kerjasama dan kesepakatan tiga parti dan apa sahaja keputusan perlu dicapai secara bersama, bukannya secara bersendirian.

Dalam kenyataan sama, Kit Siang memberitahu meskipun tiada lagi PR, matlamat rakyat Malaysia dapat dicapai dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya tidak mahu membincangkan secara terperinci kerana kami mahu teruskan perjuangan dan berpegang pada harapan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan bagi memastikan walaupun tiada lagi PR, kerangka kerjasama PR untuk perpaduan negara, keadilan dan kemakmuran rakyat Malaysia kekal dicapai dalam PRU14,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Jun 19, 2015

Benarkah Pas tidak akan tinggalkan kerajaan PKR Selangor?


Pas tetap dengan pendirian untuk tidak akan sekali-kali meninggalkan kerajaan PKR Selangor meskipun parti itu kini telah terputus hubungan dengan satu lagi sekutunya, DAP.

Bekas Setiausaha Agung Pas yang kini Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, semua pemimpin Pas terutama Exco negeri itu telah diarah supaya jangan sekali-kali meninggalkan kerajaan negeri, sebaliknya akan terus bersama mentadbir Selangor.

Malah jelas beliau, Pas sejak dahulu lagi terutama sewaktu krisis Menteri Besar Selangor di bawah pemerintahan Tan Sri Khalid Ibrahim masih bersama-sama dalam kerajaan negeri, sekali gus berjaya menyelamatkan kerajaan Selangor.

“Pendirian Pas Pusat sendiri mahu supaya Pas Selangor jangan tinggalkan kerajaan Selangor dan Pas tak pernah tinggalkan kerajaan Selangor. Dulu pun ketika semasa Tan Sri Khalid pecat semua Exconya, Pas masih dalam Exco dan mereka selamatkan kerajaan Selangor.

“Kalau Pas tinggalkan Selangor dan tiada dalam kerajaan itu (Selangor), tiada lagi kerajaan,” katanya dalam sidang media khas di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Terengganu di sini hari ini.

Ada pihak membayangkan jika Pas dan DAP masih bersama dalam kerajaan Selangor dan PKR mengambil jalan selamat dengan terus bekerjasama dengan kedua-duanya, keadaan itu boleh mencetuskan suasana politik tidak stabil dan penuh hipokrit.

Ketika Pas mengumumkan pendiriannya itu, timbul desas-desus bahawa kemungkinan sebilangan pemimpinnya akan ‘beralih arah’ jika parti alternatif diwujudkan bagi menggantikan Pas dalam pakatan pembangkang.

Mustafa berkata, keadaan di Selangor berbeza dengan di Pulau Pinang kerana Pas hanya mempunyai satu kerusi dalam kerajaan negeri yang diterajui DAP, menyebabkan mereka boleh diperlekehkan.

Beliau memberitahu, DAP lebih bergantung kepada PKR dan bukan Pas untuk memerintah Pulau Pinang dan atas faktor itu, DAP tidak boleh sewenang-wenang mengambil mudah terhadap sokongan PKR.

“DAP jangan pula cakap mereka tak bergantung kepada PKR, jangan. Kalau PKR pull out kerajaan (Pulau Pinang) jatuh. Dengan Pas bolehlah cakap (DAP pandang rendah Pas) sebab Pas ada satu kerusi saja,” katanya.

Beliau seterusnya berpendapat, Pas masih dalam pakatan pembangkang bersama-sama PKR dalam meneruskan perjuangan politik hasil hubungan melalui pembentukan Barisan Alternatif pada 2001.

“Berdasarkan pengalaman dalam Barisan Alternatif pada 2001, Pas dengan DAP masih berjalan. Tapi DAP tak nak dah dan kita tak boleh paksa orang yang tak nak. Oleh kerana DAP dah putuskan semua sekali dengan Pas maka macam mana kita nak kahwin kalau orang tak nak dengan kita,” katanya.

Mustafa turut mengakui Pas tentu berdepan kesukaran sekiranya bergerak bersendirian PKR manakala tiada parti mampu memerintah negara tanpa bantuan dan kerjasama parti-parti lain.

Ditanya kemungkinan Pas bersedia bergabung dengan UMNO selepas ini, beliau bagaimanapun berkata, perkara itu tidak berbangkit apatah lagi ketika ini UMNO dilanda kemelut dan konflik kepemimpinan.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Jun 15, 2015

Teguran saya dapat maklum balas kasar dari menteri?


JOHOR BAHRU - Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia, ujar Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Mahkota Johor berkata, dia hanya mengingatkan para pemimpin negara ini bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat, sebaliknya dirinya diserang kerana peringatan itu.

"Kebelakangan ini, saya hanya menyuarakan pandangan supaya mereka yang diberikan amanah jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda.

"Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?

"Anda seorang menteri tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat," katanya seperti dipetik dalam laman sosial Johor Southern Tigers di sini hari ini.

Tunku Ismail berkata, dalam aturan dunia yang baru, dia membayangkan masa depan di mana setiap orang mempunyai hak menyuarakan pendapat masing-masing.

"Namun keadaan di Malaysia pada hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur. Saya rela dicemuh untuk mempertahankan perkara yang benar daripada disanjung untuk membela perkara yang salah.

"Saya bukan ahli politik. Saya hanya bertanggungjawab kepada ALLAH, Sultan saya, dan rakyat Johor. Saya bukannya menjalankan suruhan seperti boneka.

"Johor hanya mempunyai tempat bagi mereka yang mahu berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mereka yang mahu meraih undi demi kepentingan peribadi," katanya.

Beliau berkata, akan tiba suatu masa, di mana rakyat Johor perlu membuat keputusan demi kebaikan masa depan kita dan generasi yang akan datang.

Katanya, semua rakyat Johor akan bersatu dan membuat keputusan tersebut sebagai Bangsa Johor, untuk menempa masa depan kita.

"Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya berdiri untuk rakyat saya, bukan untuk merebut kuasa, bukan untuk menumbangkan kerajaan, tetapi untuk menjaga kesejahteraan rakyat saya.

"Saya tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletak jawatan, hanya sekadar memberi ingatan kepada ahli politik berkenaan peranan dan tanggungjawab mereka.

"Sekiranya perkara seperti itu pun anda tidak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda," katanya.

Tunku Ismail mengakui boleh hidup dalam dunia dan kehidupannya yang selesa tanpa memikirkan permasalahan rakyat, namun memilih itu berbuat perkara sebaliknya.

"Alhamdulillah, saya telah dikurniakan dengan kehidupan yang selesa. Kalau hendak diikutkan, saya boleh hidup dalam dunia saya sendiri tanpa menghiraukan permasalahan rakyat, tetapi saya di sini berdiri teguh bersama mereka.

"Jadi kepada mereka yang ingin mencemar imej saya dan menjadikan saya musuh awam nombor satu, sesungguhnya rakyat lebih bijak dan mampu menilai sendiri," katanya.

Tunku Mahkota Johor turut menegaskan agar tiga menggunakannya untuk mengalihkan tumpuan daripada isu 1MDB dan isu-isu nasional yang lain.

"Negara ini memerlukan ahli politik yang bersih dan telus, yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan keikhlasan dan integriti," katanya.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Jun 14, 2015

DAP terus tekan Pas?


DAP sekali lagi memberi peringatan kepada Pas dengan menegaskan Kerajaan DAP Pulau Pinang masih stabil dan tidak terjejas tanpa penyertaan atau penglibatan wakil Pas dalam kerajaan negeri.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, wakil Pas dalam kerajaan DAP Pulau Pinang dilantik atas kesudian bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri dan berikrar de­ngan setia akan menerima arahan serta melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri.

Sehubungan itu, katanya, keputusan pimpinan baharu Pas memutuskan hubungan dengan DAP akan menyentuh prinsip tersebut yang mempunyai impak terbesar ke atas empat wakil Pas yang me­rupakan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

"Ini disebabkan mereka akan terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Ketua Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Chow Kon Yeow," katanya dalam satu ke­nyata­an di sini hari ini.

Kenyataan terbaharu itu dilihat seolah-olah gesaan berterusan DAP supaya pimpinan baharu Pas mengarahkan ahli mereka me­letak­kan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan agensinya.

Perkara itu berikutan tindakan Muktamar Pas ke-61 baru-baru ini yang meluluskan tanpa bahas usul Dewan Ulama yang menggesa parti itu dan Majlis Syura Ulama memutuskan hubungan de­ngan DAP.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan Dewan Ulama Pas meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP dalam muktamar parti itu pada awal bulan lalu telah ‘membunuh’ pakatan pembangkang.

Pada masa sama, beliau turut menyanggah dakwaan DAP yang menjadi punca pakatan itu kini sudah berada pada tahap kebinasaan.

“Selepas Muktamar Pas, pakatan pembangkang sudah ‘dibu­nuh’. Sekarang kita dalam peringkat kebinasaan dan apa kedudukan kita dalam pakatan, lihat bagaimana kebinasaan ini berlaku,” kata kepada pemberita di Gua Musang, Kelantan, hari ini.

Kit Siang berkata, pakatan pembangkang perlu memperbetulkan kembali kuasa politik bagi meneruskan agenda perpaduan Malaysia agar negara terus makmur dan rakyat mendapat keadilan sewajarnya.

Suara Politik
Belantan