Sabtu, Julai 04, 2015

DAP sudah minoriti, perlu bubar DUN?


PULAU PINANG – Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng perlu menjelaskan kepada rakyat negeri ini bagaimana parti itu masih mahu mengekalkan kuasa pentadbiran dalam kedudukannya sebagai ‘minoriti’.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, adalah mengelirukan bagaimana DAP masih boleh terus mentadbir negeri ini ketika hubungan parti itu dengan Pas sudah terputus manakala 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR pula dalam keadaan tergantung.

Malah menurut beliau, keadaan itu semakin merumitkan selepas DAP mengumumkan kerajaan negeri hari ini hanya dikenali sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang, bukan lagi sebuah negeri pakatan pembangkang.

“Kuasa rakyat negeri ini kepada kerajaan pakatan pembangkang adalah atas dasar kerjasama antara DAP, Pas dan PKR, bukannya sesuka hati boleh ditukar kepada sesebuah parti secara berasingan atau kepada nama baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rahmad Isahak

Beliau mengulas tindakan Guan Eng hari ini yang memaklumkan kerajaan negeri hari ini dikenali sebagai kerajaan negeri Pulau Pinang, bukan lagi kerajaan pakatan pembangkang.

Keputusan itu ekoran tindakan Pas menerusi muktamar parti tersebut baru-baru ini yang memutuskan hubungan dengan DAP diikuti dengan pengumuman pakatan pembangkang sudah berkubur oleh Guan Eng.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, tindakan DAP mengekalkan satu-satunya wakil Pas dalam kerajaan negeri tetapi dalam masa sama memutuskan hubungan dengan parti itu juga mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Katanya, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada wakil Pas berkenaan hanya dikekalkan untuk meraih sokongan orang Melayu di negeri ini.

Dalam pada itu kata beliau, bersandarkan kepada undang-undang, DAP yang berbekalkan 19 kerusi sepatutnya sudah hilang kuasa majoriti untuk memerintah sekiranya PKR membuat pendirian meneruskan pakatan pembangkang bersama Pas.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: