Sabtu, Disember 27, 2014

PM : Main golf demi hubungan diplomasi!


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan aktiviti bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Hawaii baru-baru ini tidak bermakna beliau sengaja mengabaikan bencana banjir di negara.

Sebaliknya, beliau memberitahu, aktiviti itu telah dirancang atas dasar menjalinkan hubungan diplomasi dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mendatangkan manfaat kepada Malaysia.

Jemputan itu, kata Najib, telah disampaikan sewaktu Obama melawat negara ini April lepas dan amat sukar untuk beliau menolaknya kerana ia telah dirangka lebih awal dalam jadual kedua-dua pihak.

Najib juga menyatakan beliau sering memantau keadaan banjir di Pantai Timur dan apabila keadaan tampak bertambah buruk, beliau segera memendekkan cuti dan kembali untuk melihat sendiri keadaan tersebut.


Najib tinjau keadaan banjir di Kelantan

Dalam pada itu Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meninjau beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir di Kelantan.

Perdana Menteri menaiki helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninjau antaranya jajahan Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Beliau turut bertemu mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, Tumpat dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di Tanah Merah.

Perdana Menteri kelihatan mendengar suara hati rakyat yang meliputi keluhan, rintihan dan harapan ketika berjumpa mereka.

Mengetepikan protokol, Najib turut makan apa yang dimakan oleh mangsa-mangsa banjir serta minum apa yang mereka minum.


PM umum 3 langkah tambahan bantu mangsa banjir

PM juga mengumumkan tiga langkah tambahan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Menurut beliau, langkah pertama ialah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500 juta menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Langkah kedua ialah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sepatutnya dibayar hujung bulan Januari dipercepatkan kepada pertengahan bulan Januari.

“Langkah ketiga pula meminta agensi serta institusi berkaitan kewangan supaya membuat penjadualan semula pinjaman mangsa yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau ditemani Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meluangkan masa melawat mangsa dan meninjau keadaan banjir di Tumpat dan Rantau Panjang.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: