Ahad, Disember 14, 2014

Nampaknya Pas semakin terhimpit?


Sejak awal lagi, banyak pemerhati politik beranggapan kerjasama dalam pakatan pembangkang hanyalah sandiwara politik kelas tertinggi. Tiga buah parti yang mempunyai ideologi berbeza sanggup bersikap hipokrit dan berpura-pura, berusaha menyatukan hati mereka semata-mata mahu berkuasa dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Sebenarnya kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas amat memahami dengan pegangan dan hala tuju politik berbeza, kerjasama yang diwujudkan atas nama 'Pakatan Rakyat’ tidak akan ke mana. Apabila tiba masanya, ia akan berderai juga.

Mana mungkin sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan berpegang kepada al-Quran serta sunah dalam perjuangannya boleh berada dalam satu kepompong dengan parti yang terang-terang menolak perjuangan Islam dan sanggup bersedia melakukan apa sahaja asalkan boleh memerintah negara ini.

Sepanjang gabungan tiga parti yang dianggap 'dari planet berbeza’, Pas dilihat terus menjadi mangsa. Dari semasa ke semasa ada sahaja isu yang dicetuskan oleh kepimpinan PKR dan DAP sehingga meletakkan Pas tersepit dan terhimpit.

Situasi bertambah buruk bagi Pas apabila seolah-olah tiada perasaan hormat terhadap kepimpinan Pas biarpun pemimpin-pemimpin parti itu bukanlah calang-calang ahli politik. Siapa yang tidak dikenal Datuk Seri Abdul Hadi Awang?


Siapa yang tidak tahu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat? Siapa yang tidak hormat kepada ketokohan Datuk Dr. Haron Din? Tetapi adakah tokoh-tokoh ini dilayan sewajarnya oleh PKR dan DAP?

Bagaimana pula dengan Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama Pas, apakah suara mereka didengar? Apakah nasihat mereka dihormati? Apakah arahan mereka dipatuhi oleh kepimpinan PKR dan DAP?

Apakah kesemua kepimpinan Pas mempertahankan keputusan dewan dan majlis tersebut? Penulis yakin, pemimpin dan ahli Pas ada jawapannya! Tetapi apa yang hendak diperkatakan ialah selama ini kerjasama pakatan pembangkang segala-galanya berkaitan dengan apa yang dimahukan oleh PKR dan DAP bukan Pas.

Tidak berdaya

Pas tidak layak berkata apa-apa. Pas tidak boleh bersuara. Pas tidak mampu menyanggah kehendak politik kedua-dua parti itu dan Pas tidak berdaya menentang 'kehebatan’ pemimpin sekutu mereka. Malah dari sudut lain pula, hanya kata-kata pemimpin PKR dan DAP sahaja perlu diambil kira. Pas tidak boleh bersuara kalau kedua-dua pemimpin parti tersebut menolak perjuangan Islam.

Pas tidak boleh membantah jika pemimpin PKR dan DAP menegaskan, kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam. Pas membisu seribu bahasa apabila presiden mereka diperlekeh atau diperleceh oleh pemimpin dan penyokong PKR dan DAP.


Apa yang boleh dilakukan Pas ialah akur dengan arahan PKR dan DAP, bersedia mengerahkan segala kudrat dan tenaga untuk memastikan kedua-dua parti itu terus kukuh dalam persada politik tanah air, mesti menghadiri mesyuarat yang dipanggil oleh sekutunya dan wajib mempersetujui apa sahaja keputusan mereka.

Pas tidak usah fikirkan apa yang akan berlaku kepada matlamat perjuangannya kerana itu sekadar catatan dalam perlembagaan parti, Pas tidak perlu bercakap soal menjadi dominan dalam pembangkang kerana itu hanya ilusi.

Pas jangan berharap PKR dan DAP akan patuh kehendaknya kerana itu sekadar mimpi dan Pas tidak payah berbicara soal mempertahankan maruah parti kerana ia tidak akan menjadi realiti.

Matlamat perjuangan Pas ialah apa yang ditentukan oleh PKR dan DAP, yang dominan dalam pakatan pembangkang ialah PKR dan DAP. Yang kena patuh kepada kehendak PKR dan DAP ialah Pas, hanya maruah PKR perlu didahulukan dan martabat DAP perlu diutamakan.

Sudah pastilah tulisan ini tidak akan menyenangkan pemimpin dan penyokong Pas. Mereka akan menganggap ia satu lagi usaha untuk memecah belahkan kesepakatan pakatan pembangkang yang kononnya semakin hampir menawan Putrajaya.


Penulis sedikit pun tidak berasa hairan jika itulah tafsiran yang dibuat kerana selama ini pun segala teguran, kritikan dan pandangan berhubung nasib Pas dalam pakatan pembangkang oleh pelbagai pihak tidak dipedulikan oleh kepimpinan dan penyokong parti itu. Ia ibarat mengangkut air menggunakan penapis kelapa sahaja, dalam bahasa mudah kerja sia-sia.

Apatah lagi dalam Pas sendiri terdapat segelintir pemimpinnya yang begitu taksub mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Ketaksuban mereka menyebabkan mata dan hati mereka seolah-olah buta untuk melihat realiti sebenar bagaimana Pas dilayan bagaikan pengemis yang mengunjungi warung-warung meminta belas ihsan orang lain untuk sesuap nasi.

Walaupun Pas bukanlah parti yang sepatutnya menerima nasib seperti itu tetapi apa boleh buat kepimpinan dan penyokong Pas yang memungkinkan ia berlaku. Sebab itulah Pas menerima nasib seperti sekarang, ibarat 'ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi.’

Mana-mana pihak tidak perlu bersusah payah memberikan nasihat kepada Pas untuk memahami bahawa maruah mereka sedang diinjak-injak oleh PKR dan DAP.

Kalau setakat matlamat atau hala tuju parti itu sahaja tidak mengapa tetapi malangnya ia ada kaitan dengan mempertahankan kepentingan orang Melayu dan memartabatkan umat Islam.


Ia memandangkan sejak kebelakangan ini, PKR dan DAP seolah-olah tidak menjaga sensitiviti itu. Setiap hujah dan tindakan mereka sama sekali tidak mengambil kira apa perasaan Pas.

Apa yang mereka tahu ialah mengungkit kononnya ketidakhadiran Abdul Hadi dalam mesyuarat pakatan pembangkang menghalang mereka membuat keputusan.

Persoalannya kalau pun Abdul Hadi memberi pandangan atau menyatakan pendirian Pas, apakah ia akan diterima oleh PKR dan DAP?

Sepatutnya, ia bukan soal Abdul Hadi hadir atau tidak, sebaliknya sejauh manakah ikhlasnya PKR dan DAP untuk menghargai kesetiaan dan pengorbanan yang dilakukan oleh Pas selama ini dalam memperkukuhkan pakatan pembangkang.

Kita tidak perlu lagi memberikan nasihat apa-apa kepada kepimpinan dan penyokong Pas, terserahlah kepada mereka untuk bermuhasabah tentang kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang.

Tetapi apa yang pasti janganlah sampai Pas dilihat bodoh, diperbodoh atau memperbodohkan diri. Apa maksudnya? Fikirlah sendiri!

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: